Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang
dimaksudkan dengan Udhiyyah?” Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah
bapamu Ibrahim.” ( Hadis riwayat Ahmad dan Ibn Majah ). Udhiyyah bermaksud ibadah
melalui kaedah sembelihan haiwan samada unta, lembu, kambing atau sebagainya yang
dilakukan kerana Allah s.w.t bermula selepas daripada menunaikan solat
aidiladha sehingga 13 Dzulhijjah setiap tahun.
Dalam konteks masyarakat hari ini
Udhiyyah dikenali sebagai ibadah korban.
Melakukan ibadah korban merupakan suatu kewajipan kepada Rasulullah
s.a.w, ini berdasar maksud sebuah hadis ‘ tiga perkara menjadi wajib ke atas
aku dan atas kamu adalah sunnah iaitu ibadah korban, solat witir dan dua rakaat
solat dhuha ( riwayat al-hakim ). Justeru kebanyakan ulama’ sepakat mengatakan
bahawa hukum ibadah korban adalah sunah, namun ia sangatlah dituntut oleh Islam
kerana mempunyai hikmah yang hebat dan ganjaran
yang besar di sisi allah s.w.t.
Rasulullah s.a.w telah memberi gambaran yang begitu jelas tentang
ganjaran yang akan diperolehi kepada sesiapa yang melakukan ibadah korban.
Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud: “Tidak ada
satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari Aidil Adha ) yang paling
Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang
korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan
bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya
darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum
tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik)
untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap
sebagai Hadis Hasan Gharib). Melalui hadis ini, kita dapati bahawa perkara yang paling disukai oleh Allah s.w.t
ketika hari raya aidil adha adalah
melakukan ibadah korban, ianya sebagai tanda kecintaan kita kepada allah s.w.t selain
daripada mendapat ganjaran di akhirat kelak melalui sembelihan tersebut.
Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam,
ibadah korban bukanlah suatu perkara baru yang telah disyariatkan oleh allah
s.w.t kepada kita, bahkan ibadah ini telah diperintahkan oleh Allah s.w.t
kepada Nabi Adam a.s agar memerintahkan putera mereka supaya mempersembahkan
korban mereka. Kisah ini telah diterangkan oleh allah s.w.t dalam firmannya
yang bermaksud:
Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka
kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya,
Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk
mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di
antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata
(Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab:
"Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa; (surah
al-maidah: 12). Namun begitu
ibadah ini telah disandarkan kepada Nabi Ibrahim a.s.memandangkan kesungguhan
baginda untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.wt, agar baginda mengorbankan anaknya sendiri
iaitu Nabi Ismail a.s sebagai bukti
kecintaan baginda terhadap Allah s.w.t. Kesungguhan ini telah diceritakan oleh
allah s.w.t dalam maksud firmanNya: setelah kedua-duanya sepenuh hati
menjunjung perintah Allah s.wt, dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan
meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah (kami sifatkan dengan penuh
keazaman Nabi Ibrahim melaksanakan perintah kami . Kesungguhan ini
telah dibalas oleh Allah s.w.t dengan pengkhabaran gembira apabila Allah s.w.t
memerintahkan Nabi Ibrahim mengantikannya dengan haiwan sembelihan seperti mana
yang diceritakan dalam al-Quran. Kecintaan baginda yang tinggi terhadap Allah
s.w.t melebihan kasih baginda terhadap puteranya melayakkan baginda mendapat
gelaran Khalilullah iaitu kekasih Allah s.w.t. Justeru ibadah
korban ini merupakan sunnah Nabi Ibrahim yang dituntut agar kita berusaha untuk
melaksakannya.
Melalui
ibadah korban juga, kita dapat menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t
terhadap nikmat yang ditelah dilimpahkanNya kepada kita. Daripada sekecil
nikmat sehinggalah kepada nikmat yang paling besar iaitu nikmat beriman dengan
allah s.w.t. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t tidak mampu untuk
dihitung oleh kita, sepertimana maksud firman Allah s.w.t: Dan ia telah
memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan
jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya.
(surah Ibrahim:34). Maka untuk menzahirkan keyukuran kepada
allah s.w.t antara cara yang telah diperintahkan oleh Allah adalah ibadah
korban, allah s.w.t berfirman yang bermaksdu: oleh itu kerjakanlah solat
kerana allah semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur )
(surah al-kauthar: 2)
Selain
daripada menzahirkan rasa bersyukur kepada allah s.w.t, dalam konteks kehidupan sesebuah masyarakat
islam, melalui ibadah korban ini akan memperlihatkan budaya bergotong royong
dalam masyarakat. Ini merupakan budaya murni yang sesuai dengan tuntutan
Islam yang menekankan, ``Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara
kebajikan dan jangan bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan
(Al-Ma`idah: 2). Muktahir ini kita dapati budaya bergotong royong sudah
tidak semeriah suatu masa dahulu, walau bagaimana pun setiap kali tiba musim
raya korban kita dapati budaya murni dihidupkan kembali di kawasan
kampong-kampung juga di taman-taman perumahan. Melalui aktiviti menyembelih,
melapah daging, membungkus daging sehinggalah kepada membahagi-bahagikan
daging, sudah pasti akan merapatkan hubungan silaturrahim sesama islam. Melalui
aktiviti tersebut kadang kala ia menambah
lagi kenalan dan turun merapatkan hubungan yang jauh, juga mampu
menjernihkan kembali hubungan yang keruh.
Jika aktiviti bergotong royong dalam
menjayakan ibadah korban menampakkan
hubungan yang baik dari sudut fizikalnya, dari sudut lain pula kita akan dapati
bahawa melalui ibadah korban ini, kita telah berkongsi kesenangan dengan cara
sembelihan tersebut diagihkan kepada
tiga bahagian iaitu satu bahagian kepada keluarga, satu bahagian kepada jiran tetangga dan satu bahagian lagi
kepada fakir miskin. Pembahagian ini melambangkan perkongsian nikmat yang kita
perolehi dari pada allah s.w.t.
Maka amatlah
rugi jika kita tidak berusaha untuk melaksanakannya selepas mengetahui akan
hikmah dan ganjaran yang bakal diperolehi disebalik ibadah korban ini syariatkan .
Justeru itu, perlulah ditanam azam dalam
diri kita agar setiap tahun kita dapat melaksanakan ibadah korban. Walaupun
ianya tidak menjadi kewajipan kepada kita melaksanakan , namun jika kita
meninggalkan ibadah tersebut sedangkan kita memiliki kemampuan untuk menunaikannya
amatlah rugi bagi kita kerana mengambil mudah terhadap ganjaran yang bakal
diperolehi kelak.
No comments:
Post a Comment