Tuesday, October 16, 2012

HIKMAH IBADAH QURBAN

Para sahabat pernah bertanya Rasulullah SAW : “Ya Rasulullah apakah yang dimaksudkan dengan Udhiyyah?” Rasulullah Saw menjawab: “ Itulah sunnah bapamu Ibrahim.”  ( Hadis riwayat  Ahmad dan Ibn Majah ). Udhiyyah bermaksud ibadah melalui kaedah sembelihan haiwan samada unta, lembu, kambing atau sebagainya yang dilakukan kerana Allah s.w.t bermula selepas daripada menunaikan solat aidiladha sehingga 13 Dzulhijjah setiap tahun.   Dalam konteks masyarakat hari ini Udhiyyah dikenali sebagai ibadah korban.
 Melakukan ibadah korban merupakan suatu kewajipan kepada Rasulullah s.a.w, ini berdasar maksud sebuah hadis ‘ tiga perkara menjadi wajib ke atas aku dan atas kamu adalah sunnah iaitu ibadah korban, solat witir dan dua rakaat solat dhuha ( riwayat al-hakim ). Justeru kebanyakan ulama’ sepakat mengatakan bahawa hukum ibadah korban adalah sunah, namun ia sangatlah dituntut oleh Islam kerana mempunyai hikmah yang hebat dan  ganjaran  yang besar di sisi allah s.w.t. 




Rasulullah s.a.w telah memberi gambaran yang begitu jelas tentang ganjaran yang akan diperolehi kepada sesiapa yang melakukan ibadah korban. Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w  bersabda yang bermaksud: “Tidak ada satu amalan anak Adam di hari-hari Nahar (Hari-hari Aidil Adha ) yang paling Allah sukai selain daripada menumpahkan darah (sembelih), kerana ia (binatang korban) itu akan datang di hari kiamat nanti dengan tanduk dan kukunya dan bulu-bulunya (sebagai saksi ke atas ibadah korban tuannya), dan sesungguhnya darah (binatang korban itu) akan tumpah di sisi Allah di suatu tempat sebelum tumpah ke bumi, oleh itu pilihlah olehmu binatang terbaik (paling menarik) untuk dikorbankan. ” (Hadis riwayat Hakim, Ibnu Majah dan Tirmizi dan dianggap sebagai Hadis Hasan Gharib). Melalui hadis ini, kita dapati bahawa  perkara yang paling disukai oleh Allah s.w.t ketika  hari raya aidil adha adalah melakukan ibadah korban, ianya  sebagai  tanda kecintaan kita kepada allah s.w.t selain daripada mendapat ganjaran di akhirat kelak melalui sembelihan tersebut.
 Jika ditinjau dari sudut sejarah Islam, ibadah korban bukanlah suatu perkara baru yang telah disyariatkan oleh allah s.w.t kepada kita, bahkan ibadah ini telah diperintahkan oleh Allah s.w.t kepada Nabi Adam a.s agar memerintahkan putera mereka supaya mempersembahkan korban mereka. Kisah ini telah diterangkan oleh allah s.w.t dalam firmannya yang bermaksud:
 Dan bacakanlah (Wahai Muhammad) kepada mereka kisah (mengenai) dua orang anak Adam (Habil dan Qabil) Yang berlaku Dengan sebenarnya, Iaitu ketika mereka berdua mempersembahkan satu persembahan korban (untuk mendampingkan diri kepada Allah). lalu diterima korban salah seorang di antaranya (Habil), dan tidak diterima (korban) dari Yang lain (Qabil). berkata (Qabil):" Sesungguhnya Aku akan membunuhmu!". (Habil) menjawab: "Hanyasanya Allah menerima (korban) dari orang-orang Yang bertaqwa; (surah al-maidah: 12). Namun begitu ibadah ini telah disandarkan kepada Nabi Ibrahim a.s.memandangkan kesungguhan baginda untuk melaksanakan apa yang diperintahkan oleh Allah s.wt,  agar baginda mengorbankan anaknya sendiri iaitu Nabi Ismail a.s  sebagai bukti kecintaan baginda terhadap Allah s.w.t. Kesungguhan ini telah diceritakan oleh allah s.w.t dalam maksud firmanNya: setelah kedua-duanya sepenuh hati menjunjung perintah Allah s.wt, dan nabi Ibrahim merebahkan anaknya dengan meletakkan iringan mukanya di atas tompok tanah (kami sifatkan dengan penuh keazaman Nabi Ibrahim melaksanakan perintah kami . Kesungguhan ini telah dibalas oleh Allah s.w.t dengan pengkhabaran gembira apabila Allah s.w.t memerintahkan Nabi Ibrahim mengantikannya dengan haiwan sembelihan seperti mana yang diceritakan dalam al-Quran. Kecintaan baginda yang tinggi terhadap Allah s.w.t melebihan kasih baginda terhadap puteranya melayakkan baginda mendapat gelaran Khalilullah iaitu kekasih Allah s.w.t. Justeru ibadah korban ini merupakan sunnah Nabi Ibrahim yang dituntut agar kita berusaha untuk melaksakannya.





Melalui ibadah korban juga, kita dapat menunjukkan tanda kesyukuran kepada Allah s.w.t terhadap nikmat yang ditelah dilimpahkanNya kepada kita. Daripada sekecil nikmat sehinggalah kepada nikmat yang paling besar iaitu nikmat beriman dengan allah s.w.t. Nikmat yang dikurniakan oleh Allah s.w.t tidak mampu untuk dihitung oleh kita, sepertimana maksud firman Allah s.w.t: Dan ia telah memberi kepada kamu sebahagian dari tiap-tiap apa jua Yang kamu hajati. dan jika kamu menghitung nikmat Allah nescaya lemahlah kamu menentukan bilangannya. (surah Ibrahim:34). Maka untuk menzahirkan keyukuran kepada allah s.w.t antara cara yang telah diperintahkan oleh Allah adalah ibadah korban, allah s.w.t berfirman yang bermaksdu: oleh itu kerjakanlah solat kerana allah semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur ) (surah al-kauthar: 2)


Selain daripada menzahirkan rasa bersyukur kepada allah s.w.t,  dalam konteks kehidupan sesebuah masyarakat islam, melalui ibadah korban ini akan memperlihatkan budaya bergotong royong dalam masyarakat. Ini merupakan budaya murni yang sesuai dengan tuntutan Islam yang menekankan, ``Hendaklah kamu bertolong-tolongan di atas perkara kebajikan dan jangan bertolong-tolongan di atas perkara dosa dan perseteruan (Al-Ma`idah: 2). Muktahir ini kita dapati budaya bergotong royong sudah tidak semeriah suatu masa dahulu, walau bagaimana pun setiap kali tiba musim raya korban kita dapati budaya murni dihidupkan kembali di kawasan kampong-kampung juga di taman-taman perumahan. Melalui aktiviti menyembelih, melapah daging, membungkus daging sehinggalah kepada membahagi-bahagikan daging, sudah pasti akan merapatkan hubungan silaturrahim sesama islam. Melalui aktiviti tersebut kadang kala ia menambah  lagi kenalan dan turun merapatkan hubungan yang jauh, juga mampu menjernihkan kembali hubungan yang keruh.

Jika aktiviti bergotong royong dalam menjayakan ibadah korban  menampakkan hubungan yang baik dari sudut fizikalnya, dari sudut lain pula kita akan dapati bahawa melalui ibadah korban ini, kita telah berkongsi kesenangan dengan cara sembelihan  tersebut diagihkan kepada tiga bahagian iaitu satu bahagian kepada keluarga, satu bahagian  kepada jiran tetangga dan satu bahagian lagi kepada fakir miskin. Pembahagian ini melambangkan perkongsian nikmat yang kita perolehi dari pada allah s.w.t.



Maka amatlah rugi jika kita tidak berusaha untuk melaksanakannya selepas mengetahui akan hikmah dan ganjaran yang bakal diperolehi  disebalik ibadah korban ini syariatkan . Justeru itu, perlulah ditanam  azam dalam diri kita agar setiap tahun kita dapat melaksanakan ibadah korban. Walaupun ianya tidak menjadi kewajipan kepada kita melaksanakan , namun jika kita meninggalkan ibadah tersebut sedangkan kita memiliki kemampuan untuk  menunaikannya  amatlah rugi bagi kita kerana mengambil mudah terhadap ganjaran yang bakal diperolehi kelak.