Monday, August 23, 2010

HUKUM DOAKAN ORG KAFIR: KES PENENG

dari web ust zaharudin.


Ustaz, apakah hukumnya mendoakan orang bukan Islam dengan hidayah atau biar dia bersifat adil, sejahtera, sihat tubuh dan sebagainya. Bolehkah pula doa sebegitu dibuat ketika khutbah? Harap ustaz dapat mengulas secara ilmiah dan tidak terpengaruh dengan mana-mana parti politik. Selain itu, apakah pula hukum kita menjawab bersin seorang kafir dengan sebutan "blessed you". Terima kasih



JAWAPAN

InshaAllah, saya akan mengulas tanpa sebarang prejudis terhadap politik kepartian, walau saya sedar soalan saudara tadi telah disensasikan sebagai isu politik di tanahair.

Namun begitu, sebelum mengulas perlu dinyatakan, ulasan saya adalah hanya berkaitan hukum dan panduan umum tanpa merujuk kepada mana-mana kes dan isu di tanahair disebabkan saya tidak punyai sebarang info jelas berkenaannya.

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada beberapa keadaan dan isi kandungan doa. Secara ringkasnya adalah seperti berikut :-

a. HUKUM HARAM

Para ulama bersepakat bahawa mendoakan orang bukan Islam dengan KEAMPUNAN ALLAH, MENDAPAT SYURGA, DIMUDAHKAN URUSAN AKHIRATNYA DAN APA SAHAJA YANG BERKAITAN DENGAN AKHIRAT adalah DIHARAMKAN.

Imam An-Nawawi menyebut :

وأما الصلاة على الكافر، والدعاء له بالمغفرة فحرام بنص القرآن والإجماع

Ertinya : Adapun mendoakan orang kafir (bukan Islam) untuk mendapat keampunan adalah HARAM dari teks Al-Quran dan ijma' ulama ( Al-Majmu')



RINGKASAN DALIL



Terdapat beberapa dalil asas antaranya :-



* · Firman Allah :-



مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُواْ أَن يَسْتَغْفِرُواْ لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُواْ أُوْلِي قُرْبَى مِن بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ

Ertinya : Tiadalah sepatutnya bagi Nabi dan orang-orang yang beriman memintakan ampun (kepada Allah) bagi orang-orang musyrik (kafir & bukan Islam), walaupun orang-orang musyrik itu adalah kaum kerabat (nya), sesudah jelas bagi mereka, bahawasanya orang-orang musyrik itu, adalah penghuni neraka Jahanam. (At-Taubat : 113)





* · Hadis Nabi :



أن النبي صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عرض الإسلام على عمه أبي طالب وهو يموت، فأبى ، فَقَالَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ : لأَسْتَغْفِرَنَّ لَكَ مَا لَمْ أُنْهَ عَنْهُ . فَنَزَلَتْ : ( مَا كَانَ لِلنَّبِيِّ وَالَّذِينَ آمَنُوا أَنْ يَسْتَغْفِرُوا لِلْمُشْرِكِينَ وَلَوْ كَانُوا أُولِي قُرْبَى مِنْ بَعْدِ مَا تَبَيَّنَ لَهُمْ أَنَّهُمْ أَصْحَابُ الْجَحِيمِ ) وَنَزَلَتْ : ( إِنَّكَ لا تَهْدِي مَنْ أَحْبَبْتَ )

Ertinya : Nabi s.a.w mengajak bapa saudaranya Abu Talib kepada Islam, amun dia meninggal sebelum menyahutnya. Maka berkata nabi : "Aku berdoa keampuanan dari Allah untuknya apa-apa yang dia tidak berdoa (semasa hayatnya). Selapas doa nabi itu dibuat, turun ayat di atas dan turun juga ayat yang beerti " sesungguhnya engkau tidak mampu memberi hidayah kepada sesiapa yang engkau sukai"

Hadis di atas jelas menunjukkan larangan Allah kepada nabi dari berdoa KEAMPUNAN kepada bapa saudaranya yang TIDAK ISLAM. Imam Ib Hajar Al-Haithami Al-Syafie berkata

حرم الدعاء بأخروي لكافر، وكذا من شك في إسلامه، ولو من والديه

Ertina : haram berdoa berkenaan apa-apa urusan berkaitan akhirat untuk orang bukan Islam, demikian bagi mereka yang terdapat syak pada status Islamnya walau mereka itu ibubapanya ( Rujuk Tuhafatul Muhtaj )



b. HUKUM HARUS


Ulama juga sepakat mendoakan orang bukan Islam (kafir) agar mendapat HIDAYAH adalah HARUS DAN DIBENARKAN. Demikian juga lain-lain kebaikan bersifat dunia seperti umur panjang, kesihatan, lebih adil dan sebagainya, doa dalam hal kedunia itu HARUS selagi mana dia bukan merupakan seorang penentang utama Islam.

Imam Al-Bukhari sehingga memasukkan tajuk dalam kitabnya :

بَابُ الدُّعَاءِ لِلْمُشْرِكِينَ بِالْهُدَى لِيَتَأَلَّفَهُمْ

Ertinya : bab berdoa untuk orang kafir musyrik untuk mendapat hidayah agar dijinakkan hati mereka.



RINGKASAN DALIL

Terdapat beberapa dalil utama dalam hal ini, antaranya :-



* · Hadis nabi : -



فَقَالَ : إِنَّ دَوْسًا قَدْ عَصَتْ وَأَبَتْ ، فَادْعُ اللَّهَ عَلَيْهِمْ ، فَقَالَ : اللَّهُمَّ اهْدِ دَوْسًا وَأْتِ بِهِمْ

Ertinya : Seorang sahabat telah datang kepada Nabi lalu berkata : Sesungguhnya seorang dari Dausan (nama kelaurga) telah derhaka dan enggan (masuk Islam), tolonglah doakan kepada Allah untuknya. Lalu Nabi berdoa : "Ya Allah berikanlah hidayah buat lelaki dari ahli keluarga Dausan itu dan bawakanlah dia kepada kami (Riwayat Al-Bukhari, no 2779 & Muslim)

Doa yang hampir sama juga pernah Nabi lafazkan untuk Ibu Abu Hurairah, ertinya : "Ya Allah berikanlah hidayah untuk Ibu Abu Hurayrah" (dari Riwayat Muslim)

Al-Hafidz Ibn Hajar menyatakan doa nabi itu merupakan satu taqriri dayang jelas berkenaan keharusannya. Ada ketikanya nabi akan mendoakan kehancuran dan laknat buat orang bukan Islam khususnya di ketika kuatnya kejahatan mereka ke atas umat Islam, di kala tenang dan aman, nabi mendoakan pula hidayah buat beberapa dari kalangan mereka. (Fath Al-Bari, 10/604).





* · Hadis nabi :-



كَانَ الْيَهُودُ يَتَعَاطَسُونَ عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَرْجُونَ أَنْ يَقُولَ لَهُمْ : يَرْحَمُكُمْ اللَّهُ ، فَيَقُولُ : يَهْدِيكُمُ اللَّهُ ، وَيُصْلِحُ بَالَكُمْ

Ertinya : orang Yahudi sengaja buat-buat bersin di hadapan Nabi serta berharap Nabi akan berkata sebagai balasan : Moga Allah merahmatimu kamu, Namun Nabi hanya menyebut : Semoga Allah memberi hidayah kepadamu dan memperelokkan pemikiranmu ( Riwayat At-Tirimizi& Abu Daud ; sohih menurut Albani)



Doa Nabi untuk mereka mendapat hidayah itu jelas membawa erti keharusan mendoakan hidayah buat mereka. Berdasarkan hadis itu, maka TIDAK HARUS untuk kita menyebut "bless you" kepada orang bukan Islam apabila dia bersin kerana 'bless you' tidak membawa makna yang sama dengan "Moga Allah memberi hidayah buatmu". Justeru, elok ditukar kepada "May you be guided" atau apa-apa yang seerti dengannya. Jika disebut 'get well soon' juga dibenarkan ia ia bersifat dunia.

Syeikh Abu Tib menyatakan tidak boleh kita mendoakan rahmat atau blessing untuk bukan Islam kerana ia lafaz rahmat khas untuk sesama Muslim sahaja. ( ‘Aunu Al-Ma'bud, 13/257)





* · Hadis nabi :



Nabi pernah berdoa :

اللهم اعز الإسلام بأحب العمرين

Ertinya : Ya Allah, tinggikanlah Islam melalui salah seorang dari dua Umar ( Umar Al-Khattab atau Amru Hisham iaitu Abu Jahal)



Para ulama juga menyimpulkan keharusan berdoa untuk bukan Islam yang baik dan TIDAK BERCIRI PENENTANG ISLAM agar mendapat bertambah adil, bertambah baik, dipanjangkan umur, tambah anaknya, sihat tubuhnya dan dari jenis manfaat dunia yang tidak melibatkan akhirat serta rahmat dan keampunan.

Sebagaimana nabi pernah meminta Allah melewatkan dan menangguhkan azab ke atas penduduk Taif yang menghalaunya kerana mereka jahil dan tidak mengetahui.



KESIMPULAN

Hukum berdoa kepada orang bukan Islam bergantung kepada isi kandungan doanya, sama ada doa itu diucapkan di dalam khutbah atau di luar ia tetap sama dari sudut hukum. Ia bergantung kepada kandungan. Jika ia melibatkan doa berkaitan urusan dunia seperti tubuh sihat atau mendapat hidayah, DISEPAKATI ULAMA ATAS KEHARUSANNYA. Namun jika keampunan, rahmat dan urusan akhirat DISEPAKATI HARAM.

TIDAK DIBENARKAN JUGA berdoa untuknya dengan rahmat selepas mereka bersin, sebaliknya ubahlah ucapan menuju erti moga Allah memberi hidayah kepadanya.

Jangan dilupa juga, doa kebaikan untuk orang zalim yang pasti menurut neraca Al-Quran dan Al-hadis, sama ada kepada orang Islam atau bukan Islam adalah ditegah. Dalam sebuah athar yang kukuh jalan riwayatannya, disebut :-

من دعا لظالم بالبقاء فقد أحب أن يعصى الله

Ertinya : sesiapa yang mendoakan untuk orang zalim, maka dia sessungguhnya menyukai untuk menderhakai Allah. (Al-Baihaqi dalam Syu'ab al-Iman)

Adapun dalam kes masjid Pulau Pinang, sebelum ingin dipastikan tegolong dalam kategori mana dari pembahagian hukum di atas, apa yang paling penting adalah memastikan sama ada ia benar-benar wujud doa atau tidak, dan jika wujud adakah ia merupakan tindakan individu khatib atau merupakan arahan pihak atasan atau arahan Ketua Menteri itu sendiri. Setelah itu, barulah disemak kandungannya. Jika ia menepati yang diharuskan, TIADA sebarang masalah di sisi Islam. Namun dalam hal ini, disebabkan ia telah bercampur dengan usaha meraih milage politik, hal ini perlu dinilai lebih teliti kerana kemasukan kepentingan politik menambah lagi keraguan kata-kata mereka yang berkata, dari kedua-dua pihak.