Tuesday, June 10, 2008

ADA HIKMAH BUKAN SIA-SIA MANUSIA DIUJI

Kenaikkan harga barang dan minyak bukanlah suatu perkara yang dinantikan oleh rakyat Malaysia, malah ia merupakan suatu ujian yang amat besar perlu diharungi oleh rakyat Malaysia dalam menempuhii kehidupan harian. Mungkin bagi golongan yang berharta mereka tidak sangat merasai penderitaan ini,namun bagi mereka yang bekerja sebagai penjawat awam atau swasta yang menerima imbuhan atau gaji di setiap hujung bulan, kenaikan harga barang semestinya memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan mereka.


Sebagai seorang yang beragama Islam, kita hendaklah reda dengan ketentuan yang telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada kita, ini kerana setiap perkara yang berlaku telah ditulis oleh Allah s.w.t di dalam ketentuannya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t melalui firmannya yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ( Surah Al-Hadid:22 ). Manakala di dalam surah Al-Thoghabun: 22 pula Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Kedua-dua ayat ini, menunjukkan bahawa setiap perkara yang terjadi kepada kita adalah ketentuan Allah s.w.t, maka hendaklah kita menerimanya dengan tenang walaupun perit untuk kita hadapi kerana penerimaan tersebut adalah bukti bahawa kita masih lagi memiliki keimanan terhadap Allah s.w.t dan masih lagi diberi hadayah oleh Allah s.w.t. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Rasulullah s.a.w
telah bersabda : Terdapat tiga golongan yang akan mendapat keuntungan dunia dan akhirat. Pertama golongan yang reda dengan takdir qada’ dan qadar, kedua bersabar di atas setiap ujian yang dturunkan kepadanya, dan ketiga berdoa di waktu senang. Ketika ini untuk menjadikan kita orang yang untung di dunia dan di akhirat hendaklah kita menerima dengan reda yang telah terjadi dan bersabar untuk menghadapi perkara tersebut di samping terus berikhtiar untuk menyelesaikan masalah kenaikkan harga yang sedang berlaku. Mungkin keadaan ini adalah ujian sebenar kepada kita untuk membuktikan memang kita benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. sepertiman
mafhum sebuah hadis yang bermaksud : Seseorang itu masih lagi belum dikatakan beriman selagi mana tidak diuji dengan kehilangan hartanya atau ditimpa musibah, jika Allah s.w.t berkehendak kebaikan akan dia pasti diuji dengan ujian, lalu ia bersabar. Jika dilihat dari sudut yang negatif pelbagai prasangka buruk akan timbul dalam diri kita terhadap kenaikan harga barang dan minyak baru-baru ini. Apa yang pasti tunding menunding untuk menyalahkan orang lain pasti akan terjadi. Bagi menenangkan jiwa, kita hendaklah melihat perkara ini dari sudut positif terhadap perkara yang telah terjadi. Memperkatakan perihal kenaikan harga makanan di negara ini, mungkin telah sampai masa kepada kita untuk mengamalkan apa yang telah disarankan oleh baginda Rasulullah
s.a.w terdahulu iaitu makan ketika berasa lapar dan berhenti sebelum kenyang. Di dalam hadis juga Rasulullah s.a.w bersabda : Makanan untuk 2 orang mencukupi untuk 3 orang, makanan 3 orang mencukupi untuk 4 orang ( muttafaq alaih ). Tahukah kita berapa ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah melibatkan kegemukan atau obesiti yang boleh mengundang pelbagai penyakit lain seperti darah tinggi, kecing mansi, strok dan sebagainya. Kebanyakan penyakit adalah berpunca daripada disiplin pemakanan yang tidak teratur. Hadis di atas menerangkan konsep pemakan yang sebenar dan bersederhana. Kita mungkin tidak boleh melakukan secara rela konsep tersebut sebelum ini, namun kita mungkin terpaksa melakukan amalan tersebut apabila berlakunya kenaikan harga barang seperti yang sedang berlaku kini. Semoga dengan perubahan cara pemakanan tersebut mampu memberi lebih banyak kesan yang baik terhadap kesihatan diri kita khususnya. Semoga dengan cara perlahan-lahan kita mengamalkan amalan tersebut, maka Allah s.w.t akan mendatangkan keikhlasan dalam jiwa kita. Selain daripada itu, kenaikan harga minyak yang berlaku mungkin akan menyebabkan keakraban dan hubungan silaturahim makin terjalin di antara sahabat andai dan jiran tetangga dan teman sekerja. Jika dahulu, kita tinggal di taman yang sama, namun pergi ke tempat kerja dengan kenderaan yang berasingan, kini dengan terjadinya kenaikan harga minyak dapatlah melakukan rancangan pergi bekerja bersama-sama dengan cara giliran menggunakan kenderaan. Begitu juga dengan sebahagian rakyat Malaysia yang rumah mereka hampir dengan tempat bekerja tidak perlu lagi menaiki kenderaan sebaliknya boleh belakukan aktiviti berjalan kaki setiap hari ataupun berbasikal. Semua ini pastinya dapat menjimatkan minyak walaupun secara terpaksa. Keadaan yang terjadi pada hari ini, seharusnya dijadikan iktibar penting kepada kita dengan cara melakukan muhasabah diri masing-masing. Ini kerana sebahagian musibah atau ujian yang terjadi kepada kita adalah disebabkan kita sendiri. Hal ini diterangkan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu ( as-Syura:30 ). Mungkin diakibatkan oleh dosa-dosa kita telah kita lakukan, maka Allah s.w.t menurunkan ujian seperti ini, maka marilah sama-sama kita muhasabah diri sebelum ingin menyalahkan orang yang lain.

1 comment:

danny said...

ujian ni kadang2 membuat sesiapa yang leka tersedar dari lamunan. yang boros akan berjimat...