Sunday, January 10, 2010


Keberkatan bermaksud mendapat restu, keredaan atau rahmat dari Allah s.w.t . Dalam kehidupan kita sebagai seorang muslim, kita mengetahui bahawa kehidupan kita tidak hanya terhenti di dunia sahaja, sebaliknya kita mempercayai bahawa terdapat kehidupan yang lebih indah menanti kita seandainya setiap perbuatan kita di dunia ini mendapat rahmat dan keberkatan serta perkenan dari Allah s.w.t. Untuk mendapatkan keberkatan dan rahmat tersebut, sewajarnya kita mematuhi serta mentaati setiap perintah Allah s.w.t sepertimana yang telah digariskanNya di dalam al-Quran mahupun dalam hadis. Di antara perintah Allah s.w.t yang penting bagi mencapai keberkatan di dunia ini adalah berkaitan dengan punca rezeki yang diperolehi oleh setiap hambanya. Boleh dikatakan bahawa punca rezeki di sini adalah pendapatan kita untuk menyara kehidupan sendiri ataupun untuk keluarga.

Punca rezeki ataupun pendapatan boleh dibahagikan kepada 3 jenis iaitu pendapatan yang berpunca dari sumber yang jelas halal seperti bekerja sebagai guru, berniaga barang yang halal ataupun melakukan pelaburan yang telah dihalalkan oleh syariat untuk mendapat keuntungan. Pendapatan yang kedua adalah pendapatan yang bersumberkan kepada perkara yang haram seperti menjual arak, mencuri, membuat pelaburan ditempat perjudian dan pelacuran, sumber pendapatan seperti ini adalah jelas hukumnya adalah haram. Manakala sumber yang ketiga dikenali sebagai syubhah iaitu meragukan. Kebanyakkan perkara syubhah tidak diketahui oleh orang ramai, tetapi hanya diketahui oleh pengamal agama. Seperti isu yang sedang hangat diperkatakan sekarang ini iaitu berkaitan dengan pelaburan internet sebagai sumber pendapatan, pelaburan ini telah diharamkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan kerana terdapat unsur syubhah di dalamnya. Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya yang halal itu jelas, yang haram itu jelas, di antara perkara halal dan haram dinamakan syubhah yang tidak diketahui oleh ramai. Sesiapa yang menjauhi dari perkara syubhah sesungguhnya dia telah menyelamatkan agama dan kehidupannya, barang sesiapa yang melakukan perkara syubhah sesungguhnya dia telah melakukan perkara yang haram [riwayat bukhari dan muslim]. Hadis ini menerangkan dengan jelas menerangkan tentang halal dan haram sesuatu sumber sama ada sumber makanan ataupun sumber pendapatan. Justeru itu amat tepat sekali apabila Majlis Fatwa Kebangsaan mengeluarkan fatwa bahawa pelaburan internet adalah haram hukumnya. Ini kerana terdapat unsur-unsur syubhah di dalamnya yang perlu dihindari bagi menyelamatkan agama dan kehidupan orang Islam sendiri. Menurut Abu Darda’ R.a : Kesempurnaan taqwa adalah ta’atnya hamba kepada perintah Allah s.w.t sehinggakan apabila didapati keraguan sebesar zarah terhadap perkara yang halal, maka ditinggalkan perkara tersebut. Maka apabila terdapat unsur yang jelas tentang keraguannya, sewajarnya kita mengelakkan diri dari terlibat dengannya sepertimana yang yang telah difatwakan oleh majlis fatwa kebangsaan tentang pelaburan di internet.

Kemuliaan seseorang individu adalah berpunca daripada sumber pemakanan yang halal. Menurut al-Syafie : Terdapat lima perkara untuk memelihara hati iaitu, membaca al-Quran dan menghayatinya, sentiasa mengosongkan perut [berpuasa], menghadiri majlis ilmu dan bersama orang-orang soleh, mendirikan solat malam, serta sentiasa memohon pertolongan Allah s.w.t. Namun begitu punca kepada kemuliaan hati adalah makan makanan yang berpunca dari perkara halal. Menurut beliau lagi makanan adalah benih kepada perbuatan, apabila makan sumber yang halal akan lahirlah perbuatan yang mulia, apabila makan makanan berpunca dari sumber yang haram, maka lahirlah perbuatan yang tercela. Daripada sumber makanan yang bersih maka golongan yang akan dibagkitkan oleh Allah s.w.t dengan hati yang sejahtera seperti mana firman Allah s.w.t yang bermaksud : ’Kecuali orang-orang yang datang mengadap Allah dengan hati yang selamat sejahtera’[Surah Al-Syu’ara’:89]. Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa di hari pembalasan nanti, tiada apa yang dapat membantu atau menyelamatkan kita dari siksaan Allah s.w.t kecuali sesiapa yang datang kepada Allah dengan hati dan jiwa yang sejahtera iaitu golongan-golongan yang sentiasa memelihara diri mereka dari melakukan perkara yang dilarang dan sentiasa menjauhi diri dari perkara-perkara yang syubhah.

Selain daripada itu, Rasulullah s.a.w ada meriwayat hadis yang menerangkan tentang syarat-syarat amalan yang diterima oleh Allah s.w.t , Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t baik, tidak menerima apa perkara kecuali perkara yang baik sahaja. Sesungguhnya Allah s.w.t memerintahkan kepada semua golongan mukmin, sepertimana diperintahkan kepada para rasulnya: firman Allah s.w.t yang bermaksud : Wahai Rasul-rasul, makanlah dari benda-benda yang baik lagi halal dan kerjakanlah amal-amal soleh; sesungguhnya Aku Maha Mengetahui akan apa yang kamu kerjakan.[Surah al-Mukminun: 51]. Hadis ini menjelaskan kepada kita sesungguhnya, Allah s.w.t tidak menerima amalan hambanya kecuali melakukan dengan jiwa yang tulus suci, Allah s.w.t juga tidak menerima sedekah kita jika bersumberkan punca yang haram atau syubhah. Bagaimanakah Allah s.w.t ingin menerima ibadah kita jika kita mencari rezeki dengan bersumberkan perkara yang terdapat keraguannya, memakan makan yang berpunca dari pendapatan yang tidak pasti halalnya. Ini kerana setiap perkara yang haram atau syubhah akan merosakan setiap amalan kebaikan yang kita lakukan. Apabila seseorang itu tidak menitikberatkan soalan soal halal dan haram dalam kehidupan, maka doa yang dipohonnya sukar diterima oleh Allah s.w.t. Sepertimana yang dijelaskan dalam sebuah hadis, apabila Said Bin Abi Wuqaz meminta agar Rasulullah s.a.w mendoakannya supaya Allah s.w.t memperkenankan doanya, maka Rasulullah s.a.w berkata : perelokan sumber rezekimu, pasti doamu dimakbulkan.

Justeru itu marilah kita bersama-sama memuhasabah diri masing-masing agar mensucikan diri daripada perkara yang syubhah, agar Allah s.w.t memperkenankan setiap doa yang kita pohon kepadanya, khususnya dalam perkara yang berkaitan dengan pendapatan kita yang sudah semestinya digunakan untuk keperluan harian kita. Bagi mereka yang mempunyai simpanan hasil dari pendapatan yang syubhah, gunakanlah untuk bersedekah agar dapat digunakan oleh orang ramai, seperti mana yang diceritakan oleh Malik Bin Dinar, beliau bertanya kepada ’Ato’ Bin Abi Rabah bagaimana ingin menguruskan harta yang tidak bertuan dan harta yang haram, lalu beliau menjawab: bersedekahlah . Berpendapat ini turut disokong oleh Ibn Rajab. Semoga Allah s.w.t memberi kita kekuatan untuk terus mencari keberkatan dalam setiap punca rezeki yang kita perolehi, dan membangkitkan kita dalam golongan hati yang sejahtera.