Wednesday, May 28, 2008

SUMBER REZEKI JANGAN DIKEJI

Dari sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah r.a yang bermaksud : Rasulullah s.a.w tidak pernah mencela makanan satu kalipun. Apabila baginda menyukai sesuatu makanan baginda memakannya dan kalau tidak menyukainya baginda meninggalkannya ( Riwayat Muslim ).
Hadis di atas, jika ditafsir dari sudut adab makan, apabila kita menyukai sebarang bentuk makanan yang halal harus kita mengambilnya, tetapi kita dilarang mencemuh atau mencaci makanan yang kita tidak menyukainya seperti mengatakan rasa entah ape-ape, busuk, tak sedap dan sebagainya. Hadis ini mengajar kaedah terbaik apabila kita tidak menyukai sesuatu makanan iaitu dengan cara meninggalkannya. Larangan itu bertujuan memelihara kemuliaan makanan tersebut supaya tidak menjadi dosa kepada kita apabila kita mencemuhnya. Keadaan ini berlaku disebabkan kita mempunyai pilihan terhadap makanan, justeru kita boleh makan, makanan yang kita gemari dan meninggalkan makanan yang tidak digemari oleh kita dengan cara meniggalkannya sahaja, tetapi jika kita tiada pilihan lain kita tetap memerlukan makanan untuk terus hidup, justeru itu janganlah kita mencemuh makanan tidak digemari kerana dikhuatiri menjadi ujian kita suatu hari nanti, makan yang dibenci tadi menjadi santapan utama kita.
Jika dilihat dari sudut yang lebih luas lagi, hadis tersebut boleh dikaitkan punca pendapatan yang menjadi nadi utama dalam melaksanakan pembelanjaan kita. Kita dapati terdapat golongan manusia tidak suka akan kerjaya yang dilakukan sekarang, yang menyumbang kepada pembelanjaannya seharian. Bukan sekadar tidak suka, malahan makian, cacian, kejian dan lain-lain perkara nagetif yang dilemparkan terdapat sumber pendapatan tersebut tetapi tetap membelanjakan pendapatan tersebut di saat memperolehinya. Keadaan ini hanya akan menghilangkan keberkatan dalam rezeki yang kita perolehi, bukankah Allah s.w.t telah menemplak kaum musyrikin dengan pertanyaan: Siapakah yang memberi rezeki kepada kamu ? lalu mereka menjawab Allah s.w.t. Oleh itu hendaklah kamu bertakwa ( Yunus : 31 ). Namun mereka tetap mensyirikkan Allah s.w.t. Adakah kita seperti mereka, pasti jawapannya tidak, justeru hendaklah kita bersyukur kepada Allah s.w.t. kerana Allah s.w.t yang telah menetapkan rezeki kita dan Dia jua yang menguji kita dengan kesempitan, sepertimana firmanNya yang bermaksud : Dan sebaliknya apabila dia diuji oleh Tuhannya, dengan disempitkan rezekinya, dia tidak bersabar bahkan dia resah gelisahserta merepek dengan katanya: Tuhanku telah menghinakan daku! Jangan demikian, sebenarnya kata-kata kamu itu salah ( Al-Fajr: 16 ). Yang sebenarnya Allah s.w.t hanya ingin menguji keimanan manusia.
Sesungguhnya sesiapa yang bersabar pasti akan mendapat kejayaan kelak. Bersabarlah terhadap ujian Allah s.w.t. Tingkatkan kesyukuran agar Allah s.w.t menambah rezeki kita sepertimana firman Allah s.w.t yang bermaksud : Dan andai kamu bersyukur pasti akan ditambah kenikmatan kepada kamu.

No comments: