Monday, July 16, 2007

Pengurusan dan pentadbiran dalam Islam
PENDAHULUAN

Islam merupakan ad-diin yang tidak hanya diaplikasikan di dalam ibadah semata-mata. Malahan islam adalah satu cara hidup yang syumul yang mencakupi seluruh aspek kehidupan manusia sama ada ekonomi, sosial dan sebagainya. Kemantapan umat islam suatu masa dahulu adalah disebabkan oleh kecekapan pengurusan dan pentadbiran yang dipimpin oleh Rasulullah s.a.w dan dibantu oleh para sahabat. Justeru itu kertas kerja ini dibentangkan bertujuan untuk mendedahkan kepada pelajar tentang kemantapan sistem islam yang terdahulu merupakan faktor kegemilangan umat islam yang terdahulu serta mendedahkan kepada pelajar tentang penyelewengan fakta yang mengatakan bahawa sistem pengurusan adalah berkiblatkan kepada barat semata-mata.

PENGERTIAN PENGURUSAN DAN PENTADBIRAN ISLAM

Pengurusan Dan Pentadbiran Menurut Al-Quran

Terdapat beberapa ayat al-quran telah menyebut dengan jelas perkara yang berkaitan dengan pentadbiran atau pengurusan. In menunjukkan bahasa urusan yang berkaitan dengan pengurusan dan pentadbiran adalah perkara yang penting dan perlu diperbincangkan.
Di dalam bahasa arab perkataan tadabbara bermaksud tadbir dan urus. Hal ini telah disebut oleh Allah s.w.t di dalam beberapa firman Allah s.w.t seperti berikut :

Surah al-Sajadah: 5
Allah mentadbirkan makhluk-makhlukNya; (bagi melaksanakan tadbirNya itu Ia menurunkan segala sebab dan peraturan) dari langit ke bumi; kemudian diangkat naik kepada pengetahuanNya (segala yang berlaku dari perlaksanaan tadbirNya itu untuk dihakimiNya) pada suatu masa yang (dirasai oleh orang-orang yang bersalah) banyak bilangan tahunnya menurut hitungan masa kamu yang biasa.

Surah al-Ra’ad:2
Allah jualah yang menjadikan langit terangkat tinggi dengan tiada bertiang sebagaimana yang kamu melihatnya, kemudian Dia bersemayam di atas Arasy dan Dia memudahkan matahari dan bulan (untuk faedah makhluk-makhlukNya); tiap-tiap satu dari keduanya beredar untuk suatu masa yang telah ditetapkan. Allah jualah yang mentadbirkan segala urusan; Dia menerangkan tanda-tanda kekuasaanNya satu-persatu, supaya kamu yakin kepada pertemuan Tuhan kamu (untuk menerima balasan).

Surah Yunus : 3
Sesungguhnya Tuhan kamu ialah Allah yang menjadikan langit dan bumi dalam enam masa kemudian Dia bersemayam di atas Arasy mentadbirkan segala urusan. Tidak ada sesiapa pun yang dapat memberi syafaat melainkan sesudah diizinkanNya. (Yang bersifat demikian) itulah Allah, Tuhan (yang memelihara dan mentadbirkan keadaan) kamu; maka tunduklah dan taatlah kamu kepada perintahNya; patutkah kamu setelah mengetahui kenyataan yang tersebut tidak mahu mengingatiNya?

Surah Yunus : 31
Bertanyalah kepada mereka (yang musyrik itu): Siapakah Yang memberi rezeki kepada kamu dari langit dan bumi? Atau siapakah yang menguasai pendengaran dan penglihatan? Dan siapakah yang mengeluarkan makhluk yang hidup dari benda yang mati dan mengeluarkan benda yang mati dari makhluk yang hidup? Dan siapakah pula yang mentadbirkan urusan sekalian alam? (Dengan pertanyaan-pertanyaan itu) maka mereka (yang musyrik) tetap akan menjawab (mengakui) dengan berkata: Allah jualah yang menguasai segala-galanya! Oleh itu, katakanlah: (Jika kamu mengakui yang demikian), maka mengapa kamu tidak mahu bertakwa?

Ke empat-empat ayat di atas, mejelaskan tentang kecekapan pentadbiran yang dilaksanakan oleh Allah s.w.t agar menjadi panduan kepada manusia untuk mentadbir dan menguruskan kehidupan mereka seharian. Berdasarkan ayat-ayat tersebut sarjana-sarjana Islam telah meletakan pengurusan dan pentadbiran sebagai perkara yang penting untuk mencapai kejayaan dalam sesebuah organisasi.

Pengertian Pentadbiran Dan Penguruan Islam Mengikut Pandagan Sarjana Islam Dan Barat

Sistem pengurusan secara umumnya adalah kebolehan mengunakan segala sumber alam sama ada berbentuk kebendaan atau kemanusiaan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t. Malahan ada juga yang berpendapat pengurusan merupakan bentuk kesenian yang berasaskan kemahiran dan bakan seseorang. Selain daripada itu ada juga yang berpendapat bahawa pengurusan adalah suatu kajian ilmiah dan juga kesenian yang bergantung kepada kebolehan seseorang yang akan menjadi pengurus.

Hasil daripada pengertian umum tersebut, ramai sarjan-sarjana sama ada Islam atau barat yang memberi pengertian baru bersesuaian mengikut peredaran zaman. Selain daripada itu, ada jupa pandangan yang membezakan di antara pentadbiran dan pengurusan. Berikut adalah pandagan sarjana Islam dan barat berkaitan pengurusan dan pentadbiran.

Pengurusan

‘ Pengurusan sebagai satu kajian ilmiah terhadap bakat dan kebolehan serta kemahiran seseorang untuk menjadi pengurus’ ( Ibrahim Abu Sin )

‘ Pengurusan sebagai melayan kehendak awam atau rakyat’ “ saya telah melantik gebenor bagimu, juga para pegawai bukan untuk memikul tubuh atau mengambil hartamu tetapi mendidik dan melayanmu” ( Umar Bin Al khatab ).

‘ Pegurusan sebagai kebolehan menggunakan segala sumber alam dan manusia kurniaan allah untuk kebajikan manusia dan sistem perlaksanaan serta penyelarasan dasar pemerintah oleh kementerian, jabatan, institusi, dan badan yang ditubuhkan’ ( Dr Mohamad Yusof Noor )

‘ Pengurusan merupakan proses mendapat dan mencantum sumber kewangan,modal,tenaga manusia dan sebagainya untuk mencapai matlamat organisasi sama ada dalam bentuk barangan atau perkhidmatan’ ( Prof Syed Othman Al Habshi ).

Pentadbiran

‘ Perkataan pentadbiran atau administration dalam bahasa inggeris dari segi bahasa diambil dari perkataan latin iaitu administrare yang membawa maksud pengurus’ ( Muhammad A. Al Buraey )

‘Proses perlaksanaan untuk mencapai sesuatu maklumat atau projek’
( Muhammad Abu Rauf ).

Maka pengurusan atau pentadbiran islam masa kini dapatlah ditakrifkan sebagai : “ suatu proses penglibatan dan pengalokasi sumber ( tenaga manusia benda dan perkara yang berkaitan )supaya saling bekerjasama dan berfungsi dalam sesebuah organisasi ke arah mencapai sesuatu objektif dan tujuan sama ada yang bermotifkan keuntungan atau tidak ia hendaklah selari dengan ketentuan-ketentuan syariat”.

Pengurusan

‘ Pengurusan sebagai menyelaras tenaga kerja untuk mencapai matlamat negara’ ( L.D Whaite )

‘ Pengurusan sebagai melaksanakan perintah dan menyelaraskan kegiatan bersama kelompok’ ( Taji ).

Pentadbiran

‘ Pentadbiran sebagai pentadbiran negara secara sistematik untuk tujuan kebajikan dan memenuhi kehendak sosial’ ( F.D Federicson ).

‘ Melaksanakan tugas pemerintah, menyelaras tenaga kerja dan bekerjasama dalam melaksanakan tugas serta tanggungjawab’
( Dimoc ).

‘ mengurus dan mengawas manusia untuk menyelesaikan masalah atau pekerjaan’ ( Gladden ).

Kesimpulan dari pendapat sarjana tentang pengurusan dan perancangan boleh di kategorikan kepada 3 kesimpulan iaitu :

Sebagai kemahiran dalam perancangan dan pelaksanaan untuk mencapai sesuatu matlamat.

Sebagai perlaksanaan dasar pemerintahan untuk kebajikan awam atau rakyat.

Sebagai penyelarasan antara agensi kerajaan untuk melaksanakan dasar yang telah diputuskan untuk mencapai matlamat negara iaitu kebajikan dan keperluan awam.