Wednesday, June 4, 2008

HARGA MINYAK NAIK

Siapa sangka harga minyak naik begitu cepat, pelbagai berita tentang kenaikan minyak telah tersebar sebelum ini, ada yang kata awal tahun, ada yang mengatakan pada ogos, realitinya minyak telah naik pada tengah malam 4 june 2008, detik 5 june 2008 dan boleh juga dikatakan selepas berlakunya pilihan raya. Jika kita keluar ke bandar pada malam semalam maka kita akan dapati berbaris-baris kereta yang cuba mendapatkan minyak dengan harga RM 1.92 buat kali terakhirnya. Kini harga minyak telah naik sehingga RM 2.70, kenaikan yang paling tinggi sejak tahun 2000 . Mahal atau tidak, mahu atau tidak rakyat terpaksa menelan segala ketetapan yang telah ditentukan oleh kerajaan yang mengatakan bahawa kenaikan ini berpunca daripada kenaikan harga minyak global. Selepas ini kita pun tidak tahu apa yang akan naik lagi, bermula dengan kenaikan harga barang, petrol, desel dan elektrik. Saya bukan seorang yang pakar dalam bidang ekonomi, tidak mengiakan dan tidak pula menidakkan kenaikan tersebut, apa yang termampun hanyalah berserah kepada Allah s.w.t. Yang pastinya kenaikan tersebut memberi kesan yang amat ketara dalam pembelanjaan harian kita.
Kenaikkan harga yang telah berlaku di Malaysia merupakan suatu ujian yang sangat besar kepada seluruh masyarakat yang berpendapatan sederhana. Tidak dapat hendak dibayangkan bagaimana ada yang berfikiran dengan mengatakan ia menguntungkan rakyat, yang pasti hanya memungkinkan keuntungan kepada pemimpin rakyat sahaja.
Untuk menenangkan jiwa ini, haruslah diingat bahawa setiap ujian yang dihadapi oleh manusia itu sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sejak mula kita diciptakan. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ( al-Hadid:22 ). Justeru itu, hendaklah kita sebagai umat Islam menerima berita tersebut sebagai suatu ujian bagi meninggkatkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. serta menjadi golongan yang mencapai kebahagian dunia dan akhirat, sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ibn Masud yang bermaksud : tiga golongan yang mencapai kebahagian dunia dan akhirat : Redo dengan ketentuan Allah s.w.t, bersabar atas segala musibah dan ujian serta berdoa ketika senang.
Selain daripada itu, kita juga harus ingat bahawa setiap ujian yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t itu adakalanya perpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang mungkin tamak haloba, mementingkan diri sendiri, suka membazir, benci golongan ulama' dan segala kemungkaran yang berpunca daripada tangan dan kuasa manusia itu sendiri. Hal ini juga telah disebut oleh Allah s.w.t yang bermaksud : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu ( as-Syura:30 ). Angaplah kenaikan harga minyak kali ini sebagai ujian untuk menigkatkan darjat kita di sisi Allah s.w.t...Bersabarlah, sesungguhnya bersabar itu suatu yang sangat indah ( di sisi Allah s.w.t ) ( Al-Ma'arij:5 ).

No comments: