Wednesday, April 1, 2009

KISAH NABI IBRAHIM A.S

Hadis Abu Hurairah r.a:
Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Nabi Ibrahim adalah seorang nabi yang sama sekali tidak pernah berdusta kecuali dalam tiga keadaan. Dua keadaan yang melibatkan Allah, iaitu ucapan Nabi Ibrahim: إِنِّي سَقِيمٌ Yang bermaksud: Sesungguhnya aku sakit dan ucapan Nabi Ibrahim sendiri: بَلْ فَعَلَهُ كَبِيرُهُمْ هَذَا Yang bermaksud: Sebenarnya patung besar inilah yang memukulnya. Salah satunya adalah melibatkan diri Sarah. Sesungguhnya Ibrahim bersama Sarah pernah datang di wilayah seorang Raja yang diktator. Sarah adalah seorang wanita yang paling cantik. Nabi Ibrahim berkata kepada Sarah: Sesungguhnya jika raja yang diktator itu tahu bahawa kamu adalah isteriku, tentu beliau akan memaksaku untuk memiliki kamu. Jika beliau bertanya kepadamu, maka katakan kepadanya bahawa kamu adalah saudara perempuanku. Sesungguhnya kamu memang saudara perempuanku dalam Islam. Sesungguhnya di wilayah ini aku tidak melihat seorang muslim pun melainkan aku dan kamu. Ketika Nabi Ibrahim memasuki Wilayah Raja diktator tersebut ada seorang rakyatnya yang melihat Sarah. Beliau datang kepada Raja diktator tersebut dan melaporkan: Sesungguhnya telah datang ke wilayah kamu seorang wanita yang hanya patut menjadi milik kamu. Raja tersebut mengirimkan utusan kepada Sarah dan membawanya, lalu Nabi Ibrahim a.s mendirikan sembahyang. Ketika Sarah bertemu muka dengan Raja tersebut. Beliau tidak mampu menguasai tangannya untuk memeluk Sarah kerana tangannya tergenggam erat. Beliau berkata kepada Sarah: Berdoalah kepada Allah agar Allah melepaskan tanganku, aku tidak akan menyusahkan kamu, lalu Sarah berdoa. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama. Raja mengulangi ucapannya, maka Sarah melakukannya. Raja menggenggam tangannya sendiri dengan erat, lebih erat daripada yang pertama dan kedua. Raja berkata: Berdoalah kepada Allah agar dia melepaskan tanganku. Demi Allah aku tidak akan menyusahkan kamu. Sarah menurut saja. Kali ini tangan Raja tersebut terlepas. Lalu Raja tersebut memanggil orang yang membawa Sarah dan berkata: Sesungguhnya yang kamu bawa kepadaku adalah syaitan bukan manusia. Usirkan beliau dari wilayahku dan berikanlah Siti Hajar kepadanya. Abu Hurairah meneruskan kata-katanya: Sarah kembali dengan berjalan kaki. Ketika Nabi Ibrahim a.s melihatnya, beliau menyambutnya seraya bertanya: Bagaimana khabarmu? Sarah menjawab: Baik, sesungguhnya Allah telah mengunci tangan orang yang ingin berbuat jahat atau serong dan memberi seorang khadam (pelayan)

JIN

Hadis Abu Hurairah r.a katanya:
Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Ifrit dari kalangan jin telah datang untuk menggodaku semalam agar aku lalai ketika sembahyang. Tetapi Allah telah melindungi aku daripadanya sehingga aku dapat menangkapnya iaitu menjerat lehernya. Aku mempunyai keinginan untuk mengikatnya di salah satu tiang masjid hingga ke waktu pagi supaya kamu semua dapat melihatnya. Kemudian aku menyebutkan kata-kata saudaraku Nabi Sulaiman a.s: رَبِّ اغْفِرْلِي وَهَبْ لِي مُلْكًا لَا يَنْبَغِي لِأَحَدٍ مِنْ بَعْدِي Tuhanku! Ampunilah aku, berikanlah kepadaku suatu kekuasaan yang tidak akan dicapai oleh seorang pun selepasku. Maka akhirnya Allah melepasnya secara menolak Ifrit tersebut dalam keadaan rugi, hina dan lemah