Wednesday, July 11, 2007

Hujan Menurut Perspektif al-Quran

Bulan Disember sering dikatakan sebagai musim tengkujuh atau musia hujan. Kejadian ini berlaku kerana corak tiupan angin monsun yang menyebabkan kawasan yang terdedah seperti Pantai Timur Semenanjung Malaysia, barat Sarawak dan Timur laut Sabah mengalami hujan yang lebat. Pada musim hujan begini, masyarakat sering diingatkan tentang bahayanya hujan jika berlarutan bukan sahaja kepada diri sendiri malah juga keluarga dan harta benda. Justeru itu kita diminta supaya bersiap sedia untuk menghadapi hujan yang berkemungkinan akan menyebabkan banjir. Tentera, bomba serta pelbagai pasukan keselamatan diminta bersiap sedia untuk memberikan bantuan kepada mangsa-magsa banjir atau kepada sesiapa yang memerlukannya.

Dalam al-quran terdapat beberapa perkataan atau bentuk ayat yang berbeza tetapi menerangkan perihal hujan yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada manusia. Di dalam surah al-baqarah ayat yang ke 19 Allah s.w.t menyebut soiyibin sementara di dalam ayat yang ke 264 pula Allah s.w.t menyebut waabilun sebagai hujan. Manakala di dalam surah an-Nisa’ pula Allah menyebut matoriin sebagai hujan dan surah Hud:52 Allah s.w.t menyebut midraraan sebagai hujan. Allah s.w.t juga menyebut ghais dalam surah Yusuf:49 untuk menunjukkan pengertian hujan, tetapi kebanyakkan ayat di dalam al-Quran yang menunjukkan hujan disebut oleh Allah s.w.t yang bermaksud sebagai air yang diturunkan dari langit. Maka jika kita mengkaji hakikat kejadian hujan berdasarkan sumber al-quran dan as-sunnah kita akan dapati bahawa hujan adalah sebagai ciptaan Allah s.w.t yang mempunyai tujuan yang tersendiri.

Hujan sebagai rahmat kepada manusia. Firman Allah s.w.t di dalam surah As-Syura:28 yang bermaksud: Dan Dialah yang menurunkan hujan setelah mereka berputus asa dan Dia pula menyebarkan rahmatNya merata-rata dan (ingatlah) Dialah pengawal (yang melimpahkan ihsanNya), lagi Yang Maha Terpuji.(as-syura:28). Manakala ayat di dalam surah yusuf:49 pula bermaksud : Kemudian akan datang pula sesudah itu tahun yang padanya orang ramai beroleh rahmat hujan, dan padanya mereka dapat memerah (hasil anggur, zaitun dan sebagainya)".yusuf:49. Kedua-dua ayat di atas jelas menunjukkan kepada kita bahawa hujan merupakan rahmat kepada menusia. Maka mungkin perkataan ghais di dalam al-quran dikhusukan bagi tujuan penurunan rahmat kepada kita.

Hujan berperanan menyirami tumbuhan dan menyingkir kekotoran. Ini dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya bermaksud : Maka bandingan orang itu ialah seperti batu licin yang ada tanah di atasnya, kemudian batu itu ditimpa hujan lebat, lalu ditinggalkannya bersih licin (tidak bertanah lagi).(al-Baqarah:265. Manakala ayat lain pula bermaksud : Adalah seperti sebuah kebun di tempat yang tinggi, yang ditimpa hujan lebat, lalu mengeluarkan hasilnya dua kali ganda. Kalau ia tidak ditimpa hujan lebat maka hujan renyai-renyai pun (cukup untuk menyiraminya) dan (ingatlah), Allah sentiasa Melihat akan apa yang kamu lakukan.(al-baqarah:265). Kedua-dua ayat ini merujuk kepada perkataan waabilun yang menunjukkan hujan. Maka selain daripada sebagai rahmat kepada manusia Allah s.w.t juga memperlihatkan kepada manusia tentang tujuan yang lain diturunkan hujan.

Selain sebagai rahmat Allah s.w.t, hujan juga berperanan sebagai ujian kepada manusia. Ini disebut oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : dan tidaklah kamu berdosa meletakkan senjata masing-masing, jika kamu dihalangi sesuatu yang menyusahkan disebabkan hujan atau kamu sakit. Dan hendaklah kamu mengambil langkah berjaga-jaga. Sesungguhnya Allah telah menyediakan bagi orang-orang kafir itu azab seksa yang amat menghina(an-nisa’:102. Kebanyakan perkataan yang terbina daripada perkataan mator membawa maksud sebagai ujian kepada umat Islam dan azab kepada umat lain seperti firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan Kami telah menghujani mereka dengan hujan (batu yang membinasakan). Oleh itu, lihatlah, bagaimana akibat orang-orang yang melakukan kesalahan(al-A’raaf:84).

Hujan juga berperanan untuk memenuhi keperluan manusia. Kemarau yang berpanjangan akan menyebabkan kita menjadi lemah manakala tanaman akan mati dan sungai akan kering pada ketika itu manusia amat mengharap supaya dikurniakan hujan untuk memenuhi keperluannya di samping memberi kekuatan yang baru. Hal ini di sebut oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Dan wahai kaumku! Mintalah ampun kepada Tuhan kamu, kemudian kembalilah taat kepadaNya, supaya Dia menghantarkan kepada kamu hujan lebat serta menambahkan kamu kekuatan di samping kekuatan kamu yang sedia ada dan janganlah kamu membelakangkan seruanku dengan terus melakukan dosa!(hud:52). Perkataan midraran di dalam al-Quran menunjukkan bahawa hujan lebat mampu memberi semangat baru kepada manusia untuk meneruskan kehidupan ibarat seperti kemarau panjang yang menungu kedatangan hujan.


Memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t melalui hujan, firman Allah s.w.t yang bermaksud : Atau (bandingannya) seperti (orang-orang yang ditimpa) hujan lebat dari langit, bersama dengan gelap-gelita dan guruh serta kilat; mereka menyumbat jarinya ke dalam telinga masing-masing dari mendengar suara petir, kerana mereka takut mati. (Masakan mereka boleh terlepas), sedang (pengetahuan dan kekuasaan) Allah meliputi orang-orang yang kafir itu. Ayat ini menerangkan keadaan hujan yang lebat mampu memperlihatkan kekuasaan Allah s.w.t. sehingga menyebabkan manusia memikirkan tentang kekuasaan Allah ia berperanan sebagai tentera Allah s.w.t

Hujan turut berperanan sebagai pemberi rezeki dan kepada manusia. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : (dan diturunkanNya air hujan dari langit, lalu dikeluarkanNya dengan air itu berjenis-jenis buah-buahan yang menjadi rezeki bagi kamu; maka janganlah kamu mengadakan bagi Allah, sebarang sekutu, padahal kamu semua mengetahui (bahawa Allah ialah Tuhan Yang Maha Esa). Kebanyakkan ayat yang bermaksud air yang diturunkan dari langit menunjukkan Allah s.w.t mengurniakan rezeki kepada manusia melalui hujan dengan cara menyuburkan lagi tanaman serta menghasilkan buah yang perbagai warna misalnya seperti firman Allah s.w.t yang bermaskud: Kami tumbuhkan dengan air hujan itu segala jenis tumbuh-tumbuhan, kemudian Kami keluarkan daripadanya tanaman yang menghijau, Kami keluarkan pula dari tanaman itu butir-butir (buah) yang bergugus-gugus dan dari pohon-pohon tamar (kurma), dari mayang-mayangnya (Kami keluarkan) tandan-tandan buah yang mudah dicapai dan dipetik dan (Kami jadikan) kebun-kebun dari anggur).

Justeru itu kita sebagai umat Islam perlulah bersyukur di atas anugerah yang tidak terhingga ini. Kita menanti kedatangan musim hujan dengan doa dan harapan semoga hujan yang diturunkan ini akan mendatangkan keberkatan dan menambah rezeki dalam memperbaiki kehidupan kita. Bordoalah kepada Allah s.w.t semoga kita sama-sama mampu menempuhi ujian daripada Allah s.w.t. dan tabah menghadapi segala kesukaran yang pastinya akan membawa kebaikan di akhirat nanti serta jangan sekali-kali kita menggangap hujan sebagai kecelakaan kepada manusia.










Tuesday, July 10, 2007

Hikmah Larangan Ketika Berihram

Ihram merupakan muqaddimah kepada ibadah haji. Merujuk kamus dewan bermaksud keadaan memakai pakaian untuk menunaikan haji ataupun umrah. Selain daripada itu ihram juga bermaksud pakaian yang dipakai ketika melaksanakan ibadah haji. Apapun jua pengertiannya. Ihram merupakan perkara penting yang perlu dipelihara oleh jemaah haji, bagi mencapai kesempurnaan melaksanakan ibadah tersebut terdapat beberapa larangan yang perlu dipatuhi dan dijauhi.

Terdapat dua perkara yang diharamkan kepada kaum lelaki ketika melaksanakan haji tetapi tidak kepada kaum wanita iaitu larangan memakai pakaian yang berjahit. Kita tidak dibenarkan memakai pakaian yang berjahit sama sekali, sehinggakan memakai sepatu yang dijahit pun tidak dibenarkan ketika berihram apatah lagi memakai baju yang berjahit. Keadaan ini bertujuan untuk tidak membezakan manusia ketika itu. Semua jemaah haji akan memakai kain yang sama dengan warna yang sama.

Perkara kedua yang dilarang kepada kaum lelaki ketika berihram ialah meletakkan sesuatu ke atas kepala dengan tujuan untuk menutupinya. Jika terdapat keuzuran larangan diharuskan. Keadaan ini amat menguji kesabaran manusia ketika mana berada di kawasan yang panas. Namun begitu kita tidak dilarang jika menggunakan payung bagi menahan kepanasan tersebut. Ini adalah sebahagian daripada ujian fizikal yang kita patuhi bagi memperoleh kesempurnaan ibadah, disamping mendapat keredaan Allah s.w.t. Kedua-dua larangan ini merujuk kepada hadis Seorang lelaki bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Bagaimana cara pakaian orang yang ingin berihram? Rasulullah s.a.w menjawab dengan bersabda: Janganlah kamu memakai baju, kain serban, seluar, penutup kepala dan sarung kaki iaitu khuf kecuali untuk orang yang tidak memiliki selipar, diharuskan dengan syarat khuf tersebut dipotong hingga bawah buku lali. Jangan memakai pakaian yang dicelup dengan Za'faran iaitu sejenis pewarna warna kuning dan Wars iaitu sejenis pewarna warna merah. Maka apa yang boleh dipakai ketika itu hanyalah kain ihram yang dipakai kemas.

Perkara yang perlu tinggalkan seterusnya ialah menyikat atau menyisir rambut sama ada menggunakan sikat atau jari kecuali dalam keadaan darurat. Begitu juga memotong rambut ketika berihram adalah diharamkan. Ini merujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan sempurnakanlah ibadat Haji dan Umrah kerana Allah; maka sekiranya kamu dikepung (dan dihalang daripada menyempurnakannya ketika kamu sudah berihram, maka kamu bolehlah bertahallul serta) sembelihlah Dam yang mudah didapati dan janganlah kamu mencukur kepala kamu (untuk bertahallul), sebelum binatang Dam itu sampai (dan disembelih) di tempatnya. Maka sesiapa di antara kamu sakit atau terdapat sesuatu yang menyakiti di kepalanya (lalu dia mencukur rambutnya), hendaklah dia membayar fidyah iaitu berpuasa atau bersedekah atau menyembelih Dam (al-Baqarah: 196). Berdasarkan maksud ayat ini ulama’ telah mengatakan bahawa larangan tersebut meliputi rambut-rambut seluruh badan termasuk jambang, misai dan sebagainya.

Seterusnya ketika berihram kita juga dilarang untuk memotong kuku tangan atau pun kaki. Ini adalah merujuk kepada qiasan larangan memotong rambut, tetapi jika terdapat kemudaratan kepada kuku dan perlu dipotong ianya diharuskan.

Memakai wangian ketika berihram juga dilarang sama sekali. Ini akan menjejaskan kesempurnaan ibadah haji tersebut. Maksud larangan di sini ialah kita menggunakan wangian dengan sengaja bertujuan untuk mewangikan bau badan. Seperti menyembur wangian, memegang alat yang sudah diketahui mempunyai bahan wangian, ataupun tidur atas sofa atau pelapik yang mempunyai wangian. Manakala mencium bunga mawar tidak menjadi larangan kepada jemaah haji. Rasullullah s.a.w bersabda yang bermaksud keadaan orang yang menunaikan haji adalah kusut gemusai dan berdebu kerana berjalan. Apabila memakai wangian maka tidak mencapai keadaan yang digambarkan oleh rasulullah s.a.w. Walaupun tidak elok keadaannya kepada manusia namun tidak bagi Allah s.a.w , seperti bau mulut orang berpuasa busuk bagi manusia namun seperti wangian kasturi di sisi Allah.

Membunuh haiwan yang boleh dimakan sama ada haiwan tersebut jenis haiwan liar atau yang dipelihara juga termasuk kedalam perkara yang perlu dilarang daripada melakukannya. Ini merujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu membunuh binatang-binatang buruan ketika kamu sedang berihram dan sesiapa di antara kamu yang membunuhnya dengan sengaja, maka dendanya (menggantinya) dengan binatang ternak yang sama dengan binatang buruan yang dibunuh itu (al-maidah:95).

Melakukan pernikahan atau pun menjadi juru nikah adalah antara lain yang menjadi larangan ketika berada dalam keadaan berihram. Jika perkara ini terjadi maka akad tersebut menjadi batal. Ini berdasarkan kepada hadis rasulullah s.a.w yang bermaksud : janganlah kamu menikahkan seseorang ataupun kamu bernikah ketika kamu berihram.

Di dalam surah al-Baqarah : 197 pula, Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : (Masa untuk mengerjakan ibadat) Haji itu ialah beberapa bulan yang termaklum. Oleh yang demikian sesiapa yang telah mewajibkan dirinya (dengan niat mengerjakan) ibadat Haji itu, maka tidak boleh mencampuri isteri dan tidak boleh membuat maksiat dan tidak boleh bertengkar, dalam masa mengerjakan ibadat Haj). Selain daripada larangan untuk bernikah, ayat ini telah menunjukkan larangan melakukan persetubuhan walaupun mumpunyai ikatan suami isteri ini bertujuan untuk menghormati ibadah yang sedang kita lakukan. Kita dilarang merangsang syahwat dengan mengunakan sebarang peralatan atau menggunakan tangan ketika berihram. Sesiapa melakukan perkara tersebut maka menyebabkan ibadah hajinya menjadi rosak.

Larangan-larangan yang telah ditetapkan kepada kita ketika berihram ini tidak bertujuan untuk menyusahkan umat Islam sama sekali tetapi bertujuan untuk mendisplinkan diri ketika beribadah. Untuk mencapai sebarang kejayaan di dalam kehidupan kita, perkara yang paling penting perlu ditekankan ialah disiplin diri. Begitu juga ketika kita beribadah, bagi mencapai haji mabrur kita perlu mendisiplinkan diri dengan mematuhi segala perkara-perkara yang telah dilarang oleh Allah s.w.t ketika berihram walaupun sekadar larangan memotong kuku. Oleh yang demikian itu, bagi mencapai kesempunaan ibadah haji pada musim ini sama-sama kita mendisiplinkan diri menjauhi segala larangan tersebut.

Hikmah Di Sebalik Ujian Allah S.W.T

Musibah atau ujian yang diturunkan kepada manusia adalah sebahagian daripada sunnahtullah kepada hambaNya beriman. Selain daripada itu Allah s.w.t juga tidak menjadikan bencana atau ujian yang dilalui oleh hambanya sebagai ingin membalas dendam atau pun menghina hambanya. Ini bersesuaian dengan firmannya yang bermaksud : Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, (dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisah) serta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku!] Jangan demikian, (sebenarnya kata-kata kamu itu salah (al-fajr:16-17). Justeru itu, disebalik ujian atau musibah yang diturunkan oleh Allah s.w.t mempunyai hikmah yang sediri jika kita memperhalusinya.

Di antara hikmah di sebalik ujian atau musibah dari Allah s.w.t ialah membuktikan kebenaran firman-firmannya di dalam al-Quran. Allah s.w.t tidak menghisab manusia kecuali dengan apa yang telah mereka lakukan sama ada dari segi perbuatan, perkataan atau pun niat. Setelah Allah s.w.t menjelaskan apa yang perlu dilakukan dan apa yang perlu dijauhi oleh manusia, barulah manusia akan dihisab di atas setiap apa yang telah dilakukan oleh manusia. Peluang yang diberikan oleh Allah s.w.t menyebabkan manusia tidak boleh mempertikaikan mengapa mereka dihisab oleh Allah s.w.t. hal ini digambarkan oleh Allah s.w.t dalam firmannya : Pada waktu itu Kami meteraikan mulut mereka (sejurus) dan (memberi peluang kepada) tangan-tangan mereka memberitahu Kami (kesalahan masing-masing) dan kaki mereka pula menjadi saksi tentang apa yang mereka telah usahakan (Yaasin:65). Begitu juga firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sehingga apabila mereka sampai ke Neraka, (maka) pendengaran dan penglihatan serta kulit-kulit badan mereka menjadi saksi terhadap mereka, mengenai apa yang mereka telah kerjakan. Dan (setelah berlaku yang demikian), berkatalah mereka kepada kulit-kulit badan mereka: Mengapa kamu menjadi saksi terhadap kami? Kulit-kulit badan mereka menjawab: Allah yang berkuasa menjadikan tiap-tiap sesuatu pandai berkata-kata, telah menjadikan kami dapat berkata-kata dan Dialah yang menciptakan kamu pada mulanya dan kepadaNyalah kamu dikembalikan (untuk menerima balasan). Kedua-dua ayat ini menunjukan kepada kita keadaan yang berlaku dihari pembalasan nanti. Justeru ini bagi yang melakukan kemaksiatan di muka ini , mereka pasti akan dapat melihat kebenaran kata-kata Allah s.w.t. di akhirat nanti.

Seian itu, musibah atau ujian Allah s.w.t juga bertujuan untuk memperlihatkan ketulenan jati diri seorang mukmin. Firman Allah s.w.t. yang bermaksud : Allah tidak sekali-kali akan membiarkan orang-orang yang beriman dalam keadaan yang kamu ada sekarang (bercampur aduk mukmin dan munafik, bahkan Dia tetap menguji kamu) sehingga Dia memisahkan yang buruk (munafik) daripada yang baik (beriman)( al-Imram:179). Ayat ini diturunkan ketika berlakunya peperangan Uhud. Terdapat golonggan yang ingin berperang dan terdapat golonggan yang ingin menakut-nakutkan umat Islam yang lain. Melalui peprangan tersebut maka zahirlah golonggan yang beriman dan golongan yang munafik. Begitu juga musibah yang berlaku sekarang, maka dapatlah kita menilai diri kita sejauh mana keimanan kita kepada Allah s.w.t. sama ada kita tergolong dalam golongan orang bersabar atau tidak.

Sebagai kaffarah dosa-dosa terdahulu .Ini juga merupakan hikmah di sebalik ujian yang diturunkan oleh Allah s.w.t kepada hambaNya, ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah s.a.w yang bermaksud : Selagi mana orang mukmin atau mukminat itu diuji, sama ada ke atas dirinya, anaknya atau hartanya, Maka Allah s.w.t menghapuskan segala dosa-dosa yang terdahulu( Riwayat Tarmizi). Sesungguhnya azab di dunia jauh lebih ringan jika dibandingkan dengan azab di akhirat, seperti mana firman Allah s.w.t : Sesungguhnya azab hari akhirat lebih besar lagi; kalaulah mereka orang-orang yang berpengetahuan (tentulah mereka beringat-ingat(al-Qalam:33)

Hikmah di sebalik ujian atau musibah juga bertujuan untuk mengangkat darjat orang mukmin dan beroleh syurga di sisi Allah s.w.t, ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t dalam sebuah hadis qudsi yang bermaksud: sesungguhnya Allah s.w.t telah berkata kepada hamba-hambanya yang diuji, apabila Aku timpa sesuatu musibah seperti yang dilalui oleh kekasihKu, maka aku akan menbalasnya dengan syurga( Riwayat Bukhari).

Himah Ujian atau musibah juga diturunkan untuk menyedarkan manusia daripada kelalaian terhadap mengigati kekuatan Allah s.w.t. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Maka alangkah eloknya kalau mereka berdoa kepada Kami dengan merendah diri (serta insaf dan bertaubat) ketika mereka ditimpa azab Kami? Tetapi yang sebenarnya hati mereka keras (tidak mahu menerima kebenaran) dan Syaitan pula memperelokkan pada (pandangan) mereka apa yang mereka telah lakukan. Ayat ini memperingatkan kita supaya berdoa kepada Allah s.w.t apabila ditimpa musibah Allah s.w.t. tidak perlu menunding jari sesiapa yang perlu bertanggungjawab kerana hal itu akan menlalaikan kita dari terus berdoa kepada Allah s.w.t.

Seterusnya Allah s.w.t juga telah berfirman yang bermaksud: Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya(al-Isra’a:16). Ayat ini jelas menunjukkan bahawa musibah yang diturunkan oleh Allah s.w.t juga bagi menghapuskan keegoan golongan yang melampau terhadap kesenangan dan juga lalai dari mengigati Allah s.w.t. walaupun telah diberi peringatan oleh Allah s.w.t.

Musibah yang menimpa manusia juga akan menyebabkan manusia semakin mensyukuri nikmat yang telah diberikan oleh Allah s.w.t kepada kita, selain itu musibah yang diturunkan kepada kita juga menunjukkan bahawa nikmat dunia yang kita kecapi sekarang ini tidak bersifat kekal abadi.

Manakala dari sudut kemasyarakatan Islam, apabila berlaku sesuatu musibah, maka menjadi kewajipan umat Islam yang lain menghulurkan bantuan, dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksdu : Barang sesiapa yang tidak perihatin terhadap keadaan golongan mukmin yang lain, maka dia bukan dari kalangan umatku. Justeru itu, ini adalah peluang kepada umat Islam khususnya di Malaysia untuk menyumbangkan bantuan kepada mangsa-mangsa bencana alam seperti banjir yang melanda Johor baru-baru ini. Sama-sama juga kita mengambil pengajaran di sebalik kejadian yang telah terjadi dan kita doakan semoga diberi kekuatan oleh Allah s.w.t kepada mangsa banjir.





Hijrah Memartabatkan Peranan wanita

Hijrah merupakan titik permulaan kejayaan agama Islam dalam menyebarkan dakwahnya. Tanpa berlakunya penghijrah dalam sejarah Islam, mungkin umat Islam tidak akan mengecapi kejayaan seperti yang dinikmati pada masa kini. Ketika zaman Rasulullah s.a.w hijrah bermaksud berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dengan membawa segala keperluan dan niat bermaustatin di tempat baru tersebut. Penghijrahan pada zaman tersebut adalah kerana ingin membina sebuah negara yang mampu diterajui oleh Rasulullah s.a.w dan menyelamatkan umat Islam daripada ditindas oleh orang kafir Mekah. Namun begitu penghijrahan seperti itu sudah tidak wujud pada masa kini, ini amat bersesuian dengan sebuah hadis yang bermaksud : Rasulullah s.a.w ditanya tentang Hijrah. Beliau menjawab dengan bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta berjihad, maka lakukanlah (riwayat muslim).

Hijrah telah memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan umat Islam. Namun begitu kita jarang sekali dihidangkan dengan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita ketika berlakunya peristiwa hijrah. Sewaktu perinstiwa hijrah terdapat beberapa orang wanita yang telah menjayakan rancangan tersebut. Sumbangan yang telah diberikan oleh mereka telah membuktikan tentang peranan wanita dalam membantu menyebarkan dakwah ketika permulaan Islam.

Asmaa’ Binti Abu Bakar merupakan anak perempuan Saidina Abu Bakar r.a adalah contoh wanita yang menyumbangkan tenaga dalam menjayakan misi hijrah Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan wanita yang dipercayai oleh Rasulullah s.a.w untuk membantunya berhijrah ke Madinah. Asmaa’ telah menjadi mata dan telinga rasullullah s.a.w sewaktu bersembunyi di gua. Selain daripada itu, Asmaa juga telah menghantar makanan dan minuman kepada rasulullah s.a.w dan Abu Bakar ketika masih lagi bersembunyi. Bagi mengelakkan jejaknya dikesan oleh pihak musuh, beliau telah menggunakan kebijaksanaannya dengan membawa segerombolan kambing ketika menghantar makanan ke tempat persembunyian Rasulullah s.a.w dan bapanya Abu Bakar r.a. Selain daripada itu beliau juga seorang yang sangat berani, apabila disoal siasat tentang bapanya dan Rasulullah s.a.w oleh Abu Jahal dan pengikutnya, beliau tidak pernah menceritakannya walaupun ditampar sehingga keluar dari telinganya.
Semasa ketiadaan bapanya, Asmaa telah berperanan sebagai ketua untuk menjaga adik-adiknya serta datuknya. Beliau selalu menenangkan datuknya Abu Quhafa’ tentang keselamatan Abu Bakar r.a. begitu juga adik-adiknya apabila bertanya tentang keselamatan ayah mereka. Pernah suatu ketika Asmaa telah memasukkan batu ke dalam tas tangannya untuk menunjukkan kepada datuk yang buta dan adik-adiknya bahawa ayah mereka telah meninggalkan sumber kewangan kepada mereka.

Selain daripada Asma’, kisah ketabahan Ummu Salamah juga patut menjadi contoh kepada wanita pada zaman sekarang dalam usaha menjadi seorang pendakwah. Ummu Salamah merupakan antara wanita terawal memeluk agama Islam bersama suaminya Abdullah Abu Asaad. Pengislamannya telah medapat tentangan yang hebat dari Quraish Mekah ketika itu, disebabkan tidak tahan dengan siksaan yang dihadapi maka Rasulullah s.a.w telah memerintahkan mereka berhijrah ke Habsyah. Ketika Islam makin tersebar beliau telah pulang semula ke Mekah setelah mendapati keadaan agak tenang di Mekah. Setibanya di Mekah, Rasulullah s.a.w telah menyeru kepada umat Islam ketika itu supaya berhijrah ke Madinah, seruan itu telah disambut oleh Ummu Salamah sekeluarga, tetapi ketika hendak meninggalkan Mekah beliau telah ditahan oleh kaumnya. Kaumnya telah menahannya daripada meneruskan hijrah bersama suami dan anaknya. Beliau telah bersendirian beberapa lama, sehinggalah beliau berjaya melarikan diri sendirian ke Madinah. Ketika dalam perlajanan ke Madinah beliau telah bertemu dengan Uthman Ibn Talhah, lalu membawanya ke Madinah untuk bertemu suaminya.

Memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita merupakan agenda tersembunyi disebalik peristiwa hijrah. Peranan yang dimainkan oleh Asma’ telah membuktikan bahawa kedatangan Islam adalah bertujuan untuk memartabatkan kaum wanita. Ini dapat menolak tanggapan yang mengatakan bahawa Islam menindas kaum wanita. Pada masa kini kita dapati bahawa kaum wanita merupakan penyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pendidikan. Selain itu terdapat juga kaum wanita telah berjaya menjadi usahawan yang berjaya dan menjawat jawatan tingi dalam kementerian. Manakala ketabahan yang dilalui oleh Ummu Salam berakhir dengan penemuan semula dengan suami dan anaknya haruslah dimiliki setiap wanita Islam dalam menghadapi dugaan kehidupan mereka sama ada dalam berkerjaya ataupun dugaan rumahtangga. Selain daripada itu, sewaktu ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah beliau juga telah disambut oleh kaum-kaum wanita. Ini menunjukkan bahawa kaum wanita juga terlibat dalam urusan kemasyarakan mereka.

Namun begitu hukum ahkam yang telah ditetapkan oleh Islam ada membataskan muamalah kaum wanita. Ianya bukan bertujuan untuk menyekat tetapi untuk membezakan antara wanita Islam dengan yang bukan Islam dalam muaamalah harian. Hukum akham tersebut bertujuan untuk mendisiplinkan diri dan memantapkan jati diri muslimat.

Wanita yang tidak berkerjaya juga sebenarnya secara tidak langsung berperanan dalam menyumbangkan kepada kemajuan sesebuah negara, khusunya kemajuan di dalam pembinaan moral. Isteri berperanan penting dalam membentuk peribadi anak-anak sambil dibantu oleh suami. Allah s.w.t telah memberi hak yang lebih kepada kaum ibu terhadap anak-anak berbanding dengan suami ini telah sebut dalam hadis nabi bahawa ibu lebih berhak terhadap anak kemudian suami. Pendidikan awal kanak-kanak haruslah bermula di rumah. Ibubapa perlu memperlihatkan tauladan yang baik ketika bayi masih lagi dalam kandungan. Asma’a Bin Abu Bakar telah membantu Rasulullah s.a.w dan bapanya ketika dia sedang mengandung. Tauladan yang telah ditunjukkan oleh Asma’ telah menghasilkan anak yang berkualiti seperti Abdullah Bin Zubir.

Justeru sejarah penghijrahan umat Islam ke Madinah telah memartabatkan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita. Wanita tidak seharusnya merasakan diri mereka sebagai kaum yang ditindas sebaliknya hendaklah sama-sama memartabatkan agama Islam.