Wednesday, June 11, 2008

BARU TERASA

Pertama kali mengisi minyak, biasa sekali isi penuh tangki kereta wira dalam 43 liter dalam RM 80, tapi kali nih macam tak percaya je RM 115. Nak buat macamnana dah nasib badan, kepada rakyat Malaysia bersabar je la..kalau boleh naik basikal, naik je la. Dah akhir zaman macam-macam boleh jadi bersedia je la. Kalau tak jadi hari nih, mungkin jadi hari esok, kalau tak esok lusa, yang pasti tetap akan terjadi cuma masa dan tempat je belum tahu.

Tuesday, June 10, 2008

ADA HIKMAH BUKAN SIA-SIA MANUSIA DIUJI

Kenaikkan harga barang dan minyak bukanlah suatu perkara yang dinantikan oleh rakyat Malaysia, malah ia merupakan suatu ujian yang amat besar perlu diharungi oleh rakyat Malaysia dalam menempuhii kehidupan harian. Mungkin bagi golongan yang berharta mereka tidak sangat merasai penderitaan ini,namun bagi mereka yang bekerja sebagai penjawat awam atau swasta yang menerima imbuhan atau gaji di setiap hujung bulan, kenaikan harga barang semestinya memberi kesan yang sangat besar dalam kehidupan mereka.


Sebagai seorang yang beragama Islam, kita hendaklah reda dengan ketentuan yang telah ditakdirkan oleh Allah s.w.t kepada kita, ini kerana setiap perkara yang berlaku telah ditulis oleh Allah s.w.t di dalam ketentuannya. Perkara ini telah dijelaskan oleh Allah s.w.t melalui firmannya yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ( Surah Al-Hadid:22 ). Manakala di dalam surah Al-Thoghabun: 22 pula Allah s.w.t berfirman yang bermaksud : Tidak ada kesusahan (atau bala bencana) yang menimpa (seseorang) melainkan dengan izin Allah dan sesiapa yang beriman kepada Allah, Allah akan memimpin hatinya (untuk menerima apa yang telah berlaku itu dengan tenang dan sabar) dan (ingatlah), Allah Maha Mengetahui akan tiap-tiap sesuatu. Kedua-dua ayat ini, menunjukkan bahawa setiap perkara yang terjadi kepada kita adalah ketentuan Allah s.w.t, maka hendaklah kita menerimanya dengan tenang walaupun perit untuk kita hadapi kerana penerimaan tersebut adalah bukti bahawa kita masih lagi memiliki keimanan terhadap Allah s.w.t dan masih lagi diberi hadayah oleh Allah s.w.t. Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Mas’ud, Rasulullah s.a.w
telah bersabda : Terdapat tiga golongan yang akan mendapat keuntungan dunia dan akhirat. Pertama golongan yang reda dengan takdir qada’ dan qadar, kedua bersabar di atas setiap ujian yang dturunkan kepadanya, dan ketiga berdoa di waktu senang. Ketika ini untuk menjadikan kita orang yang untung di dunia dan di akhirat hendaklah kita menerima dengan reda yang telah terjadi dan bersabar untuk menghadapi perkara tersebut di samping terus berikhtiar untuk menyelesaikan masalah kenaikkan harga yang sedang berlaku. Mungkin keadaan ini adalah ujian sebenar kepada kita untuk membuktikan memang kita benar-benar beriman dengan Allah s.w.t. sepertiman
mafhum sebuah hadis yang bermaksud : Seseorang itu masih lagi belum dikatakan beriman selagi mana tidak diuji dengan kehilangan hartanya atau ditimpa musibah, jika Allah s.w.t berkehendak kebaikan akan dia pasti diuji dengan ujian, lalu ia bersabar. Jika dilihat dari sudut yang negatif pelbagai prasangka buruk akan timbul dalam diri kita terhadap kenaikan harga barang dan minyak baru-baru ini. Apa yang pasti tunding menunding untuk menyalahkan orang lain pasti akan terjadi. Bagi menenangkan jiwa, kita hendaklah melihat perkara ini dari sudut positif terhadap perkara yang telah terjadi. Memperkatakan perihal kenaikan harga makanan di negara ini, mungkin telah sampai masa kepada kita untuk mengamalkan apa yang telah disarankan oleh baginda Rasulullah
s.a.w terdahulu iaitu makan ketika berasa lapar dan berhenti sebelum kenyang. Di dalam hadis juga Rasulullah s.a.w bersabda : Makanan untuk 2 orang mencukupi untuk 3 orang, makanan 3 orang mencukupi untuk 4 orang ( muttafaq alaih ). Tahukah kita berapa ramai rakyat Malaysia mempunyai masalah melibatkan kegemukan atau obesiti yang boleh mengundang pelbagai penyakit lain seperti darah tinggi, kecing mansi, strok dan sebagainya. Kebanyakan penyakit adalah berpunca daripada disiplin pemakanan yang tidak teratur. Hadis di atas menerangkan konsep pemakan yang sebenar dan bersederhana. Kita mungkin tidak boleh melakukan secara rela konsep tersebut sebelum ini, namun kita mungkin terpaksa melakukan amalan tersebut apabila berlakunya kenaikan harga barang seperti yang sedang berlaku kini. Semoga dengan perubahan cara pemakanan tersebut mampu memberi lebih banyak kesan yang baik terhadap kesihatan diri kita khususnya. Semoga dengan cara perlahan-lahan kita mengamalkan amalan tersebut, maka Allah s.w.t akan mendatangkan keikhlasan dalam jiwa kita. Selain daripada itu, kenaikan harga minyak yang berlaku mungkin akan menyebabkan keakraban dan hubungan silaturahim makin terjalin di antara sahabat andai dan jiran tetangga dan teman sekerja. Jika dahulu, kita tinggal di taman yang sama, namun pergi ke tempat kerja dengan kenderaan yang berasingan, kini dengan terjadinya kenaikan harga minyak dapatlah melakukan rancangan pergi bekerja bersama-sama dengan cara giliran menggunakan kenderaan. Begitu juga dengan sebahagian rakyat Malaysia yang rumah mereka hampir dengan tempat bekerja tidak perlu lagi menaiki kenderaan sebaliknya boleh belakukan aktiviti berjalan kaki setiap hari ataupun berbasikal. Semua ini pastinya dapat menjimatkan minyak walaupun secara terpaksa. Keadaan yang terjadi pada hari ini, seharusnya dijadikan iktibar penting kepada kita dengan cara melakukan muhasabah diri masing-masing. Ini kerana sebahagian musibah atau ujian yang terjadi kepada kita adalah disebabkan kita sendiri. Hal ini diterangkan oleh Allah s.w.t di dalam firmannya yang bermaksud : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu ( as-Syura:30 ). Mungkin diakibatkan oleh dosa-dosa kita telah kita lakukan, maka Allah s.w.t menurunkan ujian seperti ini, maka marilah sama-sama kita muhasabah diri sebelum ingin menyalahkan orang yang lain.

Wednesday, June 4, 2008

HARGA MINYAK NAIK

Siapa sangka harga minyak naik begitu cepat, pelbagai berita tentang kenaikan minyak telah tersebar sebelum ini, ada yang kata awal tahun, ada yang mengatakan pada ogos, realitinya minyak telah naik pada tengah malam 4 june 2008, detik 5 june 2008 dan boleh juga dikatakan selepas berlakunya pilihan raya. Jika kita keluar ke bandar pada malam semalam maka kita akan dapati berbaris-baris kereta yang cuba mendapatkan minyak dengan harga RM 1.92 buat kali terakhirnya. Kini harga minyak telah naik sehingga RM 2.70, kenaikan yang paling tinggi sejak tahun 2000 . Mahal atau tidak, mahu atau tidak rakyat terpaksa menelan segala ketetapan yang telah ditentukan oleh kerajaan yang mengatakan bahawa kenaikan ini berpunca daripada kenaikan harga minyak global. Selepas ini kita pun tidak tahu apa yang akan naik lagi, bermula dengan kenaikan harga barang, petrol, desel dan elektrik. Saya bukan seorang yang pakar dalam bidang ekonomi, tidak mengiakan dan tidak pula menidakkan kenaikan tersebut, apa yang termampun hanyalah berserah kepada Allah s.w.t. Yang pastinya kenaikan tersebut memberi kesan yang amat ketara dalam pembelanjaan harian kita.
Kenaikkan harga yang telah berlaku di Malaysia merupakan suatu ujian yang sangat besar kepada seluruh masyarakat yang berpendapatan sederhana. Tidak dapat hendak dibayangkan bagaimana ada yang berfikiran dengan mengatakan ia menguntungkan rakyat, yang pasti hanya memungkinkan keuntungan kepada pemimpin rakyat sahaja.
Untuk menenangkan jiwa ini, haruslah diingat bahawa setiap ujian yang dihadapi oleh manusia itu sebenarnya telah ditetapkan oleh Allah s.w.t sejak mula kita diciptakan. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : Tidak ada sesuatu kesusahan (atau bala bencana) yang ditimpakan di bumi dan tidak juga yang menimpa diri kamu, melainkan telah sedia ada di dalam Kitab (pengetahuan Kami) sebelum Kami menjadikannya; sesungguhnya mengadakan yang demikian itu adalah mudah bagi Allah ( al-Hadid:22 ). Justeru itu, hendaklah kita sebagai umat Islam menerima berita tersebut sebagai suatu ujian bagi meninggkatkan lagi keimanan kita kepada Allah s.w.t. serta menjadi golongan yang mencapai kebahagian dunia dan akhirat, sepertimana yang disebut dalam sebuah hadis daripada Ibn Masud yang bermaksud : tiga golongan yang mencapai kebahagian dunia dan akhirat : Redo dengan ketentuan Allah s.w.t, bersabar atas segala musibah dan ujian serta berdoa ketika senang.
Selain daripada itu, kita juga harus ingat bahawa setiap ujian yang telah ditentukan oleh Allah s.w.t itu adakalanya perpunca daripada sikap manusia itu sendiri yang mungkin tamak haloba, mementingkan diri sendiri, suka membazir, benci golongan ulama' dan segala kemungkaran yang berpunca daripada tangan dan kuasa manusia itu sendiri. Hal ini juga telah disebut oleh Allah s.w.t yang bermaksud : Dan apa jua yang menimpa kamu dari sesuatu kesusahan (atau bala bencana), maka ia adalah disebabkan apa yang kamu lakukan (dari perbuatan-perbuatan yang salah dan berdosa) dan (dalam pada itu) Allah memaafkan sebahagian besar dari dosa-dosa kamu ( as-Syura:30 ). Angaplah kenaikan harga minyak kali ini sebagai ujian untuk menigkatkan darjat kita di sisi Allah s.w.t...Bersabarlah, sesungguhnya bersabar itu suatu yang sangat indah ( di sisi Allah s.w.t ) ( Al-Ma'arij:5 ).

Tuesday, June 3, 2008

IBADAH AQIQAH

Pengertian Ibadah Aqiqah

Aqiqah العقيقة adalah perkataan yang berasal daripada Bahasa Arab yang terbina dari perkataan عقّ bermaksud potong. Apa yang dimaksudkan potong di sini adalah berkaitan dengan tradisi memotong atau mengunting atau mencukur rambut bayi selepas dilahirkan. Aqiqah daripada pandangan syarak pula bermaksud sembelihan atau apa-apa sembelihan yang dilakukan bertujuan untuk meraikan kelahiran seorang anak, maka haiwan yang disembelih itu dinamakan Aqiqah.

Hokum Melakukan Ibadah Aqiqah

Melakukan ibadah aqiqah adalah sunnat yang dituntut kepada wali anak tersebut. Ibadah ini telah dilakukan oleh Rasulullah s.a.w dan para sohabat yang lain. Terdapat riwayat daripada Sulaiman Bin ‘Amir al-Dhabi R.A berkata : aku telah dengar Rasulullah s.a.w bersabda : Bersama setiap kanak-kanak ibadah aqiqah, Maka ia akan mengelakkan daripada melakukan tumpah darah dan dijauhi penyakit ( Riwayat Bukhari: 5154 ).

Tidak terdapat dalil yang mewajibkan kepada setiap wali untuk melakukannya melainkan ianya adalah ibadah sunat sahaja, ini berdasarkan sebuah hadis daripada Abi Daud yang bermaksud : Sesiapa yang memperolehi anak, maka ia suka untuk melakukan ibadah aqiqah maka lakukanlah. ( Riwayat Abi Daud: 2842 ). Berdasarkan hadis ini, jelas kepada kita menunjukkan bahawa ibadah aqiqah adalah ibadah sunnat jika wali tersebut berkemampuan untuk melakukannya.

Waktu Melakukan Ibadah Aqiqah

Ibadah aqiqah boleh dilakukan sejurus selepas bayi tersebut keluar daripada perut ibu. Walau bagaimana pun jika sembelihan tersebut dilakukan ketika bayi masih berada di alam kandungan, sembelihan tersebut tidaklah dinamakan aqiqah mungkin hanya menjadi sedekah sahaja. Ibadah aqiqah boleh dilakukan kepada setiap anak sehingga mencapai umur baligh.

Setelah baligh wali atau bapa tidak lagi disunatkan untuk melakukan ibadah tersebut. Adalah lebih baik jika anak tersebut melakukan sendiri bagi pihak dirinya jika ia mengetahui bahawa dirinya masih belum melakukan aqiqah oleh penjaganya.

Terdapat waktu yang disunnatkan untuk melakukan ibadah aqiqah terhadap setiap anak iaitu hari ke tujuh selepas kelahirannya. Hal ini disebut dalam sebuah hadis oleh Abu Daud , daripada Samirah R.A berkata: Rasulullah s.a.w telah berkata : Kanak-kanak akan membesar sebagai seorang yang salih dengan melakukan sembelihan aqiqah atasnya , maka sembelihlah pada hati ketujuh selepas kelahirannya, serta menamakan dan mencukurnya ( Riwayat Abu Daud:1522 ).

Hikmah Melakukan Ibadah Aqiqah

Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana mengurnikan nikmat yang tidak terhingga dan melapangkan daripada penderitaan dengan menganugerahkan zuriat yang pasti menjadi idaman setiap pasangan hidup di dunia ini. Dengan melakukan ibadah aqiqah sebagai tanda kesyukuran , insa’allah akan ditambah nikmat oleh Allah s.w.t. sepertimana firman allah s.w.t yang bermaksud : Dan jika engkau bersyukur kepadaKu nescaya Aku akan tambah nikmat kepada kamu ( Surah Ibrahim : 7 ).
Kaedah yang penuh beradab untuk memaklumkan kepada jiran tetangga atau masyarakat setempat tentang kelahiran anak dan nasab baru dalam sesebuah keluarga. Justeru dengan melakukan ibadah aqiqah dapatlah ia disampaikan melalui cara yang terbaik. Kaedah ini juga mampu untuk megelakkan kata-kata yang tidak sedap didengar dilontarkan kepada sesebuah keluarga
Melatih diri mejadi seorang yang pemurah hati. Sifat kedekut adalah suatu sifat yang akan menyebabkan seseorang itu akan gagal dalam kehidupan kerana dipengaruhi oleh nafsunya, sebaliknya manusia yang pemurah adalah golongan yang berjaya di sisi Allah s.w.t, sepertimana firmannya yang bermaksud : Dan barang sesiapa yang dirinya dipelihara daripada sifat kedekut, maka mereka adalah orang-orang yang berjaya (Al-Hasyr : 9 ).
Mengeratkan hubungan silaturahim antara keluarga, saudara mara, sahabat handai dan masyarakat setempat. Apabila dapat berkumpul bersama-sama di majis aqiqah maka ini memberi peluang untuk bertanya khabar dan mengetahui perkembangan terkini tentang keluarga dan sebagainya.

Haiwan Sembelihan Untuk Aqiqah

Menurut sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Al-Tarmizi, daripada Ali R.A berkata : Menyembelih Rasulullah s.a.w bagi Hussin seekor kibas ( Riwayat Al-Tarmizi ). Hadis ini menunjukkan bahawa memadai dengan menyembelih seekor kibas atau kambing atau seumpama dengannya untuk ibadah aqiqah. Namun begitu terdapat hadis yang menggalakkan supaya anak lelaki sunnat menyembelih 2 ekor kambing, manakala anak perempuan cukup sekadar seekor sahaja. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Imam Tarmizi daripada Aisyah R.A, sesungguhnya Rasulullah s.a.w telah memerintahkan supaya menyembelih 2 ekor kibas yang sama saiz bagi lelaki dan seekor bagi perempuan.( Riwayat Tarmizi : 1513 ).