Monday, August 31, 2009

JANGAN ABAIKAN BERSAHUR

Bersahur bermaksud makan dan minum setelah berlalunya malam sebelum masuk waktu subuh. Ia merupakan salah satu daripada amalan yang dituntut agar dilakukan oleh umat Islam ketika berpuasa khususnya di bulan ramadhan. Kebiasaannya, kebanyakan kita akan bersemangat untuk melakukan amalan ini di awal-awal ramadhan sahaja, namun apabila berada dipertengahan bulan, amalan ini makin tidak gemar untuk dilaksanakan oleh umat Islam. Hal disebabkan kita sudah terbiasa dengan keadaan lapar di siang hari dan mungkin selesa manjamah makanan sebelum kita tidur.

Islam telah meletakkan amalan bersahur ini sebagai penanda aras kepada kewujudan amalan baik umat Islam. Dalam sebuah hadis yang diriwayat oleh Imam Ahmad dalam kitabnya, rasulullah s.a.w telah bersabda: umat aku masih lagi dalam keadaan kebaikan selagi mana mereka menyegerakan berbuka dan melewatkan bersahur. Tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa amalan bersahur ini adalah cermin kepada diri sendiri terhadap amalan kebaikan yang kita lakukan seharian sepanjang ramadhan.

Melalui bersahur juga kita berpeluang untuk memperolehi keberkatan dalam kehidupan, ini dijelaskan dalam sebuah hadis yang diriwayat oleh Anas r.a, Rasulullah s.a.w bersabda hendaklah kamu bersahur kerana terdapat di dalamnya keberkatan (riwayat muslim). Justeru pada bulan ramadhan ini seharusnya kita tidak mengabaikan amalan ini agar memperolehi keberkatan dalam setiap amalan harian kita. Sekali pun tiada selera untuk kita menjamah makanan sekurang-kurangnya kita boleh bangun untuk bersahur dengan segelas air pun memadai. Hai ini turut disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Hibban, sesungguhnya Rasulullah s.a.w bersabda, bersahurlah walaupun dengan segelas air. Hadis ini merupakan suatu galakan kepada umat Islam agar tidak sekali-kali melepaskan peluang bersahur ketika kita hendak berpuasa, lebih-lebih lagi di bulan ramadhan yang penuh dengan keberkatan ini. Amalan ini juga turut membezakan cara umat Islam berpuasa dengan ahli kitab berpuasa. Bagi ahli kitab ibadah puasa mereka tidak dituntut agar bersahur, hal ini telah diterangkan oleh dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Amru Bin Ash r.a, sesungguhnya rasulullah s.a.w bersabda yang membezakan cara kita berpuasa dan ahli kitab adalah bersahur (riwayat muslim).

Berdasarkan daripada hadis-hadis yang telah disebutkan, kita dapati walaupun bersahur ini bukanlah suatu yang diwajibkan kepada umat Islam, namun ia sangat dituntut agar dilaksanakan oleh kita. Ini kerana jika kita mengkaji tentang amalan bersahur dari sudut kesihatan, kita akan dapati terdapat banyak kebaikannya kepada umat manusia. Secara fizikalnya jika kita bersahur kita akan dapati diri kita lebih bertenaga di siang hari untuk melakukan pekerjaan harian kita dan kita telah memendekkan masa untuk lapar dan dahaga di siang hari lebih-lebih lagi jika kita melewatkan bersahur.

Malah menurut Kajian oleh Dr Mark Pereira dan rakannya dari Pusat Perubatan Harvard, mendapati mereka yang tidak bersarapan pagi berisiko tinggi untuk menjadi gemuk, sakit jantung dan menghidap kencing manis.
Kajian sama juga menunjukkan, mereka yang sentiasa bersarapan pagi menanggung risiko 50 peratus lebih rendah diserang masalah kesihatan berkaitan lebihan kadar gula dalam darah berbanding yang jarang bersarapan pagi. Hal ini menjadi lebih penting kepada kanak-kanak yang berpuasa. Ini kerana kesan kanak-kanak meninggalkan sarapan pagi adalah lebih negatif disebabkan tubuh mereka yang kecil. Manakala kajian oleh Dr Theresa Nicklas dari Kolej Perubatan Baylor dan rakannya ke atas 700 pelajar di Louisiana, menunjukkan mereka yang tidak bersarapan pagi menanggung risiko dua kali ganda mengalami kekurangan zat besi dalam darah. Keadaan ini akan menyebabkan penyakit anemia (penyakit berkaitan kekurangan hemoglobin dalam darah). Hal ini dilaporkan oleh Kerry Neville dari Chicago Tribune pada 24 September 2001. Justeru tidak hairanlah mengapa kita sangat digalakkan supaya bersahur sebelum menjalani ibadah puasa di siang hari.

Selain itu, bersahur juga mempunyai faedah dalam bentuk kerohanian kepada umat Islam. Apabila kita bersahur, secara tidak langsung sebenarnya kita boleh mendekatkan diri dengan allah s.w.t melalui ibadah-ibadah lain seperti membaca al-Quran, memohon keampunan kepada allah s.w.t, qiamullail dan bermunajat kepada Allah s.w.t serta tidak terlepas untuk memperolehi keberkatan lailatul qadr kerana telah berjaga untuk tujuan yang baik pada malam tersebut. Malah jika kita melewatkan bersahur, kita turut dapat menunaikan solat subuh secara berjemaah bersama keluarga di rumah atau di masjid. Bukankan amalan-amalan ini akan memberi keberkatan dalam kehidupan kita. Justeru, janganlah sesekali kita mengabaikan amalan bersahur yang telah dijanjikan keberkatan di dalamnya.

SELAMAT MENYAMBUT KEMERDEKAAN YANG KE 52