Terjemahan ini memberikan kefahaman yang jelas bahawa Islam adalah ditegakkan dengan mata pedang dan dikembangkan dengan peperangan. Apabila di sebut ’perang’ tentulah merupakan tindakan membunuh dan menyerang, menawan musuh dan mengambil tindakan keras kepada sesiapa sahaja yang menentangnya.
Orang Islam sendiri, kerana kekurangan pengetahuan dan tanpa menyedari konsep sebenarnya jihad, sering juga memberikan pentafsiran kepada jihad itu sebagai perang sabil, iaitu perang kerana jalan Allah, fi sabilillah, dalam pengertian bahawa jihad itu adalah tindakan mengangkat senjata menentang musuh yang melibatkan pertumpahan darah. ss
Sebenarnya di dalam kitab suci al-Quran tidak disebut sesuatu yang boleh diterjemahkan sebagai holy war iaitu satu tindakan Islam untuk menyerang musuh atau menceroboh orang lain. Jihad tidak boleh diterjemahkan sebagai peperangan dalam konsep hanya mengangkat senjata dan menggunakan kekerasan untuk memerangi orang lain seperti yang dilakukan oleh Amerika Syarikat ketika menyerang negara Afghanistan, atau pencerobohan Israel ke atas rakyat Palestin.
Jihad menurut Islam ialah perjuangan dan tindakan bersungguh-sungguh yang dilakukan oleh orang Islam sejajar dengan ajaran Allah s.w.t. bagi menentang hawa nafsu di dalam dan di luar dirinya, mempertahankan diri, harta benda, maruah, keluarga dan negaranya daripada serangan dan pencabulan musuh.
Seorang Islam mestilah berjuang untuk mempertahankan kehormatannya dengan beberapa cara yang tertentu, iaitu sama ada dengan harta benda, ilmu dan kebijaksanaannya, kuasa dan jiwanya sendiri. Maka dalam konteks ini jihad tidak memberi sebarang pengertian yang membolehkan seorang Islam menyerang dan menceroboh orang lain yang tidak menyerang atau menceroboh haknya.
Di dalam al-Quran terdapat istilah yang menunjukkan makna peperangan, iaitu al-qatl atau al-qital. Beberapa ayat al-Quran di bawah menjelaskan tentang tindakan peperangan ini:
Dan perangilah pada jalan Allah orang-orang yang memerangi kamu (tetapi) janganlah kamu melampaui batas, sesungguhnya Allah tidak menyukai orang-orang melampaui batas. (Al-Baqarah, ayat 190)
Dan perangilah mereka itu sehingga tidak ada fitnah lagi, dan (sehingga) agama itu hanya untuk Allah belaka. Jika mereka berhenti (dari memusuhi kamu) maka tidak ada permusuhan (lagi), kecuali terhadap orang-orang zalim. (Al-Baqarah, ayat 193)
Ayat-ayat ini menjelaskan tentang waktu dan bentuk peperangan yang boleh dilakukan oleh orang Islam iaitu sebagai tindak balas kepada musuh-musuh yang menyerang dan memerangi mereka, maka dalam keadaan ini orang Islam haruslah bertindak mempertahankan diri mereka dengan melakukan tindak balas yang sewajarnya.
Namun begitu Allah s.w.t. mengingatkan supaya dalam bertindak mempertahankan diri itu orang Islam tidak seharusnya melampaui batasan yang sewajarnya. Dalam hal ini, Islam mengutamakan tindakan yang adil dan mengutamakan sifat mulia dan beretika dalam melindungi hak manusia dan kehormatan moral mereka. Dengan itu Islam juga menyeru pihak musuh supaya menjaga hal yang sama ketika berlaku persengketaan, sebab itulah ditegaskan bahawa hak agama Allah itu sendiri mestilah dihormati dan dijaga dengan sebaik-baiknya.
Dari sudut yang lain, Islam juga meletakkan garis panduan yang baik tentang kewajipan mempertahankan diri dan membalas tindakan dan pencerobohan musuh. Strategi Islam ialah menjaga keselamatan dan keamanan, di samping mencari perdamaian dengan musuh. Allah s.w.t. menjelaskan tentang sempadan-sempadan yang seharusnya dipelihara oleh orang Islam ketika menghadapi pencerobohan musuh, iaitu di dalam firman-Nya: Barang siapa yang menyerang kamu, maka seranglah ia, yang seimbang serangannya terhadap kamu. Bertakwalah kepada Allah, dan ketahuilah bahawa Allah berserta dengan orang-orang yang bertakwa. (Al-Baqarah, ayat 194)
Namun begitu dalam keadaan yang tertentu, iaitu ketika musuh telah bertindak ganas, seperti yang berlaku kepada Rasulullah s.a.w. ketika Baginda menghadapi pencerobohan yang menyeluruh daripada kaum musyrikin yang ingin membinasakan orang Islam dan agama Allah dengan serangan yang berlarutan dan tidak lagi berperikemanusiaan, maka Allah s.w.t. membenarkan orang Islam bertindak balas dengan menyeluruh juga seperti yang diterangkan oleh ayat yang berikut:
Dan bunuhlah mereka di mana saja kamu jumpa mereka, dan usirlah mereka dari tempat mereka mengusir kamu (Mekah).
Ayat ini menjelaskan bahawa orang musyrikin Mekah telah bertindak di luar batasan perikemanusiaan dengan mengusir orang Islam dari tanah tumpah darah mereka dan bertindak sewenang-wenangnya membunuh orang Islam. Dalam keadaan ini orang Islam harus membunuh mereka dan mengusir mereka dalam proses menegakkan keadilan dan mempertahankan diri dan negara mereka.
Bagaimanapun dalam al-Quran terdapat beberapa ajaran yang berikut yang harus dipatuhi, iaitu:
(1) Sekiranya pihak musuh ingin berdamai, maka orang Islam hendaklah bersedia untuk berdamai.
(2) Peperangan dibenarkan kepada orang Islam kerana mereka telah dizalimi.
(3) Dalam peperangan, orang Islam haruslah memelihara etika dan adab peperangan, iaitu tidak mencabuli tempat-tempat suci agama, orang yang beribadat dan sebagainya.
(4) Tawanan perang haruslah dilayan dengan baik:
Dan jika seorang di antara orang musyrikin itu meminta perlindungan kepadamu, maka lindungilah ia, supaya ia sempat mendengar firman Allah, kemudian hantarkanlah ia ke tempat yang aman baginya. Demikian itu disebabkan mereka kaum yang tidak mengetahui. (At-Taubah, ayat 6)
Secara ringkasnya, orang Islam dan bukan Islam haruslah memahami konsep jihad dan peperangan ini mengikut perspektif Islam yang sebenarnya, supaya kedua-dua golongan tidak menyalahertikan konsep jihad dan perang mengikut kefahaman masing-masing yang tidak bersandarkan ilmu pengetahuan dan konteks sejarah serta tamadun agama ini.
Kalau dilihat dari perspektif Islam yang sebenarnya, maka kuasa-kuasa besar dan negara-negara maju, merupakan para penceroboh yang besar dalam peperangan dan serangan yang berlaku pada hari ini, kerana serangan dan peperangan yang dilakukan amatlah mencabuli hak asasi dan kehormatan manusia sejagat. Bukanlah jihad yang disalahertikan itu.
Jika ditanya adakah fenomena meletupkan diri, bagi tujuan menghapuskan musuh Allah s.w.t merupakan jihat ?. bagi menjawab persoalan ini, perlu dirujuk kepada beberapa keadaan , jika ianya berlaku di tengah-tengah askar Israil atau Amerika yang menyerang Islam mungkin ia adalah Syahid…jika sebaliknya hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahuinya. Bukankan disebutkan oleh Rasulullah s.a.w dalam peristiwa Badar, terdapat lelaki yang mati kerana inginkan dilihat sebagai wira….hanya Allah s.w.t yang lebih mengetahui.
No comments:
Post a Comment