Ulama
terbilang dunia ketika ini, Dr Yusoff Al-Qaradhawi pernah menyebut dan meluah
rasa kurang setuju beliau dengan tindakan para ulama yang terlalu meluaskan
perbuatan yang membatalkan puasa. Beliau lebih setuju untuk mengecilkan skop
dan ruang lingkup pembatalan puasa kepada perbuatan yang benar-benar terdapat
dalil tepat dari al-Quran, al-Hadith dan disepakati ulama sahaja.
Beliau
berpendapat perbincangan panjang lebar oleh ulama silam, antaranya para ulama
dari mazhab Hanafi dan ulama mazhab-mazhab lain menyebut sekitar 57 bentuk
perbuatan yang membatalkan puasa adalah adalah tindakan yang kurang sesuai.
Malah ia juga amat digemari oleh ulama masa kini sehingga terdapat yang
menghabiskan masa begitu lama untuk merangka fatwa, berijtihad dan meletakkan
kaedah bagi sesuatu perbuatan. Adakalanya ia adalah isu yang tidak memerlukan
perhatian begitu mendalam.
Masalah
ini dilihat semakin bertambah, apabila ijtihad dalam bab ini semakin bercambah
hingga menyebabkan kesukaran orang kebanyakkan (awam) menjalankan ibadah ini
dengan tenang kerana perincian perbuatan yang membatalkan puasa amat cabang
(furu') dan terlampau banyak. Ia menyebabkan orang awam yang terhad kemampuan,
masa dan rujukan sering berada dalam kebimbangan dengan isu batal dan tidak
batal puasa ini. Lebih dikesali adalah perbincangan tentang ini juga ada
meninggalkan perbincangan yang lebih besar berkenaan Ramadhan. (Taysir al-Fiqh
- Fiqh As-Siyam, hlm 86-87)
Sebagai
contoh, antara isu terbesar yang patut diberikan fokus mendalam di waktu
Ramadhan adalah :-
1)
Raih Taqwa & Mendapatkan Keampunan : Sangat jelas arahan Allah dan
RasulNya menegaskan keperluan kita berusaha meraih taqwa dan keampunan di dalam
bulan ini. Perbincangan berkenaan kaedah, cara dan cabaran yang boleh
menghalang kita mencapai target ini perlu diberikan perhatian lebih.
2)
Bulan Ingatan Fungsi Al-Quran : Firman Allah yang menyebut bahawa
Al-Quran diturunkan di bulan Ramadhan ini sebagai petunjuk, dan bukti kebenaran
petunjuk dan pembeza di antara haq dan yang batil. Justeru perbincangan
berkenaan kemestian umat Islam kembali kepada Al-Quran sebagai satu-satunya
formula untuk berjaya sebagai golongan bertaqwa dan selamat dunia akhirat perlu
diperhebat.
3) Amaran Terhadap Pengikis Pahala Ramadhan Yang 'Confirmed'
:
Sabda-sabda Nabi berkenaan tindakan yang boleh menghapuskan pahala puasa
Ramadhan seperti bercakap kotor, nista, carut dan perbuatan jahat dan keji di
waktu bulan ini. Ia perlu dipertekankan kerana ia adalah perkara yang
disepakati bakal merosakkan pahala puasa seseorang walaupun ia tidak sampai
membatalkan zahir puasanya.
4) Kaedah Penambah Pahala & Redha Allah di Bulan
Ramadhan Yang 'Confirmed': Sabda-sabda Nabi yang mengandungi janji-janji dan tawaran
Allah di bulan ini juga perlu diperluas kepada orang ramai agar semakin ramai
yang berpotensi ke Syurga Allah sekaligus melemahkan fungsi Syaitan dan nafsu
amarah yang sentiasa ingin mengajak kepada kemaksiatan.
Adapun
isu perkara yang membatalkan puasa, sewajarnya ditumpukan kepada hukum yang
disepakati sahaja. Justeru, larangan yang disepakati tatkala puasa
adalah menahan nafsu syahwat, menanggung lapar dan dahaga serta menahan diri
dari bersetubuh dengan isteri di siang hari dengan niat ikhlas ibadat kerana
Allah. Inilah yang dijelaskan dari al-Quran dan as-sunnah, demikian juga
menjauhi kata-kata nista, bohong, mengumpat, cercaan dan lain-lain dosa anggota
demi kerana Allah. Ia disebut di dalam ayat al-Baqarah : 187 dan disokong oleh
hadith-hadith yang banyak.
Merokok,
keluar darah haid atau nifas dan hilang aqal adalah dipersetujui secara sepakat
ulama membatalkan puasa.
Adapun
yang tidak disepakati, boleh dibincangkan cuma jangan sampai ia mengambil
perhatian utama kita apabila berada di dalam Ramdhan. Sebagai
panduan, berikut disertakan beberapa hukum secara ringkas berkaitan puasa
yang kerap ditanya oleh orang ramai :-
1)
Darah keluar dari tubuh ; samada untuk berbekam, ambil darah pesakit,
menderma darah, tercedera, darah dari hidung, tangan dan lain-lain.
Hukumnya : Tidak batal puasa kerana yang membatalkan adalah yang
masuk ke tubuh melalui saluran terbuka hingga ke perut dan bukannya ‘yang
keluar' dari tubuh. (As-Siyam Muhdathatuhu wa hawadithuhu, Dr Muhd ‘Uqlah, hlm
215). Manakala pandangan pembatalan puasa dengan berbekam yang berdalil hadith
riwayat Abu Daud dan Ibn Majah dengan sanad sohih menurut Imam An-Nawawi, ia
telah dipinda (nasakh) dengan hadith dari Ibn Abbas yang menyebut Nabi SAW
berbekam dalam keadaan baginda berpuasa. (Riwayat Al-Bukari, 3/43) kerana
hadith dari Ibn Abbas ini berlaku tatkala Haji Wida' dan terkemudian dari
hadith yang menyebut batal kerana bekam. (Tasysir al-Fiqh, Qaradawi, hlm 90).
Malah ini juga padangan majority mazhab kecuali Hanbali. ( Bidayatul Mujtahid,
1/247)
2)
Memasukkan sesuatu ke dalam rongga terbuka dan dikeluarkan kembali tanpa
sampai ke perut dan yang seumpamanya di bahagian kepala.
Ia
seperti memasukkan alat tertentu ke dalam kemaluan wanita atau dubur ketika
proses perubatan yang berkaitan, demikian juga memasukkan jari ke dalam hidung,
telinga, mulut dan dubur.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa kecuali jika alatan itu dibiar
tinggal di dalam kemaluan tadi, kerana illah @ faktor penyebab batal puasa
adalah masuknya sesuatu berfizikal ke perut. Terkecuali juga, wanita atau
lelaki yang memasukkan jarinya ke dubur atau kemaluannya dengan tujuan nafsu,
maka ia membatalkan puasa, tetapi jika tujuan istinja' atau membasuhnya maka
hukum yang lebih kuat menurut para ulama adalah tidak batal. (As-Siyam, Dr Md
‘Uqlah, hlm 211). Ini juga dipersetujui oleh Syeikh Atiyyah Saqar yang
mengatakan masuk sesuatu ke telinga dan hidung yang tidak sampai ke perut atau bahagian
otak adalah tidak membatalkan puasa. (Min Ahsanil Kalam fil Fatawa). Tidak
dinafikan terdapat fatwa yang mengatakan batal, justeru, nasihat saya adalah
lebih baik menjauhinya kiranya tiada tujuan yang agak mendesak. Kerana menjauhi
yang khilaf (perbezaan pendapat) itu lebih baik.
3)
Pil elak haid untuk puasa penuh :
Hukumnya : Harus dengan syarat tidak membawa mudarat kepada pusingan
haidnya, dan memerlukan nasihat doktor Islam yang berwibawa. Namun yang terbaik
adalah tidak menyekat haid, dan tidak menganggu kitaran fitrah yang telah
ditentukan oleh Allah swt. selain itu wanita sedang haid juga masih boleh
melaksanakan pelbagai jenis ibadah.
4)
Penyembur gas untuk pesakit lelah :
Hukumnya : Baru-baru ini pada bulan Julai 2007, Persidangan Majlis
Fiqh Antarabangsa di Putrajaya ada membincangkan isu ini. Isu ini amat kerap
dibincangkan oleh para ulama seantero dunia dan mereka berbeza pandangan
apabila sebahagian menyatakannya batal dan sebahagian lain menolak.
Menurut
kajian terperinci bantuan para doktor, mendapati gas semburan itu punyai
jisim-jisim putih yang jelas kelihatan jika di sembur di atas kertas. Selain
itu, hampir 90 % darinya akan terus masuk ke tekak dan melekat di esophagus dan
terus ke perut. Ini bermakna ianya jisim-jisim gas itu masuk ke perut setiap
kali semburan. Justeru sudah
pasti ia membatalkan puasa. Demikian pandangan awal dari Majlis
Fiqh Antarabangsa yang bersidang Julai 2007 baru-baru ini, tetapi kemudiannya
mereka menarik balik keputusan mereka untuk dibincangkan lebih terperinci
dalam persidangan akan datang. Namun itu adalah pandangan sebahagian ulama
kontemporari yang menyakini masuknya serbuk jisim gas ke dalam perut.
Bagaimanapun
para ulama masih perlu bergantung kepada makumat jelas dari para doktor bagi memberikan
fatwa tepat. Sebahagian ulama seperti Syeikh At-Tantawi, Syeikh Dr Muhd ‘Uqlah,
menyebut hukumnya tidak
batal kerana gas itu hanya terhenti di paru-paru dan tidak
masuk ke perut. Manakala, ubat lelah jenis hidu melalui hidung adalah
membatalkan puasa kerana ia akan masuk ke bahagian kepala. (As-Siyam, Dr Md
Uqlah, hlm 226)
Namun
jelas para ulama berhati-hati dalam memberikan keputusan dalam hal ini kerana
menyedari walaupun serbuk-serbuk dari inhaler tersebut boleh memasuki ruang
perut, namun ia adalah satu keperluan
mendesak buat pesakit athma dan tidak pula dilaksanakan secara
saja-saja, bukan pula kerana nafsu lapar.
Pandangan
terpilih adalah TIDAK BATAL, kerana terdapat perbezaan informasi dan data oleh
para pakar perubatan berkenaan ketepatan fakta masuknya jisim ke dalam perut
pada setiap kali semburan dibuat. Justeru, hukum puasa adalah kekal di atas
sifat asalnya iaitu sah selagi belum terdapat bukti nyata dan diyakini
terbatalnya ia. Sebagaimana kaedah Fiqh "
Hukum asalnya, kekalnya hukum sesuatu pada sifat
sebelumnya.
Justeru,
jika ada sekalipun jisim yang termasuk ke dalam perut, ia bukanlah makanan yang
mengenyangkan dan bukan pula dilakukan secara suka-suka serta ia tergolong
dalam ubat-ubatan yang diperlukan secara mendesak. Selain itu, jisim yang
termasuk ke dalam perut pula adalah tergolong di dalam kategori DIMAAFKAN sebagaimana
beberapa kadar air yang tertinggal di atas lidah dan dalam hidung semasa
berkumur dan berwudhu. Wallahu'alam.
5)
Suntikan ke dalam tubuh melalui tangan, kaki selain rongga terbuka yang
asal:
Hukumnya : Terdapat dua jenis : samada untuk berubat
atau untuk menguatkan. Jika ia digunakan untuk mengurangkan demam, bius, 'pain
killer' dan apa jua tujuan asas perubatan, ia disepakati tidak membatalkan
puasa (Al-Qaradawi, hlm 100 ; ‘Uqlah , hlm 226). Demikian juga hukumnya
suntikan kalsium dan sebagainya untuk kekuatan badan demi perubatan.
Berkenaan
suntikan makanan, air seperti glukos dan sepertinya untuk tujuan
perubatan; para ulama sekali lagi berbeza pandangan : Pandangan majoriti adalah
: Tidak membatalkan puasa kerana ia tidak masuk ke dalam tubuh melalui
rongga terbuka dan ia tidak mengenyangkan serta tidak bercanggah dengan hikmah
puasa. Ia adalah fatwa oleh Syeikh Dr Yusof Al-Qaradawi, Syeikh Md Bakhit,
Syeikh Abd Rahman Taj, Syeikh Ahmad As-Syurbashi, Keputusan Lajnah Fatwa Azhar
tahun 1948 (Taysir Al-Fiqh As-Siyam, hlm 100; Fatawa Syar'iyyah, hlm 268 ;
Yasalunaka, 5/53 dll ).
Bagaimanapun,
suntikan jenis makanan ini membatalkan puasa terutama jika dilakukan secara
sengaja untuk melarikan diri dari ujian keletihan lapar dahaga puasa.
6)
Berkumur-kumur dan air masuk ke rongga hidung semasa wudhu.
Hukumnya : Tidak membatalkan puasa, cuma jika berlebihan
berkumur ulama Syafie mengatakannya terbatal. Justeru, jauhilah berlebihan di
ketika puasa adalah lebih baik.
Ia
berdasarkan hadith : "Sempurnakan wudhu , basuhlah celah-celah jari
jemarimu, dan lebih-lebihkan menyedut air ke hidungmu kecuali tatkala kamu
berpuasa ( Riwayat Abu Daud , no 142 ; At-Tirmidzi, 788 ; Al-Hakim, Sohih
menurut Ibn Khuzaymah, Ibn Hibban & Al-Hakim dan dipersetujui oleh Az-Zahabi
; albani ; Sohih).
7)
Melakukan Maksiat seperti tidak solat
Hukumnya : Tidak batal puasa menurut majoriti mazhab dan
ulama. Akan tetapi dosa maksiat itu akan ditanggung berasingan mengikut jenis
maksiat, malah mungkin bertambah besar dosanya kerana mencarik kehormatan
Ramadhan. Pahala puasanya
pula akan terhapus. Selain itu, ia juga mencarikkan keseluruhan
tujuan berpuasa iaitu bagi melahirkan insan taqwa, beroleh keampunan dan jauh
dari maksiat. (Qaradawi, hlm 104) Nabi bersabda : "Barangsiapa sempat
bertemu Ramadhan dan tidak diampun dosanya, maka semakin jauh ia dengan
Allah" (Riwayat Ibn Hibban)
8) Mencium lelaki dan wanita semasa berpuasa
Hukumnya : Mencium isteri atau suami tatkala berpuasa, tidak batal
menurut majoriti ulama.
Ia
berdasarkan beberapa dalil antaranya :-
Ertinya : "Nabi S.a.w mencium dan bermesra (dengan
isterinya) dalam keadaan ia berpuasa, tetapi baginda adalah seorang yang
menguasai diri dan nafsunya" (Riwayat Abu Daud, 2/311 ; Syuaib
arnaout : Sohih)
Dan
satu lagi adalah : -
Ertinya : Kami bersama Nabi tiba-tiba didatangi
oleh seorang pemuda dan bertanya : Aku berpuasa dan aku mencium isteriku, jawab
nabi : Jangan ; tiba-tiba dating seorang tua dan bertanya soalan yang sama :
Jawab nabi : Ye ( tiada masalah) ; kami kami saling berpandangan antara satu
sama lain, maka nabi berkata :-
"aku tahu apa
mengapa kamu saling berpandangan antara satu sama lain, sesungguhnya orang tua
mampu mengawal dirinya (nafsu)" (Riwayat Ahmad dan At-Tabrani, sanad
terdapat Ibn Lahi'ah yang diperkatakan tentangnya, menyebabkan hadis dianggap
dhoif)
Al-Qaradawi
pula menambah "berapa ramai orang tua zaman sekarang yang turut tidak
mampu mengawal nafsunya " (Fiqh As-Siyam, hlm 106 )
Kesimpulannya, ia tidak membatalkan puasa dan ciuman sebegini
tidak harus jika ia boleh membawa mudarat seperti menaikkan nafsu dan boleh
membawa kepada persetubuhan di siang hari Ramadhan.
9) Wanita tamat haid
Wanita
tamat haid pada waktu malam dan sempat niat pada waktu malamnya sebelum naik
fajar subuh. Ia dikira sah walaupun belum mandi hadas. Jika ia tidak sempat
berniat sebelum fajar subuh, seperti belum makan dan minum apa-apa pada pagi
itu, kemudian pada jam 8 pagi haidnya kering, ia tidak dikira boleh berpuasa
pada hari itu kerana tiada niat bagi puasa wajib boleh dibuat selepas terbit
fajar.
Demikian
juga ditegaskan oleh majoriti ulama (Al-Mughni, Ibn Quddamah, 4/201)
Dalilnya
adalah :-
Ertinya : "Barangsiapa yang tidak berniat untuk puasa
sebelum fajar, tiada puasa (wajib) baginya" ( Riwayat Abu Daud, 3/108 ;
Albani : Sohih )
10) Keluar air mazi
Air
mazi adalah air yang keluar dari kemaluan lelaki atau perempuan kerana naik
syahwat. Banyak persoalan berkenaan keluarnya air mazi semasa berpuasa, samada
ia membatalkan puasa atau tidak.?
Zahir
dalam mazhab Hanbali menyatakan, ia membatalkan puasa.
Bagaimanapun
mazhab Hanafi, Syafie, Awzai'e, Hasan albasri, As-Sya'bi dan Imam Ahmad dalam
satu pendapatnya berfatwa keluarnya air mazi tidak membatalkan puasa. Saya lebih
cenderung dengan pendapat ini.
11) Keluar air mani tanpa setubuh
Mencium
dan menyentuh melalui onani sehingga keluarnya mani dengan syahwat adalah
membatalkan puasa dan wajib qadha, ia adalah disepakati oleh seluruh ulama.
Adapun
keluarnya air mani hanya kerana berfikir lucah dan melihat dengan syahwat, ia
tidaklah batal menurut sebahagian ulama termasuk mazhab Syafie, Hanafi.
(Al-Mughni, 4/159)
Manakala
mazhab Hanbali dan Maliki mengatakannya batal.
Walau
bagaimanapun, saya lebih cenderung dengan pendapat yang mengatakannya batal
kerana ia benar-benar bercanggah dengan tujuan dan maqasid puasa dalam Islam.
Selain itu, ia juga adalah sama dengannya keluar mani kerana sentuhan.
Keluar
air mani kerana bermimpi di siang hari Ramadhan atau kerana sakit tertentu.
Sepakat ulama menyatakan ia tidak membatalkan puasa.
12) Menelan air liur dan kahak
Hukum : Ia tidak membatalkan
puasa disebabkan terlalu sukarnya untukmenjaga hal seperti ini. (Al-Mughni, Ibn
Quddamah, 4/159). Manakala Kahak yang selagi ia
belum sampai ke anggota mulut (sebelah hadapan lidah), iaitu masih berada pada
had tekak maka tidak membatalkan puasa jika ditelan. Kerana ia
masih tidak keluar daripada anggota zahir. Kahak yang sudah sampai pada mulut,
inilah yang menjadi khilaf adakah membatalkan puasa atau tidak. Ada pendapat
yang mengatakan batal dan ada pendapat yang mengatakan tidak batal. Sebahagian
ulama berpendapat HARAM menelannya dengan sengaja kerana ia adalah
kotoran. Jadi, kesimpulan yang terpilih adalah kahak yang sampai ke
mulut haram ditelan dan kebanyakan ulama menyatakan ia membatalkan puasa.
Manakala yang berada di bahagian pangkal lidah dan tekak, jika ditelan tidak
membatalkan puasa.
13 ) Mandi
Tiada
masalah untuk orang berpuasa mandi, ia tidak membatalkan puasa. Dalilnya adalah
hadis yang menunjukkan Nabi s.a.w mengizinkan orang yang junub mandi selepas
waktu subuh, namun mandi junub adalah wajib, bagaimana pula mandi sunat atau
harian yang biasa?. Jawapnya ia tidak membatalkan puasa malah sahabat
besar seperti Ibn Abbas juga pernah disebutkan mandi ketika berpuasa. Anas bin
Malik pula adakalanya merendam kepalanya di dalam batu dipenuhi air (seperti
telaga) akibat bersangatan panas. (Rujuk Fath Al-bari). Cuma puasa hanya
boleh batal apabila seseorang mandi sambil mencuri minum sebagaimana
yang mungkin dilakukan oleh para remaja dan lainnya, maka ia batal kerana minum
dan bukan mandi itu sendiri.
14) Berniat
berbuka atau membatalkan puasa sebelum waktu.
Tindakan
sebegini adalah membatalkan puasa menurut mazhab Syafie, Hanbali dan Hanafi.
Cuma jika dengan segera seseorang itu kembali berniat dan membetulkan niatnya
tadi, puasa tidak terbatal.
Justeru,
seluruh individu berpuasa wajib menjaga niatnya agar tidak terpesong untuk
membatalkannya. Imam Ibn Qudamah menolak pandangan yang mengatakan tidak batal
kerana ibadah itu adalah berdasarkan niat seperti solat juga yang akan terbatal
jika berniat membatalkannya. (Al-Mughni, 4/175)
Oleh : Dr. Zaharuddin Abd Rahman