Wednesday, July 11, 2007

Raikan Kenaikan Gaji Dengan Kesyukuran

Alhamdulillah adalah kalimat keramat yang sepatutnya terpacul daripada mulut penjawat awam yang beragama Islam apabila diumumkan oleh perdana menteri pada 21 Mei 2007. Setelah menunggu hampir 15 tahun untuk semakan dan penyelarasan semula gaji penjawat awam maka impian tersebut telah dapat capai oleh semua penjawat awam di malaysia pada tahun ini.

Di dalam Islam, pembayaran gaji atau asas pembayaran ganjaran merupakan suatu kewajipan majikan terhadap pekerja-pekerjanya. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” ( Al-Najm: 39 ). Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh seseorang , maka dia berhak untuk mendapatkan balasan yang setimpal terhadap apa yang diusahakan. Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Berilah upah kepeada pekerja sebelum kering peluhnya. Manakala sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a yang bermaksud : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada penduduk Khaibar dengan upah separuh daripada hasil yang dikerjakan seperti buah-buahan atau tanaman. Hadis ini bertepatan dengan tidakan kerajaan menaikkan gaji di kalangan penjawat awam khususnya yang berpendapatan rendah untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selese sejajar dengan perubahan yang berlaku pada masa kini. Selain daripada itu, Islam juga menyarankan supaya diberitahu kadar kenaikan yang bakal mereka perolehi. Sehubungan dengan itu, rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berurusan dengan seseorang untuk melaksanakan tugas atau pekerjaan maka hendaklah ia memaklumkan kadar upah dan bayaran.

Di dalam permasalahan pembayaran gaji Saidini Ali pernah berpesan yang bermaksud : Berilah kepada mereka gaji yang secukupnya kerana dengan gaji yang cukup itu mereka dapat meningkatkan prestasi diri mereka dan boleh mengelakkan daripada mengambil harta kerajaan atau rasuah. Ini juga boleh menjadikan alasan ketika mana arahanmu tidak dipatuhi. Pesanan daripada Saidina Ali ini berkaitan dengan kepentingan terhadap pemberian gaji yang mencukupi kepada pekerja-pekerja. Ini kerana kekurangan ganjaran daripada yang sepatutnya boleh menyebabkan berlakunya gejala-gejala yang negetif seperti rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Justeru itu besar harapan kepada kakitangan awam, dengan penyelaras semula gaji penjawat awam akan meningkatkan lagi prestasi kerja mereka.

Selain dari mengucapkan syukur kepada allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan, penjawat awam harus menyedari bahawa setiap jawatan disandang mereka adalah amanah dan tanggungjawab bagi seorang pekerja. Ini merujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu agar melaksanakan amanah kepada yang empunya dan apabila kamu menghukum antara manusia, maka hendaklah kamu menghukum secara adil. (al-Nisa’:58). Amanah yang dimaksud di dalam maksdu firman ini adalah berkait rapat dengan tugas-tugas yang disandang oleh setiap pekerja di mana-mana organisasi. Jika kita tidak amanah terhadap apa yang dipertanggungjawab kepada kita , maka ketahuilah bahawa rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : terdapat tiga tanda-tanda sifat munafik iaitu apabila diamanahkan sesuatu dia mengkhianatinya ).

Sesungguhnya sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah s.w.t dengan kenaikan yang diperolehi, maka sama-sama kita mempebaharui setiap kerja kita dengan menjadikannya sebagai ibadah kepada Allah s.w.t. Apabila setiap pekerjaan itu dilakukan sebagai suatu ibadah, maka kita akan lakukan perkata tersebut dengan penuh dedikasi dan amanah serta mengharap keredaan Allah s.w.t . Sebagai tanda kita berterima kasih kepada kerajaan pula kita lakukanlah kerja dengan tanpa ada penagguhan lagi. Antara punca kelewatan sesuatu urusan adalah disebabkan sikap yang suka menagguh-nagguh kerja. Sedangkan rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Apabila mampu ketika senja janganlah kamu menangguh sehingga subuh, apabila kamu mampu melakukan ketika subuh, janganlah kamu menangguhnya sehingga petang, pergunakanlah kesihatan kamu sebelum datang sakit, kehidupan kamu sebelum datangnya kematian ( Riwayat Bukhari). Hadis ini merujuk kepada gesaan dalam menyegerakan sesuatu pekerjaan tanpa ada penagguhan. Kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam masa 1 hari tetapi menjadi sehingga seminggu , begitulah sebaliknya yang berlaku ketika ini.
Semoga dengan kenaikan ini akan meningkatkan urusan pentadbiran kerajaan terhadap rakyat-rakyat, dan ingatlah saidina Ali juga telah berpesan : jika kamu tidak melakukan apa yang sepatutnya kamu lakukan sebagai penjawat awam bermakna engkau telah melakukan kezaliman. Sesiapa yang menzalimi hamba Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t menjadi lawannya di akhirat. Sesiapa yang menjadikan Allah s.w.t lawannya maka tiada ruang lagi baginya untuk berhujah dan keadaan ini berterusan sehingga ia bertaubat.