Wednesday, January 6, 2010

FACEBOOK: IZIN SUAMI, MAKLUM ISTERI


Facebook bukanlah suatu yang asing lagi untuk diperkatakan pada masa kini. Ianya berfungsi sebagai suatu alat yang sangat berguna kepada sesiapa yang melayarinya. Terbaru, menurut laporan sebuah akhbar pihak polis juga turut akan menggunakan facebook untuk tujuan menyebarkan sesuatu maklumat kepada orang awam sebagai langkah untuk mencegah jenayah di negara ini. Selain itu, kita akan dapati ramai ahli politik, tokoh agama, ahli akademik dan usahawan turut mengunakan facebook untuk berkomunikasi, berbincang ,berdakwah dan membina rangkaian perniagaan dengan sesiapa sahaja tidak kira di mana berada.

Secara ringkasnya, Facebook merupakan sebuah rangkaian sosial berasaskan web yang berperanan sebagai medium untuk berkomunikasi dengan sahabat handai sama ada untuk berbual kosong atau saling bertukar maklumat. Facebook telah diasaskan pada 4 Februari 2004 oleh Mark Zuckerberg iaitu seorang bekas ahli kelas Harvard tahun 2006 dan merupakan bekas pelajar Ardsley High School. Awalnya facebook hanya menerima keahlian yang terhad daripada individu tertentu sahaja, kini keahlian facebook telah terbuka kepada sesiapa sahaja yang berminat untuk menyertainya di seluruh dunia tanpa ada batasannya. Berdasarkan kenyataan dikeluarkan oleh compete.com iaitu sebuah syarikat yang menganalisis trafik web, facebook merupakan rangkaian sosial berasaskan web yang mempunyai pengunjung yang paling ramai mengatasi web sosial yang lain pada tahun 2009.

Tidak semua negara bersetuju untuk membiarkan rakyat mereka bebas mengunakan facebook dalam apa tujuan sekali pun. Terdapat beberapa negara telah mengharamkan penggunaan facebook atas alasan-alasan menimbulkan fitnah dan kontroversi seperti negara China, Syiria Iran dan sebagainya. Manakala negara kita masih lagi melihat facebook sebagai medium perantara yang menghasilkan sesuatu yang positif kepada seluruh masyarakat. Walaupun terdapat pengguna menjadikannya sebagai medan menabur fitnah, namun ia hanyalah sejumlah kecil sahaja, malah rakyat Malaysia juga masih bijak untuk berfikir antara fakta dan auta.

Baru-baru ini, terdapat sebuah akhbar yang melaporkan bahawa facebook antara punca berlakunya penceraian . Laporan tersebut telah diambil daripada sebuah firma guaman negara asing. Selain itu, sebuah stesen radio tempatan telah memilih topik berkaitan dengan facebook sebagai topik pagi tesebut. Sepanjang mengikuti siaran tersebut, terdapat pemanggil yang menceritakan bahawa penceraian yang berlaku adalah disebabkan oleh facebook. Namun begitu sehingga kini belum terdapat angka rasmi yang dikeluarkan oleh mana-mana firma guaman negara ini berkaitan penceraian disebabkan oleh facebook.

Memelihara kerukunan dan keharmonian rumahtangga adalah tanggungjawab bersama antara suami dan isteri. Petua mudah untuh menjaga keharmonian rumahtangga tersebut adalah saling menjaga hati dan perasaan pasangan masing-masing. Bagi pengguna facebook yang sudah berumahtangga seharusnya berlandaskan garis panduan yang telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dalam Al-Quran iaitu sebagai isteri wajib memohon kebenaran daripada suami apabila ingin melakukan perkara yang bukan diketogarikan sebagai keperluan hidup seperti melayari facebook. Hak isteri terhadap suami adalah mentaati dan memelihara maruah ketika suami tiada di sisi sepertimana maksud firman allah s.w.t: Maka perempuan-perempuan yang soleh itu ialah yang taat (kepada Allah dan suaminya), dan yang memelihara (kehormatan dirinya dan apa jua yang wajib dipelihara) ketika suami tidak hadir bersama,( An-Nisa’: 34). Manakala dalam sebuah hadis pula, rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: (Sebaik-baik wanita adalah) yang membahagiakan suaminya jika ia memandangnya, yang sentiasa mentaati suaminya jika ia memerintahnya, dan yang tidak bermaksiat terhadap suaminya atas dirinya dan hartanya dengan sesuatu yang dibenci suaminya (Riwayat An-nasa’) Untuk mendapatkan status isteri yang solehah, kaedah yang paling mudah adalah dengan cara meminta keizinan suami terlebih dahulu dalam melakukan apa-apa jua perkara termasuk untuk melakukan ibadah seperti puasa sunat, Hal ini didasarkan pada sabda Rasulullah:“Tidak halal bagi isteri untuk melakukan puasa ketika suaminya menyaksikannya, kecuali berdasarkan izinnya.” (Muttafaq ‘Alaih). Jika ibadah puasa juga memerlukan keizinan suami, apatah lagi melibatkan ativiti melayari facebook yang menjadi kegiatan yang cukup popular masa kini. Dengan keizinan yang diperolehi oleh isteri sebenarnya mereka telah memperoleh keredaan daripada Allah s.w.t , seperti dinyatakan oleh Umm Salamah r.a., Rasulullah s.a.w. bersabda (maksudnya): “Mana- mana perempuan yang tidur malam dalam keadaan suami reda kepadanya, akan masuk syurga.”(riwayat abi Daud). Hadis ini menunjukkan bahawa dengan redha suami, Allah s.w.t akan menganjarkan dengan syurga sebagai tanda keredaanNya jua. Begitu juga sebaliknya, jika isteri menyakiti hati suami.

Manakala bagi suami pula, mereka juga berkewajipan untuk berlaku baik terhadap isteri-isteri mereka, dalam sebuah hadis Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: Lelaki terbaik antara kalian ialah lelaki yang baik terhadap isteri-isteri mereka. Hadis ini amat jelas kepada kita tentang bagaimana untuk menjadi suami yang terbaik iaitu dengan cara elakkan daripada melakukan perkara yang tidak adil dalam kehidupan rumah tangga. Dalam kontek pengunaan facebook, jika isteri perlu momohon izin suami, wajar bagi suami juga memaklumkan kepada isteri mereka tentang aktiviti facebook mereka. Ini bagi mengelakkan rasa curiga terhadap suami.

Disarankan kepada pasangan suami isteri, apabila berada di rumah agar elakkan atau kurangkan aktiviti facebook dan lebihkan memberi tumpuan kepada suami atau isteri dan anak-anak sahaja. Dengan cara ini dapatlah kebahagian dikekalkan.

2 comments:

Anonymous said...

mana aci kalau suami berfacebook, isteri tak boleh berfacebook..bg saya teknologi tidak boleh disalahgunakan kearah yg negatif...tak kisah suami ker atau isteri ker nak berfacebook tp kena sedar diri dan tahu tggjwb masing2...jgn leka dengan teknologi itu penyebab kearah perkara-perkara yang tidak sepatutnya.....

KOYAN said...

sila baca tulisan saya dan fahami dengan betul..jangan melangkaui perengan2 ...harap maklum...