Monday, November 26, 2007

PUASA DAN KESIHATAN

PUASA DAN KESIHATAN
Puasa menurut Islam bermaksud menahan diri daripada mengambil makanan dan juga minuman daripada terbit fajar sehingga kepada tenggelam matahari beserta dengan niat berpuasa. Ibadah puasa tidak diamalkan oleh penganut beragama Islam sahaja, sebaliknya umat-umat terdahulu dan agama-agama lain juga mengamalkan amalan berpuasa mengikut kaedah dan cara masing-masing sepeprti agama yahudi dan kristian. Namun begitu terdapat juga agama yang mengharamkan ibadah puasa kerana proses menahan diri dari lapar adalah suatu yang menyeksakan.

Secara dasarnya kita dapati bahawa ibadah puasa ini merupakan suatu amalan yang menyakitkan kepada sesiapa yang beramal dengannya. Dalam agama Islam sesuatu yang memudaratkan kepada penganutnya dikenali sebagai masyaqqah iaitu kesukaran atau kesusahan hendaklah dihindari. Ini kerana Islam merupakan agama yang membawa konsep kemudahan dan keringanan di dalam kehidupan umatnya dan bukannya membawa kesusahan dan kesukaran terhadap umatnya. Dalam keadaan tertentu, walaupun pada dasarnya sesuatu perkara itu kelihatan susah namun ia adalah suatu taklif yang perlu dilaksanakan oleh setiap individu seperti kewajipan dalam mencari rezeki. Walaupun mencari rezeki memerlukan pengunaan tenaga namun ia bukanlah suatu kesukaran atau kesusahan sebaliknya ia adalah suatu tuntutan untuk meneruskan kehidupan.

Hakikatnya bahawa kesusahan dan kesukaran adalah suatu yang tidak dapat dipisahkan dalam kehidupan manusia. Begitu juga dengan ibadah perlu kepada pengorbanan dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Di antara ibadah yang memerlukan pengorbanan fizikal adalah ibadah puasa. Ini kerana kita dilarang makan dan minum sama sekali setelah terbit fajar sehingga tengelam matahari. Jika di Malaysia kita perlu menahan lapar dan dahaga lebih kurang 14 jam sehari. Satu jangka masa yang sebenarnya sangat panjang dan membebankan kepada pengamalnya jika dilihat dari sudut fizikalnya. namun begitu ibadah ini tetap dinanti-nantikan oleh umat islam untuk melaksanakannya khususnya dibulan ramadan bagi memperolehi ketakwaan dan keampunan Allah s.w.t.

Selain daripada tujuan berpuasa untuk meningkatkan ketaqwaan kepada Allah s.w.t dan memperoleh keampunannya secara tidak langsung ibadah puasa juga sebenarnya mempunyai kesan yang sangat baik terhadap kesihatan umat islam jika melaksanakanya dengan sempurna. Hal ini telah disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu hurairah yang bermaksud Rasullulah s.a.w telah bersabda dalam sebuah hadis : Berpuasalah kamu, nescaya kamu mendapat kesihatan ( Hadis Riwayat Al-Thabrani ). Sebenarnya jika kita kaji tentang ibadah puasa yang dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sahabat terdahulu hampir atau mungkin lebih 150 hari dalam setahun mereka telah berpuasa. Di dalam islam, ibadah puasa tiaak hanya tertumpu pada bulan ramadan, sebaliknya terdapat pelbagai jenis ibadah sunat yang amat digalakkan oleh rasulullah s.a.w. Antara puasa yang digalakkan oleh baginda rasulullah s.a.w ialah puasa 6 di bulan syawal sepertimana sabdanya yang bermaksud : Sesiapa yang berpuasa di bulan ramadan kemudian, diikuti puasa 6 di bulan syawal, seolah-olah berpuasa selama setahun ( riwayat Muslim ), puasa hari Arafah kepada yang tidak menunaikan haji, Abi qatadah berkata, ditanya kepada Nabi S.a.w tentang puasa Arafah, maka dia beliau berkata : diampunkan tahun lepas dan selebihnya ( riwayat Muslim ), seterusnya puasa pada 9 dan 10 Muharram, ibn Abbas meriwayatkan, sesungguhnya rasulullah s.a.w berpuasa pada hari 10 muharram dan memerintahkan berpuasa padanya ( riwayat Bukhari ). Terdapat juga puasa yang dituntut melakukan setiap minggu iaitu pada hari isnin dan khamis, daripada aisyah r.a berkata, sesunguhnya rasulullah s.a.w menuntut supaya berpuasa pada hari isnin dan khamis ( riwayat tarmizi ). Manakala puasa yang dituntut dilakukan pada setiap bulan pula digalakkan melakukan pada setiap 13, 14 dan 15 haribulan islam setiap bulan, selagi ia tidak jatuh pada hari yang diharamkan berpuasa,hal ini merujuk kepada sebuah hadis daripada abi hurairah: sungguhnya rasulullah s.a.w telah berpesan kepadaku dengan tiga perkara iaitu berpuasa tiga hari berturut-turut setiap bulan, mendirikan 2 rakaat solat duha dan mendirikan witir sebelum tidur ( Riwayat Bukhari ). Walau pun puasa-puasa tersebut tidak diwajibkan kepada umat islam tetapi dengan menlakukan ibadah tersebut kita dapat menghampirkan diri dengan Allah s.w.t dari sudut rohaninya, dari sudut jasmaninya kita akan mendapat kesihatan yang baik, sepertimana yang telah disebut dalam hadis di atas.

Terdapat kajian yang menyokong tentang kebenaran hadis yang mengatakan bahawa berpuasa mendatang kesihatan kepada pengamalnya. Ini dibuktikan melalui kajian saintifik yang dijalankan oleh universiti sains perubatan di tehran, mereka dapati bahawa mengamalkan ibadah puasa tidak langsung mendatangkan kemudaratan, sebaliknya puasa yang sempurna mampu menyebabkan masalah berat badan dan metabolisma lemak dapat diselesaikan. Melalui ibadah puasa juga mampu membaik pulih sistem ginjal manusia, satu kajian oleh Fakulti Perubatan Universiti Indonesia telah dilakukan terhadap 43 orang golongan geriatric kesimpulan dari kajian itu menunjukkan pada puasa Ramadhan akan berlakunya pembaikan fungsi ginjal pesakit geriatic dengan mekanisma yang belum jelas. Kemungkinan 'growth hormone' berperanan dalam proses pembaikan tersebut manakala Pada minggu pertama dan pertengahan puasa Ramadhan, penurunan fungsi berlaku. Secara klinikal keadaan ini tidak merbahaya. Kemudian pada akhir puasa dan dua minggu selepas puasa terjadi pertambahan fungsi ginjal, bahkan lebih baik dari sebelum berpuasa. Menurut Prof Madya Mohd Isa Abdul Majid, Pusat Racun Negara USM, salah satu aktiviti berpuasa mencegah diri daripada mengambil makanan selama hampir 14 jam yang membolehkan organ penghadaman seperti perut, usus, pankreas, kelenjar hempedu dan hati berehat dari aktiviti pencernaan makanan. Tambahan pula, organ hati dalam keadaan tiada bahan yang perlu dihadamkan akan berubah kepada lebih aktiviti pembersihan seperti menukarkan simpanan lelemak di dalam badan kepada bentuk penjanaan tenaga yang diperlukan oleh badan. Semasa berpuasa, bahan yang tersimpan di dalam badan akan disalurkan kepada bentuk yang lain yang digunakan oleh tubuh untuk mengekalkan fungsi badan. Sebagai contoh, semasa berpuasa, simpanan tenaga dalam bentuk glikogen di dalam badan akan ditukarkan kepada glukosa dan seterusnya dimetabolismakan untuk menghasilkan tenaga. Dalam hal ini, proses penggunaan bahan simpanan atau bahan yang sedia ada dalam tubuh dikenali juga sebagai proses asas pemulihan (detoxification). Selain itu beliau berpendapat bahawa ibadah puasa mampu menyelamatkan kesihatan perokok tegar . Ini kerana bagi mengurangkan beban bahan racun yang terkumpul dalam badan maka alternatif yang ada ialah mengurangkan kemasukan bahan racun yang terhasil dari asap rokok kedalam badan manusia melalui saluran pernafasan atau pemakanan. Oleh itu amalan berpuasa selain dari memenuhi tanggungjawab agama, bertujuan untuk mencegah kemasukan bahan racun. Selain itu membolehkan badan melakukan proses pembersihan racun yang sedia terkumpul dalam badan. Keadaan yang berlaku semasa berpuasa dapat diumpamakan sebagai memberi rehat kepada badan daripada bekerja pada maksimum dalam mengeluarkan bahan racun yang memasuki ke dalam badan.
Hakikatnya ibadah puasa merupakan suatu kaedah untuk melatih kita menahan nafsu daripada segala kenikmatan dunia ini. Dalam mafhum sebuah hadis rasulullah s.a.w menyebut sesungguhnya syaitan bergerak di dalam jiwa manusia melalui salur darah-darah yang mengalir dalam tubuh manusia. Untuk memperlahan pergerakan tersebut hendaklah kita melakukan ibadah berpuasa supaya dapat menyempitkan saliran darah tersebut, secara tidak langsung mampu mengawal pergerakan syaitan yang sering mempengaruhi nafsu kita. Justeru itu sama-samalah kita melakukan ibadah puasa semoga memperoleheh ketakwaan, keampunan dan kesihatan di dunia dan akhirat.