Monday, November 26, 2007

LAILATUL QADR

LAILATUL QADR
Berada di akhir 10 Ramadan merupakan kemuncak kepada kemanisan ibadah seorang hamba yang mencari ketakwaan dan keampunan Allah s.w.t. Jika kita berada di awal Ramadan dan pertengahan Ramadan kita hanya digalakkan untuk menunaikan solat taraweh di masjid, sebaliknya pada akhir Ramadan Rasulullah s.a.w telah mengalakkan kita supaya beriktikaf di masjid, seperti mana yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari, Daripada aisyah r.a : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w beriktikaf di masjid pada akhir 10 ramadan sehingga beliau wafat.. Amalan yang telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w merupakan galakkan kepada umatnya supaya makin mempertingkatkan lagi amalan ibadah ketika berapda di penghujung Ramadan ini kerana pada malam 10 terakhir Ramadan terdapat suatu malam yang penuh dengan keberkatan dan kesejahteraan kepada umat Islam yang beramal padanya, malam tersebut dikenali sebagai Lailatul Qadr. Malam ini tidak akan dinikmati oleh orang lain melainkan mereka yang beriman dan sering beribadah kepada Allah s.w.t sahaja.
Kehebatan dan kelebihan pada malam Lailatul Qadr ini telah diceritakan oleh Allah s.w.t kepada umat Islam di dalam Al-Quran melalui dua firmannya iaitu pertama di dalam surah Al-Dhukhan yang bermaksud : Haa, Miim, demi kitab Allah yang menjelaskan. Susungguhnya kami turunkannya pada malam yang penuh keberkatan, malam tersebut dijelaskan segala urusan dengan penuh hikmah.Urusan yang besar dari sisi Kami, Sesungguhnya kami adalah yang menggutus rasul. Rahmat dari tuhan kamu, Dia yang maHa mendengar dan maha mengetahui. ( Surah al-dukhan:1-6 ). Kemudian Allah s.a.w menceritakan tentang kelebihan Lailatul Qadr secara khusus di dalam firmannya yang bermaksud : Sesungguhnya kami telah menurunkannya ( al-Quran ) pada malam Lailatul Qadr. Dan tahukah kamu apakah malam lailatul Qadr. Malam yang terdapat kemuliaan padanya melebihi 1000 bulan. Pada malam tersebut, turun malaikat-malaikat jibril dengan izin tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam tersebut penuh kesejahteraan sehingga terbit fajar. ( surah al-Qadr:1-5 ).
Daripada kedua-dua surah tersebut adalah surah makiyyah yang mengandungi firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sesungguhnya kami telah menurunkannya, Nya di dalam ayat tersebut merujuk kepada ganti nama bagi Al-Quran al-Kareem yang telah diturunkan oleh Allah s.w.t pada malam Lailatul Qadr. Ini merupakan tanda pertama kebesaran dan kehebatan malam tersebut yang dituntut oleh agama supaya berlumba-lumba untuk memperolehinya. Persoalannya di sini bagaimakah Allah s.w.t menurunkan al-quran pada satu malam sahaja, sedangkan kita sedia maklum bahawa al-quran diturunkan kepada Nabi s.a.w selama 23 tahun secara berperingkat-peringkat. Bagi menjawab persoalan ini, terdapat riwayat daripada Ibn Abbas yang meyatakan bahawa Al-Quran diturunkan dalam jumlah yang satu ke langit dunia, kemudian meletakkannya di Bait Al-Izaah pada malam Lailatul Qadr, kemudian diturunkan ke dunia lebih kurang 23 tahun ( Sunan An-Nasa’e). Manakala menurut Abdullah Bin Hussin Al-Halimi (403H) dan Imam Abi Hussin Al-Mawardi ( 450H ) beliau berpendapat bahawa al-quran diturunkan secara berperingkat ke langit dunia setiap lailatul qadr selama 23 tahun sebelum diturukan kepada Nabi s.a.w. menurut Al-Halimi juga, pada malam tersebut Allah s.w.t akan memaklumkan kepada malaikatnya apa yang akan terjadi kepada anak-anak adam sehingga kepada Lailatul Qadr yang akan datang. Jika diteliti di dalam 5 ayat pertama surah Al-Dukhan, Allah s.w.t menerangkan kepada kita bahawa Lailatul Qadr adalah malam yang penuh dengan mubarakah ini disebabkan pada malam tersebut, diturunkan kepada hambanya yang soleh segala kebaikan dan keberkatan untuk kehidupannya yang mendatang. Pada malam tersebut juga Allah s.w.t akan menetapkan segala urusan hambanya yang berkaitan kehidupan hariannya dengan kekuasaan yang dimilikinya sehingga Lailatul Qadr akan datang.
Manakala di dalam Surah al-qadr pula Allah s.w.t telah menjelaskan secara khusus tentang kelebihan malam tersebut. Melalui surah al-qadr , diterangkan lima kelebihan Lailatul Qadr iaitu pertama : malam yang diturunkan Al-Quran, seperti yang telah diterangkan di dalam ayat surah Al-Dukhan. Kedua, disebut dalam surah tersebut bahawa Lailatul Qadr merupakan malam yang lebih baik 1000 malam iaitu ibadah pada malam tersebut lebih baik daripada beribadah 1000 malam biasa yang tidak terdapat lailatul qadr. Pada malam tersebut ibadah yang dilakukan oleh hamba yang soleh akan dilipat gandakan ganjarannya, doanya akan diperkenankan oleh Allah s.w.t disamping mendapat keredaan allah dalam kehidupannya. Menurut sebuah riwayat: malam tersebut dianugerahkan kepada umat Islam, memandangkan umur yang singkat tidak sepeprti umur-umur umat yang terdahulu, justeru itu dengan umur yang singkat pasti amalan umat Muhammad tidak mampu menyamai amalan umat terdahulu, sedangkan umat Muhammad adalh sebaik umat manusia, maka Rasulullah s.a.w memohon kepada Allah sesuatu, lalu diperkenankan lailatul qadr ( riwayat imam Malik ). Manakala menurut Imam Baihaqi pula Rasulullah s.a.w telah menceritakan tentang tentang seorang lelaki daripada keturunan bani Israel yang berjihad di jalan Allah s.w.t selama seribu tahun, perkara ini menakjubkan orang mukmin ketika itu, maka turunlah keterangan tentang Lailatul Qadr. Kedua-dua hadis di atas diragui tentang tahap kesohehannya, namun apa yang pasti Lailatul Qadr adalah kurniaan Allah s.w.t kepada umat Muhammad berdasakan kehendaknya. Hal ini telah disebut dalam sebuah hadis soheh yang bermaksud : Sungguhnya rasulullah s.a.w telah bersabda, perumpamaan kamu dan ahli kitab adalah seperti membayar upah orang gaji. Maka Rasulullah s.a.w bertanya: siapakah ingin berkhidmat untuk ku dari pada terbit matahari sehingga separuh hari dengan upah qirat. Orang yahudi melakukannya. Kemudian beliau bertanya lagi : siapakah ingin berkhidmat untuk ku dari pada tengah hari sehingga Asar dengan upah qirat. Maka yahudi melakukannya. Kemudian beliau bertanya lagi : siapakah ingin berkhidmat untuk ku dari pada asar sehingga tengelam matahari dengan upah 2 qirat. Maka kamu melakukannya wahai orang islam. Yahudi dan nasrani menjadi marah, lalu mereka berkata: Mengapakah kami melakukan pekerjaan yang sama tetapi mendapat sedikit ? lalu rasulullah bertanya adakah kamu mendapat kurang daripada hak kamu, mereka menjawab, tidak, maka rasulullah s.a.w berkata: maka kemuliaan ku ingin memberi kepada sesiapa yang aku kehendak.( Riwayat Bukhari Di Dalam Jamik Sohih ). Merujuk kepada hadis ini, Lailatul Qadr adalah kehendak allah s.w.t untuk dikurniakan kepada umat islam, pendapat ini yang paling disokong.
Manakala kelebihan Lailatul Qadr yang ketiga ialah malam yang dikunjungi oleh para malaikat yang diketuai oleh Jibril a.s bagi memperlihatkan betapa ramai hamba-hamba Allah s.w.t di dunia ini sedang berpesta ibadah dengan sujud beribadah dan memohon keredaan kepada Allah s.w.t. Terdapat riwayat yang mengatakan Allah s.w.t mengizinkan malaikat turun pada malam tersebut bertujuan untuk menafikan pandangan malaikat yang mengatakan ciptaan manusia hanya akan mengundang perbalahan dan pergaduhan sahaja di awal ciptaan Adam a.s. Kelebihan keempat Lailatul Qadr adalah malam yang penuh kesejahteraan bagi hamba yang soleh, malam yang tidak diturunkan oleh Allah s.w.t melainkan kesejahteraan ke atas hambanya yang beribadah kepadanya pada malam itu. Menurut ibn Abbas pada malam tersebut malaikat akan mengucapkan salam kepada seluruh umat islam kecuali peminum arak dan pelaku maksiat. Sesiapa yang didoakan kesejahteraanoleh malaikat maka akan diampunkan dosa-dosanya. Manakala kelebihan yang terakhir Lailatul Qadr seperti yang yang telah disebut di dalam surah Al-Qadr ialah memperoleh kemulian dan kebesaran di sisi Allah s.w.t. pada malam tersebut pintu-pintu rahmat akan dibuka oleh Allah s.w.t daripada awal malam sehingga tengelam matahari.
Kesemua kelebihan ini adalah khusus untuk umat Islam sahaja. Sama-sama kita melipat gandakan ibadah pada akhir 10 ramadan ini semoga memperoleh Lailatul Qadr dan dendapat keampunan Allah s.w.t. rasulullah s.a.w bersabda : Barang sesiapa yang beramal dimalam lailatul qadr dengan keikhlasan dan keimanan, diampunkan dosa-dosa yang terdahulu ( Riwayat Bukhari ).

AMALAN SUNNAH DI PAGI 1 SYAWAL

1 syawal merupakan hari untuk bergembira bagi umat Islam setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Bagi umat Islam hari tersebut dikenali sebagai ’aidul fitri, menurut pandangan ulama’, hari tersebut dikenali sebagai ’aidul fitri, disebabkan umat Islam kembali melakukan rutin asal mereka seperti sebelum kedatangan bulan ramadan iaitu dihalalkan bagi umat islam untuk bersarapan pagi bagi memulakan kehidupan harian mereka. Pada hari ini juga umat Islam diharamkan untuk berpuasa, malahan dituntut supaya bergembira setelah sebulan berpuasa.

’aidul fiti juga membawa kesan yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengeratkan lagi kasih sayang sesama Islam, kembali menyatukan umat Islam jika berlakunya perpecahan sebelum ini dan menjernihkan kembali jika terdapat perhubungan yang keroh selama ini. Pada hari ini juga, golongan miskin akan turut meraikan perayaan ini. Melalui zakat firah yang disumbangkan oleh yang berkemampuan akan disalurkan kepada golongan yang memerlukannya bagi bersama-sama bergembira dalam merayakan aidul fitri yang hanya datang setahun sekali.

Bagi memperolehi keredaan Allah s.w.t dalam kita sama-sama bergembira menyambut aidul firi, Rasulullah s.a.w telah menetapkan beberapa perkara yang perlu dilakukan pada hari tersebut. Sebagai panduan kepada umat Islam, berikut adalah beberapa tuntutan yang perlu kita lakukan bagi mendapat keredaan allah s.w.t sewaktu kita bergembira di aidul fitri.

Di dalam sebuah hadis daripada Muaz r.a, Sesungguhnya rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menghidupkan empat daripada malam-malam ini, dijamin syurga: Malam Taraweh, Malam ’Arafah, Malam an-Nahr dan Malam aidul fitri ( Riwayat Ibn As-syakir). Manakala dalam sebuah hadis lain pula, daripada ’Ubadah r.a daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menghidupkan Malam Aidul fitri dan Adha tidak akan dimatikan hatinya pada hari-hari akan dimatikan hati-hati mereka ( Riwayat al-thobrani ). Walaupun kedua-dua hadis ini diragui taraf kesohehannya, tetapi dalam mendekatkan diri kepada Allah s.w.t kita bolehlah beramal dengannya bagi mendapat keredaan Allah s.w.t. seperti melakukan takbir raya, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : dan hendaklah kemu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kemu mengagungkan Allah s.w.t atas petunjukNya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur ( al-Baqarah:185 ). Jika di perkampungan felda budaya takbir dari rumah ke rumah dilakukan setelah selesai solat insyak sehingga ke larut malam. Amalan seperti ini walaupun tidak dilakukan pada zaman dahulu tetapi amat baik dilakukan zaman kerana menghidupkan malam aidul fitri dengan perkara yang tidak bertentengan dengan syariat. Jadi ada baiknya jika budaya ini dikembangkan ke perumahan-perumahan seluruh malaysia. Disebut dalam sebuah hadis bahawa rasulullah s.a.w bertakbir daripada rumahnya sehingga ke tempat solat. Merujuk kepada hadis ini, amalan bertakbir dilakukan sehingga selesai solat aidil fitri.

Sebelum keluar menunaikan solat di pagi raya di masjid atau di surau, kita disunnatkan mandi bagi menyucikan badan. Amalan ini terlah disebut di dalam sebuah riwayat di dalam kita Al-Muatok, daripada Said Bin Jabir beliau berkata: Sunnah di pagi raya ada tiga iaitu : Berjalan ke tempat sembahyang, mandi di pagi raya, dan makan sebelum keluar bersembahyang. Ulama’ mengatakan bahawa tujuan mandi di pagi raya adalah bertujuan untuk mendapat rahmat Allah s.w.t selain mewujudkan rasa selesa orang orang sekeliling. Imam An-Nawawi mengatakan bahawa solat aidul fitri merupakan salah satu perhimpunan tahunan ummat Islam yang perlu diraikan walaupun tidak diwajibkan kepada umat Islam.

Kita juga disunnatkan supaya menjamah makanan sebelum menunaikan solat aidul fitri, bertepatan dengan sebuah riwayat di dalam soheh bukhari daripada Annas Bin Malik, beliau berkata : sebelum rasulullah s.a.w keluar menuju ke masjid beliau telah makan beberapa biji tamar dalam jumlah yang ganjil. Ini menunjukkan bahawa pada pagi aidul fitri umat Islam diharamkan berpuasa pada hari tersebut, menurut Ibn Hajar tuntutan supaya kita makan sebelum menunaikan solat raya adalah bertujuan untuk mengelakkan kita merasakan bahawa kita masih lagi berada di bulan ramadan, justeru itu kita dituntut supaya mengambiol sedikit makanan sebelum ke surau atau masjid.

Kepada yang belum membayar zakat fitrah, mereka disunatkan berbuat demikian sebelum menunaikan solat raya, walau bagaimanapun kita boleh melakukannya pada bulan ramadan bagi mengelakkan dari terlepas daripada membayar zakat fitrah tersebut.. Daripada ibn Abbas r.a. Sesungguhnya rasulullah s.a.w mewajibkan kepada umat Islam membayar zakat fitrah, bagi menyucikan diri daripada perkara yang sia-sia, serta memberi makan kepada fakir miskin. Barang sesiapa yang membayar zakat sebelum solat, maka zakatnya diterima Allah s.w.t. barang sesiapa yang membayar selepas solat, maka ia menjadi sedekah( Abu Daud ).

Ketika meraikan aidul fitri kita dituntut agar memakai pakaian-pakaian yang cantik-cantik dan wangian-wangian tetapi tidaklah sehingga melibatkan berlakunya pembaziran. Di sebut dalam sebuah riwayat, sesungguhnya rasulullah s.a.w memakai pakaian cantik ketika menyambut syawa tidak seperti pakaian pada hari kebiasaanya, begitu juga dengan para sahabat, rasulullah s.a.w menyuruh mereka memakai pakaian cantik pada hari tersebut lain pada hari-hari biasa. Bagi kaum wanita juga disunnatkan memakai pakaian yang cantik tetapi tidak sehingga menimbulkan fitnah, dan tidak memakai wangian yang keterlaluan. Selain itu, pada hari ini juga kita hendaklah bergembira dengan bermain alat bunyia yang diharuskan, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Iyad Al-Asya’ari sesungguhnya ketika itu beliau menyambut perayaan di Al-Ambar, beliau tidak melihat penduduk disitu bermain alat bunyian ( yang diharuskan ), maka beliau berkata : aku tidak melihat kamu memukul alat bunyian seperti mana yang dilakukan di zaman rasulullah s.a.w.

Ketika pulang dari menunaikan solat sunat di pagi raya, kita dituntut agar mengikut jalan yang berlainan. Ini disebabkan jalan tersebut akan menjadi saksi kepada kita di hari kiamat nanti di atas kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Pada hari ini juga kita dituntut supaya banyak berziarah rumah saudara mara, sahabat handai, mengucap salam, memperbanyakkan berdoa kebaikan kepada sesiapa yang kita jumpa, ini semua merupayakan syiar allah s.w.t yang akan menigkatkan ketakwaan di dalam jiwa kita kelak.

Ini merupakan antara tuntutan yang boleh dijadikan panduan kepada kita agar menjadikan perayaan kita lebih bermakna. Sesungguhnya melakukan setiap perkara yang baik itu sudah pasti akan mendekatkan kita dengan Allah s.w.t. justeru itu bersempena aidil fitri yang bakal menjelma nanti, sama-sama kita mengeratkan lagi silaturahim yang sudah sedia terjalin sesama kita, semoga memperkukuhkan lagi persaudaraan sesama islam, juga tidak kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara seislam kita di tempat-tempat yang lain.

PUASA DAN KESIHATAN

PUASA DAN KESIHATAN
Puasa menurut Islam bermaksud menahan diri daripada mengambil makanan dan juga minuman daripada terbit fajar sehingga kepada tenggelam matahari beserta dengan niat berpuasa. Ibadah puasa tidak diamalkan oleh penganut beragama Islam sahaja, sebaliknya umat-umat terdahulu dan agama-agama lain juga mengamalkan amalan berpuasa mengikut kaedah dan cara masing-masing sepeprti agama yahudi dan kristian. Namun begitu terdapat juga agama yang mengharamkan ibadah puasa kerana proses menahan diri dari lapar adalah suatu yang menyeksakan.

Secara dasarnya kita dapati bahawa ibadah puasa ini merupakan suatu amalan yang menyakitkan kepada sesiapa yang beramal dengannya. Dalam agama Islam sesuatu yang memudaratkan kepada penganutnya dikenali sebagai masyaqqah iaitu kesukaran atau kesusahan hendaklah dihindari. Ini kerana Islam merupakan agama yang membawa konsep kemudahan dan keringanan di dalam kehidupan umatnya dan bukannya membawa kesusahan dan kesukaran terhadap umatnya. Dalam keadaan tertentu, walaupun pada dasarnya sesuatu perkara itu kelihatan susah namun ia adalah suatu taklif yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu seperti kewajipan dalam mencari rezeki. Walaupun mencari rezeki memerlukan pengunaan tenaga namun ia bukanlah suatu kesukaran atau kesusahan sebaliknya ia adalah suatu tuntutan untuk meneruskan kehidupan.

Hakikatnya bahawa kesusahan dan kesukaran adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan ibadah perlu kepada pengorbanan dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Di antara ibadah yang memerlukan pengorbanan fizikal adalah ibadah puasa. Ini kerana kita dilarang makan dan minum sama sekali setelah terbit fajar sehingga tengelam matahari. Jika di Malaysia kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih kurang 14 jam sehari. Satu jangka masa yang sebenarnya sangat panjang dan membebankan kepada pengamalnya jika dilihat dari sudut fizikalnya. namun begitu ibadah ini tetap dinanti-nantikan oleh umat islam untuk melaksanakannya khususnya dibulan ramadan bagi memperolehi ketakwaan dan keampunan Allah s.w.t.

Selain daripada tujuan berpuasa untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan memperoleh keampunannya secara tidak langsung ibadah puasa juga sebenarnya mempunyai kesan yang sangat baik terhadap kesihatan umat islam jika melaksanakanya dengan sempurna. Hal ini telah disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu hurairah yang bermaksud Rasullulah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis : Berpuasalah kamu, nescaya kamu mendapat kesihatan ( Hadis Riwayat Al-Thabrani ). Sebenarnya jika kita kaji tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat terdahulu hampir atau mungkin lebih 150 hari dalam setahun mereka telah berpuasa. Di dalam islam, ibadah puasa tiaak hanya tertumpu pada bulan ramadan, sebaliknya terdapat pelbagai jenis ibadah sunat yang amat digalakkan oleh rasulullah s.a.w. Antara puasa yang digalakkan oleh baginda rasulullah s.a.w ialah puasa 6 di bulan syawal sepertimana sabdanya yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa di bulan ramadan kemudian, diikuti puasa 6 di bulan syawal, seolah-olah berpuasa selama setahun ( riwayat Muslim ), puasa hari Arafah kepada yang tidak menunaikan haji, Abi qatadah berkata, ditanya kepada Nabi S.a.w tentang puasa Arafah, maka dia beliau berkata : diampunkan tahun lepas dan selebihnya ( riwayat Muslim ), seterusnya puasa pada 9 dan 10 Muharram, ibn Abbas meriwayatkan, sesungguhnya rasulullah s.a.w berpuasa pada hari 10 muharram dan memerintahkan berpuasa padanya ( riwayat Bukhari ). Terdapat juga puasa yang dituntut melakukan setiap minggu iaitu pada hari isnin dan khamis, daripada aisyah r.a berkata, sesunguhnya rasulullah s.a.w menuntut supaya berpuasa pada hari isnin dan khamis ( riwayat tarmizi ). Manakala puasa yang dituntut dilakukan pada setiap bulan pula digalakkan melakukan pada setiap 13, 14 dan 15 haribulan islam setiap bulan, selagi ia tidak jatuh pada hari yang diharamkan berpuasa,hal ini merujuk kepada sebuah hadis daripada abi hurairah: sungguhnya rasulullah s.a.w telah berpesan kepadaku dengan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari berturut-turut setiap bulan, mendirikan 2 rakaat solat duha dan mendirikan witir sebelum tidur ( Riwayat Bukhari ). Walau pun puasa-puasa tersebut tidak diwajibkan kepada umat islam tetapi dengan menlakukan ibadah tersebut kita dapat menghampirkan diri dengan Allah s.w.t dari sudut rohaninya, dari sudut jasmaninya kita akan mendapat kesihatan yang baik, sepertimana yang telah disebut dalam hadis di atas.

Terdapat kajian yang menyokong tentang kebenaran hadis yang mengatakan bahawa berpuasa mendatang kesihatan kepada pengamalnya. Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh universiti sains perubatan di tehran, mereka dapati bahawa mengamalkan ibadah puasa tidak langsung mendatangkan kemudaratan, sebaliknya puasa yang sempurna mampu menyebabkan masalah berat badan dan metabolisma lemak dapat diselesaikan. Melalui ibadah puasa juga mampu membaik pulih sistem ginjal manusia, satu kajian oleh Fakulti Perubatan Universiti Indonesia telah dilakukan terhadap 43 orang golongan geriatric kesimpulan dari kajian itu menunjukkan pada puasa Ramadhan akan berlakunya pembaikan fungsi ginjal pesakit geriatic dengan mekanisma yang belum jelas. Kemungkinan 'growth hormone' berperanan dalam proses pembaikan tersebut manakala Pada minggu pertama dan pertengahan puasa Ramadhan, penurunan fungsi berlaku. Secara klinikal keadaan ini tidak merbahaya. Kemudian pada akhir puasa dan dua minggu selepas puasa terjadi pertambahan fungsi ginjal, bahkan lebih baik dari sebelum berpuasa. Menurut Prof Madya Mohd Isa Abdul Majid, Pusat Racun Negara USM, salah satu aktiviti berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam yang membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan. Semasa berpuasa, bahan yang tersimpan di dalam badan akan disalurkan kepada bentuk yang lain yang digunakan oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi badan. Sebagai contoh, semasa berpuasa, simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya dimetabolismakan untuk menghasilkan tenaga. Dalam hal ini, proses penggunaan bahan simpanan atau bahan yang sedia ada dalam tubuh dikenali juga sebagai proses asas pemulihan (detoxification). Selain itu beliau berpendapat bahawa ibadah puasa mampu menyelamatkan kesihatan perokok tegar . Ini kerana bagi mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun yang terhasil dari asap rokok kedalam badan manusia melalui saluran pernafasan atau pemakanan. Oleh itu amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun. Selain itu membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Keadaan yang berlaku semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada maksimum dalam mengeluarkan bahan racun yang memasuki ke dalam badan.
Hakikatnya ibadah puasa merupakan suatu kaedah untuk melatih kita menahan nafsu daripada segala kenikmatan dunia ini. Dalam mafhum sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebut sesungguhnya syaitan bergerak di dalam jiwa manusia melalui salur darah-darah yang mengalir dalam tubuh manusia. Untuk memperlahan pergerakan tersebut hendaklah kita melakukan ibadah berpuasa supaya dapat menyempitkan saliran darah tersebut, secara tidak langsung mampu mengawal pergerakan syaitan yang sering mempengaruhi nafsu kita. Justeru itu sama-samalah kita melakukan ibadah puasa semoga memperoleheh ketakwaan, keampunan dan kesihatan di dunia dan akhirat.

KELEBIHAN RAMADAN

KELEBIHAN RAMADAN
Setahun telah berlalu, kini Ramadan menjelang lagi. Bulan yang dinanti-nanti oleh umat Islam. Bulan yang penuh dengan keberkatan. Bulan yang mempunyai pelbagai kelebihan berbanding bulan-bulan yang lain. Bulan yang juga dikenali sebagai bulan untuk kita berpesta ibadah. Walau bagaimana terpulang kepada kita bagaimana untuk kita menghayati kedatangan bulan ini . Apakah kelebihan bulan ini sehingga dinanti-nanti oleh sesetengah umat islam, khususnya mereka yang ingin menigkatkan ketakwaan kepada Allah s.w.t.

Bulan Ramadan adalah bulan yang disebut oleh Allah s.w.t dengan jelas sekali di dalam firmannya yang bermaksud : Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran,( al-Baqarah:185). Di dalam ayat ini bukankah Allah s.w.t dengan jelasnya menyebut tentang bulan Ramadan berbanding dengan bulan-bulan Islam yang lain yang tidak disebut secaranyata oleh Allah s.w.t.. Ini adalah sebagai satu pengiktirafan oleh Allah s.w.t di dalam al-Quran tentang kelebihan bulan ini.

Al-Quran merupakan petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi panduan yang memperjelaskan antara yang benar dan yang batil. al-Quran adalah sumber untuk mencari ketenangan di dunia dan mencari keredaan Allah s.w.t di akhirat seperti mana maksud firman Allah s.w.t : menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. ( al-Baqarah:185). Sebagai bulan yang penuh dengan kerahmatan, maka Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diturunkan kitab yang paling mulia ini sebagai panduan kepada manusia. Kelebihan ini telah diperkukuhkan dengan maksud firman Allah s.w.t : bulan Ramadan yang padanya diturunkan Al-Quran ( al-Baqarah : 185 ).

Bulan Ramadan juga mengandungi satu malam yang lebih baik dari seribu malam. Malam tersebut dikenali sebagai malam Lailatul Qadr. Firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia kebesaran Malam Lailatul-Qadar itu? Malam Lailatul-Qadar lebih baik daripada seribu bulan. Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa Allah s.w.t telah menurunkan al-Quran pada malam Lailatul Qadr, dan al-Quran pula jika kita rujuk kepada ayat 185 surah al-Baqarah telah diturunkan pada bulan Ramadan. Maka ini juga merupakan satu kelebihan yang dianugerahkan pada bulan Ramadan.

Ibadah puasa merupakan ibadah yang telah diwajibkan kepada umat Islam dan umat terdahulu, perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Wahai orang-orang yang beriman! Kamu diwajibkan berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang yang dahulu daripada kamu, supaya kamu bertakwa. ( al-Baqarah; 183 ). Sebelum kedatangan agama Islam yang dibawa oleh baginda s.a.w, ibadah puasa telah difardukan kepada umat sebelumnya. Tetapi cara perlaksanaan tidak sama sepertimana ibadah puasa umat nabi Muhammad. Sesungguhnya Allah s.w.t telah memilih bulan Ramadan sebagai bulan yang diwajibkan kepada umat Islam untuk berpuasa. Manakala tidak pula diwajibkan bulan-bulan Islam lain untuk kita berpuasa melainkan puasa-puasa ganti atau nazar. Ibn Abbas meriyawatkan : Rasulullah s.a.w tidak pernah berpuasa satu bulan penuh kecuali pada bulan Ramadan. Ini merupakan kurniaan Allah s.a.w kepada umat Islam di bulan Ramadan. Maka sama-sama kita berusaha untuk melaksanakannya dengan sempurna.
Pada bulan Ramadan juga umat Islam disunatkan mengerja solat taraweh secara berjamaan di masjid. Solat taraweh merupakan ibadah khusus yang disyariatkan oleh Allah s.w.t pada malam bulan Ramadan sahaja. Sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang mendirikan sembahyang malam pada bulan Ramadan kerana keimanan (kepada Allah) dan mengharapkan keredaan Allah semata-mata, maka diampunkan segala dosanya yang telah lalu ( Riwayat muslim). Solat ini kenali sebagai solat taraweh kerana setiap empat rakaat, jemaah akan berehat seketika. Jika kita perhatikan jemaah pada zaman ini, selepas empat rakaat, jemaah akan berselawat ke atas nabi s.a.w.
Allah s.w.t juga telah membuka semua pintu-pintu syurga pada bulan Ramadan, sabda nabi s.a.w : Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga. Hadis ini membawa kepada maksud yang tersurat dan tersirat. Sepertimana yang kita maklumi, jika dilihar secara zohirnya, hadis di atas menunjukkan antara tanda apabila datangnya bulan Ramadan, maka Allah s.w.t akan membuka pintu syurga kepada orang-orang yang beriman. Manakala maksud yang tersirat pula, sesungguhnya pada bulan Ramadan Allah s.w.t memperluaskan keampunannya, disamping melipat gandakan ganjaran kepada hamba-hambanya yang yang melaksanakan ibadahnya dengan sempurna .
Selain daripada membuka kesemua pintu syurga, Allah s.w.t juga menutup semua pintu-pintu nerakanya. Rasulullah s.a.w bersabda: Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka.( Riwayat Muslim). Tujuan Allah s.w.t menutup pintu neraka dan menghentikan seketika azabnya adalah bagi memperlihatkan kepada umat Islam betapa bulan ini dimuliakan oleh allah s.w.t..
Pada bulan Ramadan juga allah s.w.t juga telah membelengu syaitan, sepertimana sabda nabi s.a.w : Apabila tiba bulan Ramadan, dibuka pintu-pintu Syurga dan ditutup pintu-pintu Neraka serta syaitan-syaitan dibelenggu ( riwayat Muslim). Syaitan –syaitan ini dibelengu supaya memudahkan umat Islam melakukan ibadah tanpa ada gangguan. Ketika itu hanya nafsu yang berperanan dalam menentukan hala tuju ibadah kita dan membolehkan kita menilai sejauh mana tahap keimanan diri kita tanpa ada ganguan syaitan.

Maka tidak mustahillah mengapa kedatangan bulan Ramadan ini amat ditunggu-tunggu oleh semua umat Islam. Bersama-masalah kita menyambut kedatangan Ramadan ini dengan mengerjakan sebanyak mungkin ibadah yang dituntut. Semoga dengan bermula Ramadan kali ini akan memantapkan keimanan kita sehinggalah Ramadan menjelang lagi.