Monday, November 26, 2007

AMALAN SUNNAH DI PAGI 1 SYAWAL

1 syawal merupakan hari untuk bergembira bagi umat Islam setelah berpuasa selama sebulan di bulan Ramadan. Bagi umat Islam hari tersebut dikenali sebagai ’aidul fitri, menurut pandangan ulama’, hari tersebut dikenali sebagai ’aidul fitri, disebabkan umat Islam kembali melakukan rutin asal mereka seperti sebelum kedatangan bulan ramadan iaitu dihalalkan bagi umat islam untuk bersarapan pagi bagi memulakan kehidupan harian mereka. Pada hari ini juga umat Islam diharamkan untuk berpuasa, malahan dituntut supaya bergembira setelah sebulan berpuasa.

’aidul fiti juga membawa kesan yang besar kepada masyarakat Islam dalam mengeratkan lagi kasih sayang sesama Islam, kembali menyatukan umat Islam jika berlakunya perpecahan sebelum ini dan menjernihkan kembali jika terdapat perhubungan yang keroh selama ini. Pada hari ini juga, golongan miskin akan turut meraikan perayaan ini. Melalui zakat firah yang disumbangkan oleh yang berkemampuan akan disalurkan kepada golongan yang memerlukannya bagi bersama-sama bergembira dalam merayakan aidul fitri yang hanya datang setahun sekali.

Bagi memperolehi keredaan Allah s.w.t dalam kita sama-sama bergembira menyambut aidul firi, Rasulullah s.a.w telah menetapkan beberapa perkara yang perlu dilakukan pada hari tersebut. Sebagai panduan kepada umat Islam, berikut adalah beberapa tuntutan yang perlu kita lakukan bagi mendapat keredaan allah s.w.t sewaktu kita bergembira di aidul fitri.

Di dalam sebuah hadis daripada Muaz r.a, Sesungguhnya rasulullah s.a.w bersabda: Sesiapa yang menghidupkan empat daripada malam-malam ini, dijamin syurga: Malam Taraweh, Malam ’Arafah, Malam an-Nahr dan Malam aidul fitri ( Riwayat Ibn As-syakir). Manakala dalam sebuah hadis lain pula, daripada ’Ubadah r.a daripada Rasulullah s.a.w telah bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang menghidupkan Malam Aidul fitri dan Adha tidak akan dimatikan hatinya pada hari-hari akan dimatikan hati-hati mereka ( Riwayat al-thobrani ). Walaupun kedua-dua hadis ini diragui taraf kesohehannya, tetapi dalam mendekatkan diri kepada Allah s.w.t kita bolehlah beramal dengannya bagi mendapat keredaan Allah s.w.t. seperti melakukan takbir raya, Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : dan hendaklah kemu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kemu mengagungkan Allah s.w.t atas petunjukNya yang diberikan kepada mu, supaya kamu bersyukur ( al-Baqarah:185 ). Jika di perkampungan felda budaya takbir dari rumah ke rumah dilakukan setelah selesai solat insyak sehingga ke larut malam. Amalan seperti ini walaupun tidak dilakukan pada zaman dahulu tetapi amat baik dilakukan zaman kerana menghidupkan malam aidul fitri dengan perkara yang tidak bertentengan dengan syariat. Jadi ada baiknya jika budaya ini dikembangkan ke perumahan-perumahan seluruh malaysia. Disebut dalam sebuah hadis bahawa rasulullah s.a.w bertakbir daripada rumahnya sehingga ke tempat solat. Merujuk kepada hadis ini, amalan bertakbir dilakukan sehingga selesai solat aidil fitri.

Sebelum keluar menunaikan solat di pagi raya di masjid atau di surau, kita disunnatkan mandi bagi menyucikan badan. Amalan ini terlah disebut di dalam sebuah riwayat di dalam kita Al-Muatok, daripada Said Bin Jabir beliau berkata: Sunnah di pagi raya ada tiga iaitu : Berjalan ke tempat sembahyang, mandi di pagi raya, dan makan sebelum keluar bersembahyang. Ulama’ mengatakan bahawa tujuan mandi di pagi raya adalah bertujuan untuk mendapat rahmat Allah s.w.t selain mewujudkan rasa selesa orang orang sekeliling. Imam An-Nawawi mengatakan bahawa solat aidul fitri merupakan salah satu perhimpunan tahunan ummat Islam yang perlu diraikan walaupun tidak diwajibkan kepada umat Islam.

Kita juga disunnatkan supaya menjamah makanan sebelum menunaikan solat aidul fitri, bertepatan dengan sebuah riwayat di dalam soheh bukhari daripada Annas Bin Malik, beliau berkata : sebelum rasulullah s.a.w keluar menuju ke masjid beliau telah makan beberapa biji tamar dalam jumlah yang ganjil. Ini menunjukkan bahawa pada pagi aidul fitri umat Islam diharamkan berpuasa pada hari tersebut, menurut Ibn Hajar tuntutan supaya kita makan sebelum menunaikan solat raya adalah bertujuan untuk mengelakkan kita merasakan bahawa kita masih lagi berada di bulan ramadan, justeru itu kita dituntut supaya mengambiol sedikit makanan sebelum ke surau atau masjid.

Kepada yang belum membayar zakat fitrah, mereka disunatkan berbuat demikian sebelum menunaikan solat raya, walau bagaimanapun kita boleh melakukannya pada bulan ramadan bagi mengelakkan dari terlepas daripada membayar zakat fitrah tersebut.. Daripada ibn Abbas r.a. Sesungguhnya rasulullah s.a.w mewajibkan kepada umat Islam membayar zakat fitrah, bagi menyucikan diri daripada perkara yang sia-sia, serta memberi makan kepada fakir miskin. Barang sesiapa yang membayar zakat sebelum solat, maka zakatnya diterima Allah s.w.t. barang sesiapa yang membayar selepas solat, maka ia menjadi sedekah( Abu Daud ).

Ketika meraikan aidul fitri kita dituntut agar memakai pakaian-pakaian yang cantik-cantik dan wangian-wangian tetapi tidaklah sehingga melibatkan berlakunya pembaziran. Di sebut dalam sebuah riwayat, sesungguhnya rasulullah s.a.w memakai pakaian cantik ketika menyambut syawa tidak seperti pakaian pada hari kebiasaanya, begitu juga dengan para sahabat, rasulullah s.a.w menyuruh mereka memakai pakaian cantik pada hari tersebut lain pada hari-hari biasa. Bagi kaum wanita juga disunnatkan memakai pakaian yang cantik tetapi tidak sehingga menimbulkan fitnah, dan tidak memakai wangian yang keterlaluan. Selain itu, pada hari ini juga kita hendaklah bergembira dengan bermain alat bunyia yang diharuskan, terdapat sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Iyad Al-Asya’ari sesungguhnya ketika itu beliau menyambut perayaan di Al-Ambar, beliau tidak melihat penduduk disitu bermain alat bunyian ( yang diharuskan ), maka beliau berkata : aku tidak melihat kamu memukul alat bunyian seperti mana yang dilakukan di zaman rasulullah s.a.w.

Ketika pulang dari menunaikan solat sunat di pagi raya, kita dituntut agar mengikut jalan yang berlainan. Ini disebabkan jalan tersebut akan menjadi saksi kepada kita di hari kiamat nanti di atas kebaikan yang kita lakukan di dunia ini. Pada hari ini juga kita dituntut supaya banyak berziarah rumah saudara mara, sahabat handai, mengucap salam, memperbanyakkan berdoa kebaikan kepada sesiapa yang kita jumpa, ini semua merupayakan syiar allah s.w.t yang akan menigkatkan ketakwaan di dalam jiwa kita kelak.

Ini merupakan antara tuntutan yang boleh dijadikan panduan kepada kita agar menjadikan perayaan kita lebih bermakna. Sesungguhnya melakukan setiap perkara yang baik itu sudah pasti akan mendekatkan kita dengan Allah s.w.t. justeru itu bersempena aidil fitri yang bakal menjelma nanti, sama-sama kita mengeratkan lagi silaturahim yang sudah sedia terjalin sesama kita, semoga memperkukuhkan lagi persaudaraan sesama islam, juga tidak kita mendoakan kesejahteraan kepada saudara seislam kita di tempat-tempat yang lain.