Tuesday, July 10, 2007

Kehebatan Himpunan Agong Umat Islam

Wuquf di Arafah merupakan perhimpunan agong umat Islam seluruh dunia. Seluruh umat Islam akan berkumpul dengan memakai ihram serta melakukan ritual yang telah disyariat oleh Allah s.w.t seperti berzikir, bertahmid, takbir dan sebagainya bagi meraikan hari tersebut. Hari arafah adalah hari yang ke 9 dalam bulan zulhijjah menurut kalander Islam. Ia dikenali sebagai hari Arafah kerana perhimpunan tersebut bertempat di suatu kawasan yang berdekatan dengan kawasan pergunungan yang memanjang ke Mina dikenali sebagai Arafah. Terletak lebih kurang 25 kilometer daripada Kota Mekah. Seluruh kawasan di Arafah adalah tempat berwuquf kecuali di Uranah.

Ibadah wuquf atau berhenti sebentar di Arafah merupakan hati ibadah haji yang mana wajib dilakukan oleh setiap jemaah haji. Jika rosak hati itu maka rosaklah haji tersebut. Perkara ini telah diterangkan dalam sebuah hadis di mana seorang sahabat yang berasal dari Najed, bertanya kepada Rasulullah saw.--ketika beliau sedang wukuf di Arafah-- tentang haji. Rasulullah saw. menjawab, "Haji adalah wukuf di Arafah, barangsiapa yang telah sampai pada malam Arafah sebelum terbit fajar hari berkumpul (hari Arafah), maka telah sempurnalah hajinya.". Hadis ini menunjukkan bahawa jika kita telah melakukan wuquf di Arafah seolah-olah haji kita telah sempurna. Gambaran ini menunjukkan betapa pentingnya melakukan wuquf di arafah berbanding dengan perbuatan haji yang lain.

Pada zaman jahiliyyah, kaum Quraish dan kaum-kaum yang seagama dengan mereka telah melakukan wuquf di Muzdalifah. Mereka menamakannya sebagai al-Hums. Semantara itu seluruh orang Arab pula berwuquf di padang Arafah. Apabila kedatangan agama Islam, Allah s.w.t telah memerintah kepada Nabi Muhammad dan umatnya supaya berwaqaf di Arafah. Mereka diwajibkan meninggalkan Arafah sebelum terbenam matahari pada 9 Zulhijjah.

Jika kita mengkaji tentang hari arafah, kita akan dapati terdapat pelbagai kelebihan berbanding hari-hari yang lain. Pada hari tersebut, jika kita berada di padang Arafah kita akan dapati setiap jemaah haji memakai pakaian yang serupa tanpa mengira pangkat, darjat, keturunan, warna politik mahupun perbezaan ideologi politik sambil bertakbir dan bertahmid memuji kebesaran Allah s.w.t. ketika itu kita hanya memikirkan tentang kebesaran Allah s.w.t tanpa memikirkan hal ehwal duniawi. Melucutkan pakaian memewah serta memakai ihram ketika itu melambangkan seolah-olah kita meninggalkan segala urusan dunia seterusnya menumpukan kepada pengabdian kepada Allah s.w.t sahaja.

Manakala umat Islam yang tidak mengerjakan ibadah haji ketika itu juga dituntut meraikan hari tersebut, mereka disunatkan supaya berpuasa pada hari tersebut seperti yang telah diterangkan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Qatadah al-Ansari katanya : Rasulullah s.a.w telah ditanya oleh seorang lelaki mengenai puasa hari Arafah, lalu Rasulullah s.a.w menjawab : Puasa hari arafah itu menghapuskan dosa yang dilakukan pada tahun sebelumnya dan tahun berikutnya. Menurut jumhur ulama’ apa yang dimaksudkan dosa di sini ialah dosa-dosa kecil sahaja. Manakala dosa besar hanya akan terhapus dengan solat taubat sahaja. Bagi jemaah haji pula mereka tidak perlu berpuasa ini kerana Rasulullah s.a.w tidak berpuasa pada hari tersebut berdasarkan sebuah kisah yang diriwayatkan oleh ummu Al-Fadhil Binti Al-Harith r.a : Terdapat beberapa orang sahabat ketika berada di Arafah membincangkan tentang puasa Rasulullah s.a.w. sebahagian mengatakan baginda berpuasa dan sebahagian mengatakan tidak, lalu aku menghulurkan secawan susu kepada baginda ketika kebetulan melalui kawasan tersebut lantas meminumnya.

Kita juga digalakkan memperbanyakkan berdoa pada hari tersebut. Ini kerana Rasullullah s.a.w telah memohon kepada Allah s.a.w supaya memperkenan doa hambanya pada hari tersebut . Rasulullah s.a.w. telah berkhutbah pada hari Arafah, "Wahai manusia! Sesungguhnya Allah Taala pada hari ini bersedia mengampuni segala dosa-dosa kalian kecuali kesalahan yang bersangkutan dengan orang lain di kalangan kamu. Dan membalas keburukan kalian dengan kebaikan. Dan mengabulkan segala permintaan orang yang berbuat kebaikan. Maka dari itu bergegaslah memohon dengan nama Allah. Dalam doa beliau menyebut : Ya Allah! Janganlah Engkau jadikan doaku ini sia-sia, kasihani dan sayangilah aku wahai Tuhan sebaik-sebaik tempat meminta dan sebaik-baik Pemberi." . Justeru itu, marilah kita sama-sama mengambil kesempatan untuk meningkatkan lagi ibadah kita kepada Allah s.w.t pada hari tersebut. Semoga dengan cara tersebut Allah s.a.w mempermudahkan untuk menerima doa hambanya.

Pada hari arafah juga Allah s.w.t telah menurunkan ayat yang menyatakan telah sempurnanya ajaran yang dibawa oleh baginda Rasulullah s.a.w iaitu firman Allah s.w.t yang bermaksud : Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu dan telah aku sempurnakan nikmatku atasmu dan Aku rela Islam sebagai agama bagimu.". perkara ini diriwayatkan daripada Toriq Bin Syihab r.a katanya: Orang-orang yahudi berkata kepada umar r.a. kami semuanya membaca sepotong ayat yang sekiranya ayat tersebut diturunkan kepada kami nescaya kami akan jadikan hari tersebut hari raya. Umar menjawab: aku amat mengetahui di mana ayat itu diturunkan serta bila ia diturunkan dan di mana rasulullah s.a.w berada ketika. Ayat tersebut diturunkan di arafah. Sufian berkata ; aku tidak pasti adakah ayat tersebut diturunkan pada hari Jumaat ataupun tidak. Ayat yang dimaksudkan ialah firman allah s.w.t yang bermaksud; Pada hari ini telah aku sempurnakan bagimu agamamu dan telah aku sempurnakan nikmatku atasmu dan Aku rela Islam sebagai agama bagimu.".

Sesungguhnya sesiapa yang wafat ketika sedang berwuquf di Arafah, sesungguhnya Allah s.w.t akan membangkitkannya dalam keadaan bertalbiyah. Ini merujuk kepada sebuah kisah ketika seorang lelaki berwukuf bersama Rasulullah s.a.w. tiba-tiba dia terjatuh dari tunggangannya dan meninggal. Rasulullah s.a.w. memerintahkan supaya laki-laki tersebut dikafani dengan pakaiannya, tidak diberi wangi-wangian, dimandikan dengan air dan daun bidara serta tidak ditutup kepala dan mukanya. Sesungguhnya Allah s.w.t akan membangkitkannya pada hari kiamat dalam keadaan bertalbiyah.

Berkesempatan untuk meraikan kemuliaan hari arafah yang akan datang tidak lama lagi, maka kita sama-sama meningkatkan lagi amalan di samping memperbanyakkan doa dan zikir pujian terhadap Allah s.a.w serta mendoakan kesejahteraan kepada jemaah haji seluruh dunia khususnya jemaah dari Malaysia semoga dapat menjalankan ibadah haji dengan sempurna dan memperolehi haji yang mamrur.


Doa Sebagai Pelengkap Ibadah Haji


Kini umat Islam yang telah menunaikan ibadah haji di Mekah bersiap sedia untuk pulang ke tanah air masing-masing. Setelah melakukan pengorbanan yang besar dari segi kewangan ataupun ketabahan ketika melakukan amalan haji, maka apa yang dihajatkan oleh setiap jemaan haji adalah keredaan Allah s.w.t dengan harapan segala amalan haji yang dilakukan diterima oleh Allah s.w.t.

Bagi menperolehi keredaan Allah s.w.t, apa yang perlu dilakukan oleh umat Islam adalah dengan memperbanyakan berdoa kepada Allah s.w.t. Doa bermaksud memohon atau memanjangkan permintaan yang berunsur kebaikan kepada Allah s.w.t. Doa merupa satu anugerah yang diperuntukkan kepada umat Islam dalam menghadapi pelbagai dugaan atau ujian. Doa merupakan seteru kepada penyakit dan penderitaan. Dengan cara berdoa sahaja boleh menyebabkan hilang atau kurangnya penyakit tersebut. Berdoa merupakan senjata bagi orang mukmin, tiang agama dan penyuluh di dunia dan di akhirat, seperti mana sabda nabi s.a.w : doa itu adalah senjata utama orang mukmin, tiang agama dan penerang di dunia dan akhirat. Allah s.w.t juga telah memerintahkan kepada hambanya supaya berdoa kepada Allah s.w.t sepertimana firmannya yang bermaksud : Berdoalah kepadaku nescaya aku perkenankannya (al-mikmin:60) . Manakala dalam sebuah hadis kudsi pula Allah s.w.t telah bersabda yang bermaksud : wahai hambaku, kamu semua berada di dalam kesesatan kecuali aku memimpinmu ke arah jalan yang benar. Wahai hambaku engkau akan kelaparan kecuali aku yang memberi makan kepada mu, maka carilah rezekiku, nescaya aku akan menyuapmu.

Hadis dan firman tersebut menunjukkan kepada kita tentang kepentingan berdoa kepada Allah s.w.t supaya meperolehi apa yang dihajati oleh kita. Hadis Qudsi di atas secara fizikalnya bukan bermaksud Allah s.w.t memberi makan atau menyuapkan makan kepada kita, tetapi usaha yang dilakukan oleh setiap individu pasti akan membuahkan hasil dengan izin Allah s.a.w iaitu dengan cara disertakan dengan doa setiap usaha yang dilakukan olehnya.

Manusia sentiasa berdoa kepada Allah s.w.t supaya diberikan kesenangan di dunia, dan dilepaskan azab akhirat, diterima segala amalan dan dijauhkan dari malapetaka. Seorang lelaki telah bertanya Rasulullah s.a.w : Bolehkah kita membuat permintaan yang pelbagai di dalam satu doa, lalu Rasulullah s.a.w menjawab : Allah s.w.t adalah Akthar ( Riwayat Tarmizi ). Ini bermaksud di dalam doa harian, kita boleh meminta pelbagai permintaan kepada Allah s.w.t pelbagai kebaikan, malahan Allah s.w.t mendengar segala permintaan setiap hambanya. Sepertimana firmannya yang bermaksud : Sesungguhnya Tuhanku Maha Mendengar dan Memperkenan doa permohonan hambanya (Ibrahim;39).
Para nabi merupakan golongan yang diperkenankan setiap doa mereka ini disebabkan mereka berlumba dalam melakukan kebaikan dan sentiasa berdoa dengan penuh harapan dan khusuk dalam ibadah yang dilakukan. Perkara ini dijelaskan dalam firmanNya yang bermaksud: Kami permudahkan doa Rasul-rasul itu ialah kerana) sesungguhnya mereka sentiasa berlumba-lumba dalam mengerjakan kebaikan dan sentiasa berdoa kepada kami dengan penuh harapan serta gerun takut dan mereka pula sentiasa khusyuk (dan taat) kepada Kami ( Al-Anbiyak:90). Ayat ini menunjukkan kepada kita dalam keadaan walaubagaimana pun kita harus berdoa kepada Allah. Ini antara ciri seorang nabi iaitu sentiasa berdao kepada Allah s.w.t ketika senang ataupun ketika susah. Ini berbeza dengan sikap umat Islam zaman kini, yang mana mudah melupai akan Allah s.a.w ketika berada di dalam keadaan senang dan mencela azab yang ditimpa ketika susah sedangkan tujuan Allah s.w.t menduga manusia adalah untuk kembali mengigatinya.
Allah s.w.t juga mencela golongan yang tidak berdoa kepada Allah s.w.t. sebahagian manusia merasakan kejayaan yang dimiliki adalah hak mutlak miliknya. Hasil yang sepatutnya dinikmati setelah tekun berusaha. Di sebalik kejayaan tersebut mereka lupa tentang kekuasaan allah s.w.t yang mengizinkannya berjaya, justeru itu mereka tidak berdoa kepada Allah s.w.t supaya terus memelihara mereka daripada kesombongan atau malapetaka. Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : sesungguhnya orang-orang yang tidak berdoa kepada Allah s.w.t akan masuk kedalam neraka dalam keadaan hina dina(Mukmin:60). Begitu juga sabda Nabi yang bermaksud: Sesiapa yang tidak memohon kepada Allah s.w.t, nescaya akan dimurkai (Riwayat Bukhari).
Semua doa yang dipohon kepada Allah s.w.t akan diperkenankan oleh Allah s.w.t. sama ada cepat ataupun lambat Allah s.w.t memperkenankan doa tersebut bergantung kepada kehendak Allah s.w.t. jika allah s.w.t tidak membalasnya di dunia nescaya mereka akan mengecapinya pada akhirat nanti atau pun Allah s.w.t mengganti doa mereka dengan sesuatu yang lebih hebat lagi. Setiap doa yang dipohon kepada Allah s.w.t hendaklah disertai dengan melakukan kebaikan yang berterusan kepada orang lain. Kita dilarang berdoa tanpa ada usaha.
Bagi jemaah haji yang baru pulang dari menunaikan haji, apa yang paling dihajati adalah semoga memperolehi haji mambur iaitu haji yang diterima oleh allah s.w.t. kita tidak boleh menilai haji seseorang dengan mengatakan sama ada diterima atau pun tidak. Apa yang boleh menjadi ukuran kepada nilai tersebut adalah bergantung kepada amalan jemaah haji tersebut sama ada melakukan haji kerana Allah s.w.t atau pun sekadar ingin mendapat gelaran haji, atau ingin disanjunggi oleh orang-orang kampung atau sekadar ingin memenuhi rukun Islam semata- mata.
Justeru itu bagi memperoleh haji mabrur, apa yang perlu dilakukan setelah selesai ibadah haji adalah meneruskan permohonan iaitu berdoa kepada Allah s.w.t semoga Allah s.w.t meneri ibadah haji mereka dan memilih mereka menjadi hamba yang terpilih. Doa tersebut hendaklah berterusan sehingga bertemu musim haji berikutnya dan sehingga ke akhir hayat kita. Jauhi dari mengatakan bahawa kita sudah memperolehi haji yang mabrur, hanya allah s.w.t jua yang mengetahui akan nilai amalan haji yang dilakukan.


Rasulullah S.A.W Pemimpin Islam Mempunyai AQ Terhebat

Paul Stolz ialah seorang perunding perniagaan terkemuka yang berpendapat bahawa Adversity Quatient iaitu satu ukuran kepada keupayaan intrinsic terhadap tahap keupayaan menghadapi kesukaran AQ merupakan garis pengukur yang tidak kurang pentingnya jika dibandingkan dengan Emotional Quotient (EQ) dan Intelligent Quatient untuk membezakan di antara seorang usahawan atau pemimpin yang hebat. Sebagai seorang pemimpin atau usahawan yang hebat bukan sekadar memiliki kebijaksanaan sahaja, apa yang penting berjaya mengubah keadaan yang sukar kepada suatu keadaan yang menyenangkan.

Di dalam Islam, Rasulullah s.a.w adalah pemimpin yang mempunyai AQ yang hebat. AQ tersebut telah dibuktikan melalui peristiwa-perinstiwa sukar yang dilalui oleh Rasulullah S.A.W dari awal kelahirannya sehingga kepada kejayaannya menjadi seorang pemimpin yang telah menjadikan Islam sebagai gaya hidup yang bertamadun. Kepimpinan Rasulullah s.a.w bukan sahaja diperakui dan disegani oleh sarjana-sarjana Islam semasa sahaja, bahkan terdapat sarjana-sarjana barat turut memperakui kehebatan kepimpinan rasulullah s.a.w.

Kesukaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w telah bermula ketika beliau masih lagi di dalam kandungan ibunya, di mana beliau telah menjadi anak yatim ketika dilahirkan apabila bapanya Abdullah telah meninggal dunia ketika Rasulullah s.a.w dalam kandungan ibunya. Di di saat kelahirannya pula, telah berlaku satu peperangan yang dirancang oleh Abrahah dalam cubaannya untuk menakluk Ka’abah, tetapi telah digagalkan oleh Allah s.a.w sepertimana diceritakan oleh Allah s.w.t dalam surah al-Fil. Setelah dilahirkan, beliau dipelihara oleh ibunya Aminah selama dua bulan kemudian diserahkan kepada Halimatun Sa’adiah untuk menyusuinya sehingga usia baginda 2 tahun. Ketika beliau berusia enam tahun, beliau telah menjadi yatim piatu apabila ibunya Aminah meninggal dunia kemudian dipelihara oleh datuknya Abu Mutalib. Ketika Rasulullah s.a.w berusia lapan tahun datuknya pula meninggal dunia lalu dipelihara oleh bapa saudaranya Abu Talib sehinggalah Rasulullah s.a.w dewasa.

Kemuncak kesukaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w adalah ketika dilantik menjadi nabi dan rasul ketika berumur empat puluh tahun. Dakwah yang hendak disampaikan oleh Rasulullah s.a.w menerima tentangan yang sangat hebat oleh kaum kafir Quraish ketika itu, Rasulullah s.a.w dan umat Islam dikecam dengan hebat sama ada kecaman dalam bentuk fizikan atau mental. Malah terdapat umat Islam ketika itu dibunuh jika mengikuti ajaran yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. Rasulullah s.a.w juga telah dipulau oleh kafir Quraish selama tiga tahun bermula tahun ke tujuh kenabiannya sehingga ke sepuluh tahun kenabiannya. Setelah sepuluh tahun menjadi nabi dan rasul, suatu peristiwa yang dikenali sebagai tahun sedih Rasulullah s.a.w telah berlaku, di mana isterinya Khadijah dan bapa saudaranya yang sentiasa memberi sokongan supaya meneruskan dakwahnya telah meninggal dunia. Terapat riwayat yang mengatakan jarak antara kematian Khadijah r.a da Abu Talib adalah satu bulan lima hari. Selepas kewafatan Khadijah r.a dan Abu Talib, seksaan yang dikenakan terhadap umat Islam semakin teruk ini, bagi menyelamatkan umat Islam, Rasulullah s.a.w telah menyuruh semua pengikutnya berhijrah ke Madinah. Ketika Rasulullah s.a.w ingin berhijrah juga, beliau menghadapi pelbagai ancaman yang dirancang oleh kafir Quraish, namun semua kesukaran tersebut berjaya di atasi oleh beliau.

Kesemua kesukaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w berjaya ditanganinya tanpa berasa berputus asa atau kecewa. Kesukaran yang dihadapi oleh Rasulullah s.a.w ketika zaman kanak-kanak dan awal kenabiannya telah mematangkan beliau supaya menjadi seorang yang hebat ketika dilantik menjadi pemimpin di Madinah. Contoh paling hebat yang menampakkan kepimpinannya dalam bidang politik adalah ketika berlakunya perjanjian Hudaibiyyah. Sifat lemah lembut dan bertolak ansur, serta kemahiranya dalam berpolitik telah menyebabkan umat Islam berjaya membuka kota Mekah tanpa berlakunya pertumpahan darah. Walaupun pada asalnya perjanjian ini tidak dipersetujui oleh para sahabat, ini kerana para sahabat berpendapat, Islam ketika itu berada dalam kedudukan yang kuat dan digeruni, tidak perlu tunduk kepada tuntutan orang kafir Quraish, manakala bagi rasulullah s.a.w pula, apa yang ingin dicapai adalah menghentikan pertumpahan darah. Atas alasan tersebut Rasulullah s.a.w bersetuju dengan syarat yang dikenakan oleh pihak musuh.

Bersempena dengan sambutan maulidurrasul tahun ini, marilah kita sama menghayati perjalanan kehidupan Rasulullah s.a.w yang penuh dengan kesukaran. Jelas kepada kita bahawa, Rasulullah s.a.w adalah contoh pemimpin yang mempunyai AQ yang tinggi yang perlu dicontoh oleh kita dalam meneruskan kehidupan sebagai seorang Islam.