Wednesday, July 11, 2007

Menziarahi Masjid dan Makan Nabi

Rasulullah s.a.w pernah bersabda: Sesungguhnya Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah dan mendoakan keberkatan terhadap penduduknya. Maka sesungguhnya aku pun memuliakan iaitu mengharamkan Kota Madinah sebagaimana Nabi Ibrahim a.s telah memuliakan iaitu mengharamkan Kota Mekah. Dan sesungguhnya aku juga telah mendoakan keberkatan makanan di Kota Madinah, sebagaimana yang pernah didoakan oleh Nabi Ibrahim a.s kepada penduduk Mekah.

Hadis tersebut berkait rapat dengan Ibadah haji yang merupakan rukun Islam terakhir serta wajib dilaksanakan oleh umat Islam yang mempunyai kemampuan. Ibadah ini dilakukan pada bulan Zulhijjah di Mekah Mukarramah. Di samping menunaikan kewajipan haji di mekah kita juga perlu mengambil peluang untuk melakukan ziarah terhadap Makam Rasulullah S.A.W dan Masjid Nabawi yang berada di Madinah Munawarah. Kota mekah dimuliakan oleh Allah s.w.t kerana amalan ibadah hajinya di situ, manakala di Kota Madinah pula dimuliakan oleh Allah s.w.t dengan wujudnya makam Rasulullah s.a.w dan Masjid Nabawi. Kedua-dua tempat ini tidak wujud di tempat lain kecuali di Madinah sahaja. Oleh yang demikian itu kita dituntut supaya mengambil kesempatan melawat tempat tersebut setelah selesai menunaikan haji.

Kedua-dua amalan ziarah ini merupakan tuntutan yang perlu kita lakukan bagi memenuhi kehendak Rasulullah s.a.w ketika hayatnya. Di dalam satu hadis Rasulullah s.a.w terlah bersabda yang bermasud : Nabi s.a.w pernah bersabda: Janganlah kamu bersusah payah musafir untuk sembahyang kecuali menuju ke tiga buah masjid iaitu masjidku ini iaitu masjid Nabawii, Masjidilharam di Mekah dan Masjidilaqsa(riwayat muslim). Hadis ini menerangkan kepada kita bahawa menziarah Masjid Nabawi adalah amat digalakkan kerana Allah s.w.t akan memberi ganjaran yang berlipat ganda jika kita mendirikan solat di masjid tersebut, sepertimana sabda nabi yang bermaksud: Nabi s.a.w pernah bersabda: Sembahyang satu waktu di masjidku adalah lebih utama daripada mendirikan sembahyang sebanyak seribu kali di masjid lain kecuali Masjidilharam(Riwayat Muslim).

Manakala galakkan menziarahi Makam Rasulullah s.a.w pula berdasarkan kepada sebuah hadis Rasullullah s.a.w yang bermaksud : Sebelum ini aku telah melarang kamu menziarahi kubur, maka ziarahillah kubur-kubur. Hadis ini telah disokong oleh sebuah hadis lain yang berlaku kepada Muaz sebelum diutuskan ke Yaman: Rasulullah s.a.w telah berkata: Wahai Muaz! Jika engkau tidak dapat bertemu denganku pada tahun ini, semoga engkau menziarahi masjidku (Masjid Nabawi) dan kuburku. (Riwayat Ahmad dengan sanad yang soheh). Hadis ini dengan jelas menunjukkan kepada kita bahawa menziarahi makam Rasulullah s.a.w amat digalakkan. Perkara ini turut dipersetujui oleh para sahabat dan tabiin selepasnya. Begitu juga dengan hadis yang diriwayatkan oleh al-Thobrani yang bermaksud, Rasulullah s.a.w bersabda : Sesiapa yang menunaikan fardu haji ke Baitullah al-Haram di Tanah Suci Makkah dan tidak menziarahi aku (di Madinah), sesungguhnya ia menjauhkan dirinya daripada aku. Jika hayat Rasulullah s.a.w masih ada, kita mungkin boleh menziarahinya tetapi setelah kewafatannya apa yang ditinggalkan untuk kita di Madinah ialah menziarahi makam dan masjidnya. Dengan cara tersebut mungkin akan mendekatkan lagi diri kita kepada rasulullah s.a.w di samping dapat melakukan sunah-sunahnya yang lain.


Kedua-dua tuntutan ini bolehlah dilakukan ketika kita telah selesai menunaikan haji. Manakala bagi jemaah yang datang lebih awal, mereka boleh menziarahnya sebelum berangkat ke Mekah bagi menunaikan ibadah Haji. Ketika ingin melaksanakan kedua-dua tuntutan tersebut, terdapat beberapa adab perlu dipelihara supaya memperoleh keberkatan daripada apa yang yang dilakukan.

Mempunyai azam untuk sampai ke Masjid Nabawi dan Makam Rasullullah s.a.w merupakan permulaan yang perlu ada pada setiap jemaah yang ingin ke Madinah. Ketika dalam perjalanan ke Madinah kita hendaklah memperbanyakkan berselawat ke atas Rasullullah s.a.w . Sebelum sampai di Madinah kita disunatkan supaya mandi terlebih dahulu. Namun begitu jika tidak berkesempatan kita boleh mandi dan menyucikan diri sebelum melangkah masuk ke masjid nabawi.

Ketika hendak melangkah ke dalam Masjid Nabawi kita hendaklah melangkah dengan kaki kanan sambil memohon perlindungan daripada Allah s.w.t daripada gangguan syaitan. Seterusnya memulakan sesuatu dengan bismillah dan diakhiri dengan ucapan alhamdulillah serta sentiasa berselawat ke atas Nabi Muhammad s.a.w dan berdoa memohon keampunan daripada Allah s.w.t dan dibuka pintu rahmatNya kepada kita.

Ketika melakukan sunat tahiyyatul masjid, kita digalakkan melakukannya di raudah iaitu tempat yang dikatakan antara rumah dan mimbar Masjid Nabawi. Jika didapati kawasan tersebut penuh maka dirikanlah solat di mana-mana tempat di dalam masjid tersebut asalkan mampu memelihara ke khusukan solat tersebut.

Setelah selesai menunaikan solat tahiyyatul masjid di raudah, maka bolehlah kita menziarah makam Rasulullah s.a.w. ketika melihat makam tersebut ucaplah salam kepada baginda dan panjatkan puji-pujian baginya. Seterusnya ucapkan salam puji-pujian juga kepada Saidina Abu Bakar r.a dan Saidina Umar R.A. . Kedua-dua makam mereka bersebelahan dengan makam Rasulullah s.a.w. Ketika menziarah makam rasulullah s.a.w kita dilarang mengelilinggi sekelilingnya, mengucup atau meratapi kubur tersebut kerana ini adalah perbuatan yang sesat dan dilarang sama sekali.

Setelah selesai menziarah makam tersebut, maka bolehlah kita kembali ke dalam masjid untuk meneruskan i’ktikaf sambil berdoa kepada Allah s.w.t memohon kesejahteraan kepada diri dan umat Islam seluruhnya. Ketika berada di Madinah kita juga amat digalakkan supaya sentiasa menunaikan solat 5 waktu di Masjid Nabawi dan sentiasa beri’itikaf di masjid jika berkelapangan berbuat demikian serta elakkan diri daripada melakukan pembaziran masa dengan melakukan perkara yang tidak berfaedah.

Oleh yang demikian, pada kesempatan yang diberikan oleh Allah s.w.t ketika menunaikan ibadah haji, sama-sama kita mengambil peluang untuk menziarahi tempat-tempat yang penuh dengan sejarah permulaan Islam serta cukup bermakna buat umat Islam. Serta melawat makam-makam para sahabat dan isteri nabi. Selain daripada itu, kita boleh juga melawat tempat-tempat bekas peperangan tentera Islam serta melawat kubur para syahid Islam. Semoga dengan ziarah-ziarah tersebut dapat meningkatkan keimanan kita serta menambah lagi kasih sayang kita terhadap Nabi s.a.w, sahabat-sahabat serta para isterinya.