Tuesday, July 10, 2007

Kehebatan Himpunan Agong Umat Islam

Wuquf di Arafah merupakan perhimpunan agong umat Islam seluruh dunia. Seluruh umat Islam akan berkumpul dengan memakai ihram serta melakukan ritual yang telah disyariat oleh Allah s.w.t seperti berzikir, bertahmid, takbir dan sebagainya bagi meraikan hari tersebut. Hari arafah adalah hari yang ke 9 dalam bulan zulhijjah menurut kalander Islam. Ia dikenali sebagai hari Arafah kerana perhimpunan tersebut bertempat di suatu kawasan yang berdekatan dengan kawasan pergunungan yang memanjang ke Mina dikenali sebagai Arafah. Terletak lebih kurang 25 kilometer daripada Kota Mekah. Seluruh kawasan di Arafah adalah tempat berwuquf kecuali di Uranah.

Ibadah wuquf atau berhenti sebentar di Arafah merupakan hati ibadah haji yang mana wajib dilakukan oleh setiap jemaah haji. Jika rosak hati itu maka rosaklah haji tersebut. Perkara ini telah diterangkan dalam sebuah hadis di mana seorang sahabat yang berasal dari Najed, bertanya kepada Rasulullah saw.--ketika beliau sedang wukuf di Arafah-- tentang haji. Rasulullah saw. menjawab, "Haji adalah wukuf di Arafah, barangsiapa yang telah sampai pada malam Arafah sebelum terbit fajar hari berkumpul (hari Arafah), maka telah sempurnalah hajinya.". Hadis ini menunjukkan bahawa jika kita telah melakukan wuquf di Arafah seolah-olah haji kita telah sempurna. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya melakukan wuquf di arafah berbanding dengan perbuatan haji yang lain.

Pada zaman jahiliyyah, kaum Quraish dan kaum-kaum yang seagama dengan mereka telah melakukan wuquf di Muzdalifah. Mereka menamakannya sebagai al-Hums. Semantara itu seluruh orang Arab pula berwuquf di padang Arafah. Apabila kedatangan agama Islam, Allah s.w.t telah memerintah kepada Nabi Muhammad dan umatnya supaya berwaqaf di Arafah. Mereka diwajibkan meninggalkan Arafah sebelum terbenam matahari pada 9 Zulhijjah.

Jika kita mengkaji tentang hari arafah, kita akan dapati terdapat pelbagai kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Pada hari tersebut, jika kita berada di padang Arafah kita akan dapati setiap jemaah haji memakai pakaian yang serupa tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, warna politik mahupun perbezaan ideologi politik sambil bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. ketika itu kita hanya memikirkan tentang kebesaran Allah s.w.t tanpa memikirkan hal ehwal duniawi. Melucutkan pakaian memewah serta memakai ihram ketika itu melambangkan seolah-olah kita meninggalkan segala urusan dunia seterusnya menumpukan kepada pengabdian kepada Allah s.w.t sahaja.

Manakala umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji ketika itu juga dituntut meraikan hari tersebut, mereka disunatkan supaya berpuasa pada hari tersebut seperti yang telah diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansari katanya : Rasulullah s.a.w telah ditanya oleh seorang lelaki mengenai puasa hari Arafah, lalu Rasulullah s.a.w menjawab : Puasa hari arafah itu menghapuskan dosa yang dilakukan pada tahun sebelumnya dan tahun berikutnya. Menurut jumhur ulama’ apa yang dimaksudkan dosa di sini ialah dosa-dosa kecil sahaja. Manakala dosa besar hanya akan terhapus dengan solat taubat sahaja. Bagi jemaah haji pula mereka tidak perlu berpuasa ini kerana Rasulullah s.a.w tidak berpuasa pada hari tersebut berdasarkan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh ummu Al-Fadhil Binti Al-Harith r.a : Terdapat beberapa orang sahabat ketika berada di Arafah membincangkan tentang puasa Rasulullah s.a.w. sebahagian mengatakan baginda berpuasa dan sebahagian mengatakan tidak, lalu aku menghulurkan secawan susu kepada baginda ketika kebetulan melalui kawasan tersebut lantas meminumnya.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Ini kerana Rasullullah s.a.w telah memohon kepada Allah s.a.w supaya memperkenan doa hambanya pada hari tersebut . Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah pada hari Arafah, "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah Taala pada hari ini bersedia mengampuni segala dosa-dosa kalian kecuali kesalahan yang bersangkutan dengan orang lain di kalangan kamu. Dan membalas keburukan kalian dengan kebaikan. Dan mengabulkan segala permintaan orang yang berbuat kebaikan. Maka dari itu bergegaslah memohon dengan nama Allah. Dalam doa beliau menyebut : Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan doaku ini sia-sia, kasihani dan sayangilah aku wahai Tuhan sebaik-sebaik tempat meminta dan sebaik-baik Pemberi." . Justeru itu, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi ibadah kita kepada Allah s.w.t pada hari tersebut. Semoga dengan cara tersebut Allah s.a.w mempermudahkan untuk menerima doa hambanya.

Pada hari arafah juga Allah s.w.t telah menurunkan ayat yang menyatakan telah sempurnanya ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud : Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu dan telah aku sempurnakan nikmatku atasmu dan Aku rela Islam sebagai agama bagimu.". perkara ini diriwayatkan daripada Toriq Bin Syihab r.a katanya: Orang-orang yahudi berkata kepada umar r.a. kami semuanya membaca sepotong ayat yang sekiranya ayat tersebut diturunkan kepada kami nescaya kami akan jadikan hari tersebut hari raya. Umar menjawab: aku amat mengetahui di mana ayat itu diturunkan serta bila ia diturunkan dan di mana rasulullah s.a.w berada ketika. Ayat tersebut diturunkan di arafah. Sufian berkata ; aku tidak pasti adakah ayat tersebut diturunkan pada hari Jumaat ataupun tidak. Ayat yang dimaksudkan ialah firman allah s.w.t yang bermaksud; Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu dan telah aku sempurnakan nikmatku atasmu dan Aku rela Islam sebagai agama bagimu.".

Sesungguhnya sesiapa yang wafat ketika sedang berwuquf di Arafah, sesungguhnya Allah s.w.t akan membangkitkannya dalam keadaan bertalbiyah. Ini merujuk kepada sebuah kisah ketika seorang lelaki berwukuf bersama Rasulullah s.a.w. tiba-tiba dia terjatuh dari tunggangannya dan meninggal. Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya laki-laki tersebut dikafani dengan pakaiannya, tidak diberi wangi-wangian, dimandikan dengan air dan daun bidara serta tidak ditutup kepala dan mukanya. Sesungguhnya Allah s.w.t akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyah.

Berkesempatan untuk meraikan kemuliaan hari arafah yang akan datang tidak lama lagi, maka kita sama-sama meningkatkan lagi amalan di samping memperbanyakkan doa dan zikir pujian terhadap Allah s.a.w serta mendoakan kesejahteraan kepada jemaah haji seluruh dunia khususnya jemaah dari Malaysia semoga dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna dan memperolehi haji yang mamrur.