Thursday, May 30, 2013

ISRAK & MIKRAJ ANUGERAH KEPADA UMAT ISLAM




Rejab adalah bulan Islam merujuk kepada kalenda Hijriyyah. Setiap kali kedatangan bulan rejab akan kembali mengigatkan umat Islam kepada peristiwa isra’ dan mikraj yang berlaku kepada baginda rasulullah s.a.w.  Peristiwa tersebut telah dirakamkan oleh allah s.w.t melalui dalam surah al-isra’ melalui  firmannya yang bermaksud :
Maha suci Allah Yang telah menjalankan hambaNya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid Al-Haraam (di Makkah) ke Masjid Al-Aqsa (di Palestin), Yang Kami berkati sekelilingnya, untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) kami. Sesungguhnya Allah jualah Yang Maha Mendengar, lagi Maha mengetahui. [ Surah Al-Isra’: 1]
Manakala peristiwa mikraj nabi pula telah dirakamkan oleh Allah s.w.t melalui maksud firmanNya dalam surah Al-Najm:
Dan Demi sesungguhnya! (Nabi Muhammad) telah melihat (malaikat Jibril, Dalam bentuk rupanya Yang asal) sekali lagi. Di sisi "Sidratul-Muntaha";. Yang di sisiNya terletak syurga "Jannatul-Makwa".(Nabi Muhammad melihat Jibril Dalam bentuk rupanya Yang asal pada kali ini ialah) semasa " Sidratul Muntaha" itu diliputi oleh makhluk-makhluk dari alam-alam ghaib, Yang tidak terhingga. Penglihatan (Nabi Muhammad) tidak berkisar daripada menyaksikan Dengan tepat (akan pemandangan Yang indah di situ Yang diizinkan melihatnya), dan tidak pula melampaui batas.Demi sesungguhnya, ia telah melihat sebahagian dari sebesar-besar tanda-tanda (yang membuktikan Luasnya pemerintahan dan kekuasaan) Tuhannya. [ Surah Al-Najm: 13-18].
Melalui ayat Al-Quran yang menceritakan tentang peristiwa isra’ dan mikraj menunjukkan bahawa Allah s.w.t tidak memperincikan tentang peristiwa tersebut, sebaliknya peristiwa yang berlaku sepanjang isra’ dan mikraj hanya diterangkan melalui hadis-hadis rasulullah s.a.w. Walau bagaimana pun umat Islam perlu berhati-hati dalam menyampaikan kisah yang berkaitan peristiwa isra’ dan mikraj kerana dikhuatiri terdapat penambahan kisah yang sekadar bertujuan untuk menyedapkan halwa telinga pendengar. Sebaik-baiknya sampaikan kisah-kisah tentang isra’ dan mikraj berdasarkan hadis sahih yang terdapat dalam kitab Sahih Bukhari dan Muslim atau dengan merujuk kepada sumber yang muktabar
Peristiwa isra’ dan mikraj ini meskipun anugerah yang hanya berlaku kepada diri  baginda rasulullah s.a.w dan tidak kepada nabi-nabi lain. Namun hakikatnya peristiwa tersebut juga merupakan anugerah kepada seluruh umat Islam sehingga hari ini. Solat lima waktu merupakan anugerah paling besar yang diterima oleh nabi s.a.w sewaktu peristiwa mikraj. Ia merupakan cara berterusan umat Islam untuk menjalinkan hubungan antara manusia dengan penciptaNya yang dikenali sebagai ‘mikraj ruhiyyah’. Kepentingan ibadah solat ini menjadikan ia sebagai rukun Islam yang paling tinggi kedudukannya. Solat juga merupakan ibadah yang membezakan antara umat Islam dan golongan kafir, sepertimana maksud sebuah hadis : “(Pembatas) di antara seorang muslim dan syirik dan kafir adalah meninggalkan solat.”[riwayat muslim]. Bagi umat Islam yang menjaga kualiti solatnya, mereka akan terpelihara daripada melakukan kemaksiatan dan kemungkaran kepada Allah sepertimana maksud firmanNya: Dirikanlah sembahyang (dengan tekun); Sesungguhnya sembahyang itu mencegah dari perbuatan Yang keji dan mungkar; dan Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (faedahnya dan kesannya); dan (ingatlah) Allah mengetahui akan apa Yang kamu kerjakan [ Al-Angkabut: 45].

Selain daripada solat, pada malam isra’ dan mikraj juga Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada umat Nabi Muhammad s.a.w keampunan terhadap dosa-dosa yang dilakukan kecuali dosa-dosa besar. Kempunan ini dapat mengelak umat Islam dari ditimpa musibah seperti yang berlaku kepada umat-umat nabi terdahulu. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : (Iaitu) orang-orang Yang menjauhi dosa-dosa besar serta perbuatan-perbuatan Yang keji, kecuali salah silap Yang kecil-kecil (yang mereka terlanjur melakukannya, maka itu dimaafkan). Sesungguhnya Tuhanmu Maha Luas keampunanNya. [Surah Al-Najm:32]. Dosa-dosa yang dilakukan oleh umat Islam akan terhapus apabila mereka mendirikan solat yang berkualiti. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abi Hurairah R.A , Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud: Antara Solat lima waktu, antara Jumaat hingga Jumaat adalah kaffarah selagi mana tidak melakukan dosa yang besar [riwayat muslim]. Kaffarah ini merupakan anugerah dan hadiah dari Allah s.w.t kepada umat Islam untuk menunjukkan sifat kasih sayang dan inayah Allah s.w.t kepada ciptaanNya.

Seterusnya perkara ketiga yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada ummat Nabi Muhammad s.a.w sewaktu peristiwa isra dan mikraj adalah memberi ganjaran gandaan pahala terhadap setiap kebaikan yang dilakukan, sebaliknya apabila melakukan kejahatan, balasan yang akan dikenakan adalah setimpal dengan perkara yang dilakukan. Hal ini telah dirakamkan oleh Allah s.w.t melalui firmanNya yang bermaksud : Sesiapa Yang membawa amal kebaikan (pada hari kiamat), maka baginya (balasan) sepuluh kali ganda (dari kebaikan) Yang sama dengannya; dan sesiapa Yang membawa amal kejahatan, maka ia tidak dibalas melainkan (kejahatan) Yang sama dengannya; sedang mereka tidak dianiaya (sedikitpun) [Surah Al-An’am:160]. Perkara ini juga turut diceritakan oleh Rasulullah s.a.w dalm sebuah hadis Qudsi yang bermaksud : “Sesungguhnya Allah telah menetapkan setiap kebaikan dan kejahatan, maka sesiapa yang berazam hendak melakukan satu kebaikan, kemudian dia tidak melakukannya, Allah catitkan untuknya di sisi Allah satu (balasan) kebaikan yang sempurna, jika dia berazam dan melakukan kebaikan tersebut Allah catitkan untuknya di sisi Allah sepuluh kebaikan sehingga dinaikkan menjadi tujuh ratus lipat ganda yang banyak. Dan sesiapa yang hendak melakukan kejahatan, kemudia dia tidak melakukannya, Allah catitkan untuknya di sisi Allah satu (balasan) kebaikan yang sempurna, jika dia berazam melakukan kejahatan tersebut, kemudian dia lakukannya, Allah catitkan untuknya satu (balasan) kejahatan [riwayat bukhari]. Hadis ini menunjukkan bahawa Allah swt sentiasa memberi peluang dan mahu mencucuri rahmatNya kepada sekelian hambaNya, dengan itu Allah swt menggandakan pahala bagi setiap kebaikan yang dilakukan dan mencatit satu dosa bagi setiap dosa yang dilakukan.

Allah s.w.t turut mengajar dan mewahyukan kepada rasulullah s.a.w khawatim [penutut] surah al-baqarah sebagai anugerah khusus kepada umat Islam. Jika diteliti dalam ayat-ayat penutup surah al-baqarah ini kita akan dapati terdapat doa-doa yang menghimpunkan kebaikan di dunia dan akhirat serta menghalang daripada terkena bahaya di dunia juga akhirat. Semua doa-doa tersebut telah dirangkumkan dalam maksud firman Allah s.w.t : "Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau mengirakan Kami salah jika Kami lupa atau Kami tersalah. Wahai Tuhan Kami ! janganlah Engkau bebankan kepada Kami bebanan Yang berat sebagaimana Yang telah Engkau bebankan kepada orang-orang Yang terdahulu daripada kami. Wahai Tuhan kami! janganlah Engkau pikulkan kepada Kami apa Yang Kami tidak terdaya memikulnya. dan maafkanlah kesalahan kami, serta ampunkanlah dosa kami, dan berilah rahmat kepada kami. Engkaulah Penolong kami; oleh itu, tolonglah Kami untuk mencapai kemenangan terhadap kaum-kaum Yang kafir". Doa-doa yang terdapat dalam ayat ini juga dikenali sebagai Doa Tujuh di mana terangkum tujuh doa dalam ayat ini iaitu 1- memohon agar Allah mengampunkan dosa andai terlupa atau tersalah, 2- jangan membebankan perkara yang tidak termampu untuk dilaksanakan umat Islam, 3-memohon kemaafan kepada Allah, 4-memohon keampunan kepada Allah, 5-memohon kerahmatan Allah s.w.t, 6-memohon pertolongan Allah s.w.t, 7-memohon kemenangan umat Islam ke atas musuh-musuh Allah s.w.t.

Semua keistimewaan yang telah dianugerahkan oleh Allah s.w.t terhadap umat Islam telah diceritakan oleh Rasulullah s.a.w  dalam sebuah hadis yang bermaksud: Telah diberi kepada Rasulullah s.a.w  tiga perkara iaitu sembahyang lima waktu, penutup surah al-baqarah dan diberi keampunan kepada umat baginda  yang tidak melakukan syirik kepada Allah s.w.t. Manakala dalam hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Anas Bin Malik R.A pula disebut tentang setiap kebaikan yang dilakukan oleh umat Muhammad akan digandakan pahala dan jika melakukan dosa hanya akan dicatatkan sebagai satu dosa.  Justeru , sempena bulan Rejab ini sama-sama kita memanjatkan rasa bersyukur kepada Allah dan berlumba-lumba untuk meningkatkan kualiti hidup sebagai seorang mukmin agar dapat merasa setiap anugerah Allah yang telah disediakan untuk seluruh umat Muhammad.

No comments: