Thursday, July 29, 2010

SAMAN EKOR- BICARA PEGUAM

Anda bertanya adakah saman ekor ini sah di sisi undang-undang dan adakah anda sebenarnya telah diberikan hak yang sewajarnya untuk membela diri dari tindakan saman ekor tersebut. Pada umumnya, penulis berpendapat bahawa kaedah saman ekor adalah sah di sisi undang-undang seperti yang diperuntukkan di dalam Akta Pengangkutan Jalan 1987. Perlaksanaan saman ekor pada umumnya adalah sah tetapi cara perlaksanaannya boleh dipertikaikan dari sudut keadilan terhadap ‘pesalah’ iaitu hak untuk membela diri di bawah prinsip keadilan sejagat (natural justice). Ia bolehlah dikategorikan sebagai tindakan tanpa bicara yang mirip seperti tindakan penahanan tanpa perbicaraan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri 1960 (ISA). Apa yang membezakannya adalah, di bawah ISA penahanan tanpa bicara biasanya melibatkan individu yang didakwa cuba mencetuskan ancaman keselamatan kepada negara namun saman ekor hanyalah tindakan saman terhadap ‘pesalah’ yang memandu melebihi had laju atau lain-lain kesalahan trafik yang mana tindakan saman ekor tersebut akan terus dimasukkan ke dalam rekod kesalahan trafik individu tanpa pendakwaan di mahkamah. Oleh yang demikian, tidak dapat dinafikan bahawa ada sesetengah individu berpendapat bahawa saman ekor ini adalah 'ISA kecil' untuk mereka. Ini boleh dibuktikan seperti berikut; Apabila anda telah di saman melalui kaedah ini, secara automatiknya anda telah didakwa tanpa dibicarakan. Dengan kata lain, tindakan pihak berkuasa mengeluarkan saman ekor akan mengkehendaki 'pesalah' tersebut terus membayar saman tanpa didakwa di mahkamah. Kaedah ini yang menjadikan persoalan kepada masyarakat kerana ianya telah melanggar prinsip keadilan. Sewajarnya setiap 'pesalah' wajar dihadapkan ke mahkamah dan didakwa terlebih dahulu. Dalam masa yang sama 'pesalah' juga hendaklah diberikan peluang untuk membela diri, jika perlu. Oleh yang demikian adalah dicadangkan bahawa pihak berkuasa perlulah mengubah perlaksanaan saman ekor supaya tidak dipertikaikan oleh banyak pihak antara lain dengan mengadakan sistem sekatan jalan raya setelah perangkap laju dibuat sebelumnya dan dalam masa yang sama pihak berkuasa perlu mengeluarkan saman boleh kompaun yang akan ditandatangani oleh ‘pesalah’. Tindakan ini kebiasaannya telah dilaksanakan oleh pihak yang berkuasa ketika ini. Walaubagaimanapun, dalam menjalankan sistem ini pihak yang berkuasa hendaklah membuktikan terlebih dahulu kesalahan yang dilakukan oleh 'pesalah' tersebut dengan menerangkan keadaan dan bukti kesalahan tersebut semasa kenderaan ‘pesalah’ ditahan. Selain itu, proses kompaun dan/atau pendakwaan di mahkamah perlulah dijalankan terlebih dahulu terhadap ‘pesalah’ saman ekor ini sama seperti saman-saman trafik yang lain. Ini adalah untuk memastikan konsep keadilan sentiasa diberikan kepada masyarakat mengikut undang-undang perlembagaan yang sedia ada. Oleh itu, konsep pengeposan saman ekor terhadap ‘pesalah’ adalah tidak wajar dilaksanakan. Selanjutnya, pada peringkat permulaan. tindakan penyenaraian hitam ‘pesalah’ ini tidak wajar dilakukan sehinggalah ‘pesalah’ ini gagal, ingkar, cuai atau enggan hadir ke mahkamah dan/atau enggan membayar denda selepas didakwa/dibicarakan. Dengan perlaksanaan cadangan-cadangan di atas, penulis percaya sikap prejudis masyarakat terhadap saman ekor dapat dikurangkan seterusnya dapat mendidik pengguna jalanraya supaya sentiasa berhemah dan mengikut undang-undang jalanraya. Kepada pengguna jalanraya pula, janganlah kerana isu atau persoalan saman ekor ini menyebabkan anda mengambil kesempatan untuk tidak, enggan atau ingkar membayar saman tersebut sekiranya memang benar anda mendapati telah melakukan kesalahan tersebut. Tepuk dada tanyalah iman.

No comments: