Wednesday, July 11, 2007

Membelanjakan Harta Wakaf
Wakaf adalah salah satu ibadah yang dituntut oleh agama Islam bagi meningkatkan lagi keimanan orang mukmin. Wakaf bermaksud mengeluarkan harta yang bermanafaat bagi dirinya untuk kegunaan orang lain serta tidak boleh dipindah milik, dijual ataupun diwarisi kepada sesiapa pun melainkan institusi yang mengurus wakaf tersebut. Hal ini disebut dalam satu nas yang berkaitan dengan wakaf Umar bin khatab yang bemaksud : harta wakaf tersebut tidak boleh dijual, diberi kepada orang lain atau diwarisi ( riwayat bukhari) . Di dalam al-quran allah s.w.t telah berfirman dalam hal yang berkaitan dengan wakaf melalui firmannya yang bermaksud : Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya(al-imran:92). Manakala di dalam hadis pula rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : apabila mati anak adam terputus segala amalannya kecuali tiga perkara iaitu sedekah jariah, ilmu yang dimanfaatkan serta doa dari seorang anak yang soleh (riwayat muslim) melalui hadis ini ulama’ berpendapat bahawa sedekah jariah membawa maksud wakaf harta yang disayangi.
Sesungguhnya amalan wakaf mengandungi hikmah yang tersendiri. Oleh yang demikian islam amat mengalakkan umatnya yang berkemampuan untuk melakukan ibadah tersebut. Ini kerana ibadah wakaf mampu menghampirkan diri kepada Allah s.w.t melalui sumbangan harta kita ke jalan Allah s.w.t. Selain daripada itu amalan wakaf juga menzahirkan kecintaan terhadap pengabdian kita kepada Allah s.w.t. kecintaan tersebut tidak hanya sekadar menjadi sebutah, malahan dilaksanakan dengan perbuatan mewakafkan harta yang bermanfaat kepada kita untuk kegunaan orang awam. Amalan mewakafkan harta juga menyebabkan pahala yang berterusan akan diganjarkan kepada pewakaf. Pahala tersebut tidak akan terputus walaupun pewakaf tersebut telah meninggal dunia. Hal ini telah disebut dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh abu hurairah, bahawa tidak akan terputusa amalan bagai mereka yang melakukan sedekah jariah iaitu wakaf. Amalan wakaf juga mampu untuk merealisasikan banyak perkara yang boleh membawa kepada kemaslahatan umat Islam. Harta-harta yang diwakafkan jika ditadbir dengan baik sudah tentu mampu untuk menjana ekonomi orang Islam, serta memenuhi hajat keperluan membina keperluan umat islam seperti masjid, sekolah kubur dan sebagainya. Melalui manfaat harta wakaf kemiskinan dapat di atasi serta membantu anak-anak yatim dan ibnul sabil di sudut kewangan.
Harta wakaf tidak hanya bertujuan untuk membina masjid atau menyediakan tapak perkuburan semata-mata. Malahan jika terdapat golongan yang mewakafkan hartanya bertujuan untuk mempercantikkan masjid dengan membina ukiran atau mempercantikan dengan hiasan yang membolehkan ibadah solat seserong itu terganggu, menurut ulama’ wakaf tersebut tidak sah. Begitu juga dengan membina kubur-kubur dengan batu-batu yang berukir bertujuan untuk meperingatinya juga tidak sah ini. Namun begitu jika tanah diwakafkan untuk menjadi tanah perkuburan ia menjadi suatu tuntutan jika negara tersebut masih mempunyai tanah yang luas, sebaliknya jika mempunyai tanah yang terhad maka kaedah pengkebumian lain perlu dilakukan seperti yang dilakukan di Mekah. Ia bukan bertujuan untuk menghina kematian tersebut tetapi jika tanah tersebut sesuai untuk dimanfaatkan kepada ekonomi umat islam yang masih hidup, ini adalah cara yang paling baik untuk memartabatkan umat islam.
Di Malaysia kerajaan telah memperuntukkan sebanyak RM250 juta bagi membangunkan tanah wakaf di seluruh negara seluas 36,000 hektar. Dengan keluasan tersebut, jika ditadbir dan diurus dengan betul maka pelbagai masalah yang berkaitan dengan ekonomi umat Islam khususnya yang melibatkan kemiskinan pasti dapat diatasi dengan mudah. Di dalam sebuah hadis yang berkaitan dengan tuntutan memanfaatkan harta wakaf yang diriwayatkan oleh Ibn Umar yang bermaksud : Umar telah mendapat sebidang tanah di Khaibar kemudian dia datang menghadap Nabi s.a.w untuk minta tunjuk ajar tentang cara pengelolaannya, katanya: Wahai Rasulullah! Saya telah mendapat sebidang tanah di Khaibar. Belum pernah saya memperolehi harta yang lebih baik daripada ini. Apakah cadangan kamu mengenai perkara ini? Baginda bersabda: Jika kamu suka, jaga tanah itu dan kamu sedekahkan manfaatnya. Lalu Umar mengeluarkan sedekah hasil tanah itu dengan syarat tanahnya tidak boleh dijual dan dibeli serta diwarisi atau dihadiahkan. Umar mengeluarkan sedekah hasilnya kepada fakir miskin, kaum kerabat dan untuk memerdekakan hamba juga untuk orang yang berjihad di jalan Allah serta untuk bekal orang yang sedang dalam perjalanan dan menjadi hidangan untuk tetamu. Orang yang mengurusnya boleh makan sebahagian hasilnya dengan cara yang baik dan boleh memberi makan kepada temannya dengan sekadarnya
Melalui hadis ini, jelas menunjukkan kepada kita bahawa harta-harta wakaf yang ada pada hari ini perlulah dimanfaatkan dengan cara yang terbaik. Tidak terhad kepada membina masjid atau kubur sahaja. Sebaliknya jika terdapat keperluan yang lebih penting maka keperluan tersebut hendaklah di dahulukan tanpa menepikan kepentingan agama terlebih dahulu. sejak dari zaman rasulullah s.a.w dahulu, kebanyakkan golongan kaya telah melakukan ibadah wakaf ini, seperti yang dilakukan oleh Abu Talhah setelah mendengar firman Allah s.w.t yang bermaksud : Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi(al-Imran:92). Setelah mendengar ayat tersebut Abu Talhah bertemu rasulullah s.a.w untuk menceritakan tentang keinginannya untuk bersedekah, lalu Rasulullah s.a.w menyuruhnya mensedekahkan sebuah kebun yang bebuah dan mempunyai punca air untuk dimanfaatkan oleh orang ramai (riwayat bukhari).

Melalui peruntukan yang diberikan oleh kerajaan kepada institusi wakaf di malaysia, maka bangunkanlah bangunan yang boleh memberi manfaat kepada semua penduduk malaysia, disamping menyediakan kepeluan-keperluan asas umat islam seperti sekolah, masjid dan sebagainya. Hasil daripada pembangunan tanah tersebut sudah pasti dapat membantu menjana ekonomi golongan miskin dan membantu pendidikan anak-anak yatim serta golonngan yang tidak bernasib baik di malaysia serta membantu golongan ibnu sabil. Selain mendapat ganjaran di akhirat, amalan mewakaf juga memartabatkan golongan umat islam di dunia ini. Maka sama-samalah kita menyumbangkan ringit malaysia kita dengan membeli saham-saham wakaf yang terdapai di negeri masing-masing bagi membantu ekonomi umat islam serta menjadi saham kita di akhirat kelak.

Raikan Kenaikan Gaji Dengan Kesyukuran

Alhamdulillah adalah kalimat keramat yang sepatutnya terpacul daripada mulut penjawat awam yang beragama Islam apabila diumumkan oleh perdana menteri pada 21 Mei 2007. Setelah menunggu hampir 15 tahun untuk semakan dan penyelarasan semula gaji penjawat awam maka impian tersebut telah dapat capai oleh semua penjawat awam di malaysia pada tahun ini.

Di dalam Islam, pembayaran gaji atau asas pembayaran ganjaran merupakan suatu kewajipan majikan terhadap pekerja-pekerjanya. Allah s.w.t telah berfirman yang bermaksud : Dan bahawa sesungguhnya tidak ada balasan bagi seseorang melainkan balasan apa yang diusahakannya” ( Al-Najm: 39 ). Ayat ini menjelaskan kepada kita bahawa setiap usaha yang dilakukan oleh seseorang , maka dia berhak untuk mendapatkan balasan yang setimpal terhadap apa yang diusahakan. Dalam sebuah hadis rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Berilah upah kepeada pekerja sebelum kering peluhnya. Manakala sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar r.a yang bermaksud : Sesungguhnya Rasulullah s.a.w pernah memberi pekerjaan kepada penduduk Khaibar dengan upah separuh daripada hasil yang dikerjakan seperti buah-buahan atau tanaman. Hadis ini bertepatan dengan tidakan kerajaan menaikkan gaji di kalangan penjawat awam khususnya yang berpendapatan rendah untuk meneruskan kehidupan dengan lebih selese sejajar dengan perubahan yang berlaku pada masa kini. Selain daripada itu, Islam juga menyarankan supaya diberitahu kadar kenaikan yang bakal mereka perolehi. Sehubungan dengan itu, rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Sesiapa yang berurusan dengan seseorang untuk melaksanakan tugas atau pekerjaan maka hendaklah ia memaklumkan kadar upah dan bayaran.

Di dalam permasalahan pembayaran gaji Saidini Ali pernah berpesan yang bermaksud : Berilah kepada mereka gaji yang secukupnya kerana dengan gaji yang cukup itu mereka dapat meningkatkan prestasi diri mereka dan boleh mengelakkan daripada mengambil harta kerajaan atau rasuah. Ini juga boleh menjadikan alasan ketika mana arahanmu tidak dipatuhi. Pesanan daripada Saidina Ali ini berkaitan dengan kepentingan terhadap pemberian gaji yang mencukupi kepada pekerja-pekerja. Ini kerana kekurangan ganjaran daripada yang sepatutnya boleh menyebabkan berlakunya gejala-gejala yang negetif seperti rasuah, pecah amanah dan sebagainya. Justeru itu besar harapan kepada kakitangan awam, dengan penyelaras semula gaji penjawat awam akan meningkatkan lagi prestasi kerja mereka.

Selain dari mengucapkan syukur kepada allah s.w.t dan berterima kasih kepada kerajaan, penjawat awam harus menyedari bahawa setiap jawatan disandang mereka adalah amanah dan tanggungjawab bagi seorang pekerja. Ini merujuk kepada firman Allah s.w.t yang bermaksud : Sesungguhnya Allah s.w.t menyuruh kamu agar melaksanakan amanah kepada yang empunya dan apabila kamu menghukum antara manusia, maka hendaklah kamu menghukum secara adil. (al-Nisa’:58). Amanah yang dimaksud di dalam maksdu firman ini adalah berkait rapat dengan tugas-tugas yang disandang oleh setiap pekerja di mana-mana organisasi. Jika kita tidak amanah terhadap apa yang dipertanggungjawab kepada kita , maka ketahuilah bahawa rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : terdapat tiga tanda-tanda sifat munafik iaitu apabila diamanahkan sesuatu dia mengkhianatinya ).

Sesungguhnya sebagai tanda kita bersyukur kepada Allah s.w.t dengan kenaikan yang diperolehi, maka sama-sama kita mempebaharui setiap kerja kita dengan menjadikannya sebagai ibadah kepada Allah s.w.t. Apabila setiap pekerjaan itu dilakukan sebagai suatu ibadah, maka kita akan lakukan perkata tersebut dengan penuh dedikasi dan amanah serta mengharap keredaan Allah s.w.t . Sebagai tanda kita berterima kasih kepada kerajaan pula kita lakukanlah kerja dengan tanpa ada penagguhan lagi. Antara punca kelewatan sesuatu urusan adalah disebabkan sikap yang suka menagguh-nagguh kerja. Sedangkan rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Apabila mampu ketika senja janganlah kamu menangguh sehingga subuh, apabila kamu mampu melakukan ketika subuh, janganlah kamu menangguhnya sehingga petang, pergunakanlah kesihatan kamu sebelum datang sakit, kehidupan kamu sebelum datangnya kematian ( Riwayat Bukhari). Hadis ini merujuk kepada gesaan dalam menyegerakan sesuatu pekerjaan tanpa ada penagguhan. Kerja yang sepatutnya boleh disiapkan dalam masa 1 hari tetapi menjadi sehingga seminggu , begitulah sebaliknya yang berlaku ketika ini.
Semoga dengan kenaikan ini akan meningkatkan urusan pentadbiran kerajaan terhadap rakyat-rakyat, dan ingatlah saidina Ali juga telah berpesan : jika kamu tidak melakukan apa yang sepatutnya kamu lakukan sebagai penjawat awam bermakna engkau telah melakukan kezaliman. Sesiapa yang menzalimi hamba Allah s.w.t nescaya Allah s.w.t menjadi lawannya di akhirat. Sesiapa yang menjadikan Allah s.w.t lawannya maka tiada ruang lagi baginya untuk berhujah dan keadaan ini berterusan sehingga ia bertaubat.
Pengaruh Israiliyyat Dalam Penulisan Di Malaysia

Sejak kebelakangan ini, ramai penulis yang menulis tentang kisah para nabi telah muncul di dalam masyarakat yang sedang diterapkan dengan nilai murni Islam Hadhari. Terdapat penulis yang diketahui asal usul pendidikannya sehinggalah kepada penulis yang tidak diketahui dari mana datangnya asal usul latar belakang pendidikan mereka. Sesetengah penulis hanyalah bermodalkan maklumat yang dikutip dari apa sahaja yang sampai kepada mereka. Ibarat kata membujur lalu melintang patah. Hasil daripada maklumat yang mereka memperolehi dan dengan kemahiran menulis yang mereka ada, maka mereka mula mencuba untuk menulis buku-buku berkaitan dengan kisah para nabi dan rasul.

Tulisan-tulisan mereka telah menjadi bahan bacaan kepada seluruh masyarakat pelbagai peringkat. Sungguhpun kisah-kisah yang ditulis adalah berunsur nasihat atau pembawakan kisah yang baik, tetapi bahayanya kepada kita adalah isi kandungan dalam kisah-kisah tersebut tidak bersandarkan kepada sumber yang tulen. Mereka menggunakan hadis-hadis palsu untuk menyedapkan cerita. Walaupun kebanyakan penulis tidak mencipta hadis sendiri tetapi mereka mengambil hadis palsu daripada orang lain untuk menyedapkan pembaca.

Selain daripada itu, israiliyyat dalam tafsiran al-Quran juga memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang sentiasa ingin mencari kelemahan Islam. Seterusnya boleh mencemar nilai kesucian sumber utama ketamadunan Islam dan melarikan fokus utama pada setiap kisah yang disebutkan daripada al-Quran iaitu pengajarannya.

Sumber-sumber pengetahuan yang berkaitan dengan kisah nabi sepeti buku, keset cd dan sebagainya yang mampu dimiliki masyarakat kebanyakkan tercemar dengan penyerapan israiliayyat ke dalamnya dari beberapa aspek. Antaranya ialah aspek penamaan seseorang, objek, tempat atau binatang tertentu, penambahan bahan dalam sesuatu cerita atau peristiwa dan terdapat juga aspek yang menjadikan sesuatu benda sandaran kepada nabi-nabi atau pun dari aspek kecuaian membuat penafsiran dalam sesuatu ayat.

Israiliyyat dari aspek penamaan seseorang dan tempat. Kebanyakkan buku-buku yang menceritakan bahawa nama Lembah Semut yang dilalui oleh Nabi Sulaiman a.s sebagai Asgalan. Jika kita merujuk kepada hadis nabi, kita akan dapati tiada satu pun hadis yang mengkhususkan nama-nama tersebut, melainkan nama-nama tersebut tersebar melalui riwayat yang tidak pasti kebenarannya. Penamaan ini mungkin bertujuan untuk melengkapkan kisah tersebut serta kelihatan lebih menarik apabila dibaca.

Israiliyyat dari aspek penambahan kisah : Kisah perkahwinan Nabi Sulaiman a.s dengan Raja Saba’ adalah antara penambahan cerita yang paling banyak terdapat di dalam buku kisah para nabi yang diterbitkan di Malaysia. Sungguhpun perkahwinan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tetapi dalam kisah nabi Sulaiman a.s perkara yang sepatutnya ditonjolkan adalah kejayaan dakwah yang dilakukan oleh nabi Sulaiman a.s melalui cara yang penuh hikmah. Peristiwa ini juga tidak disahkan oleh mana-mana hadis nabi. Peyebaran peristiwa ini hanya berlaku jika kita merujuk kepada sumber yang israiliyyat. Justeru itu kita perlu lebih berhati-hati dalam menyampai sesuatu kisah supaya tidak lari dari maksud sebenar.
Israiliyyat dari aspek keterlampauan terhadap keperibadian nabi. Terdapat buku yang menceritakan tentang gambaran cintanya Nabi Sulaiman a.s kepada Raja Saba dan tentang kemeriahan meraikan perkahwinan Nabi Sulaiman a.s. Tidak mungkin seorang Nabi menyintai seorang wanita melebihi cintanya kepada Allah s.w.t dan tidak mungkin seorang nabi membazir dengan membelanjakan harta untuk meraikan perkahwinannya, sedangkan terdapat hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s menjadikan gandum yang ditumbuk sendiri menjadi roti sebagai makanan asasinya, walaupun beliau seorang pemimpin agong. Tidak mungkin sesebabkan oleh seorang wanita yang sangat menawan menurut pandagan penulis, maka Nabi Sulaiman a.s sanggup membazirkan harta-harta rakyatnya. Jelas menunjukkan terdapat penyelewengan dalam penafsiran kisah tersebut. Begitu juga dengan kisah tipu daya kancil terhadap musuhnya dengan menyandarkan sesuatu benda kepada hak milik Nabi Sulaiman a.s. Ular sebagai tali pinggang Sulaiman a.s, sarang tebuan sebagai gong Sulaiman a.s. semua ini boleh menjejaskan keperibadian seorang nabi dan perlu didedahkan kepada masyarakat bagi memelihara akidah umat Islam.
Manakala dari aspek kecuaian dalam penafsiran juga berlaku dalam kisah-kisah nabi sebagai contoh dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. . Terdapat pelbagai pendapat yang mengatakan bahawa istana Raja Saba’ telah dipindahkan oleh Ifrit. Terdapat juga yang mengatakan bahawa istana tersebut telah dibawa oleh jin-jin yang mentaati perintah Sulaiman a.s, serta ada pendapat yang mengatakan bahawa istana tersebut dipindahkan oleh malaikat. Berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud : Berkatalah seorang yang memnpunyai Ilmu dari Ahli kitab : Aku akan membawa singgahsananya kepada mu sebelum mata mu berkerdip( an-Naml:40). Merujuk kepada ayat ini jelas menunjukkan bahawa seorang hamba Allah s.w.t yang alim telah membawa istana kepada Balqis bukannya jin atau malaikat. Kisah ini bertujuan untuk menggangkat darjat kedudukan manusia yang berilmu di sisi Allah s.w.t bukan untuk menonjolkan kekuatan atau kekuasaan. Perkara ini sepatutnya dikupas ketika sesuatu cerita ditulis dan bukannya sekadar untuk berseronok di samping mengaut keuntungan sahaja.

Penyebaran israiliyyat di dalam penulisan di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kekurangan pakar dalam bidang tafsiran dan hadis. Golongan ini juga sibuk dengan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Selain itu tiada badan pemantauan ditubuhkan untuk meneliti sebelum sesebuah penulisan itu dicetak khususnya dalam penerbitan kisah-kisah nabi yang semakin laris di pasaran. Penulisan biasanya dilakukan oleh individu yang pandai menulis tetapi tiada latarbelakang pendidikan agama, mereka merujuk kepada sumber yang dijumpai tanpa mengkaji terlebih dahulu. Selain daripada itu, israiliyyat biasa menceritakan perkara yang luarbiasa yang amat digemari pembaca tanpa memikirkan pengajaran disebaliknya. Justeru itu, bagi mewujudkan masyarat Islam yang bertamadun, maka kita sama-sama kembali menjaga ketulenan sumber ketamadunan Islam khusunya dalam penafsiran al-Quran dan hadis.

Pemakanan Sihat Menurut Islam

Allah s.w t telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud : Makanlah dan minumlah, maka jangan sekali-kali kamu membazir ( surah al-‘Araf:31). Allah s.w.t juga ada menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman makanlah kamu daripada yang baik-baik, apa yang telah kami kurniakan kepada kamu ( al-Baqarah:172). Manakala rasulullah s.a.w ada menyebut di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Wahai manusia makanlah apa yang terdapat di muka bumi ini selagi mana ianya halal dan memberi kebaikkan.

Firman Allah s.w.t dan hadis di atas adalah berkaitan dengan berkaitan dengan tuntutan kepada keperluan manusia iaitu makanan. Allah s.w.t telah menjadikan pelbagai bentuk makanan untuk dinikmati oleh manusia. Namun begitu Allah s.w.t telah mengariskan kepada manusia supaya memilih makanan yang berkhasiat dan halal sama ada diketegorikan sebagai makanan berat ataupun ringan. . Makanan yang berkhasiat akan menyebabkan badan menjadi sihat, akal menjadi sejahtera, manakala makanan yang halal pula menyebabkan Allah mudah memperkenankan doa hambanya, sepertimana sabda Nabi S.A.W : Pilihlah makanan yang baik dan halal semogamudah diperkenankan doamu. Selain daripada itu, Allah s.w.t juga melarang kita membazir dalam dalam hal yang melibatkan pemakanan. Ini kerana membazir itu adalah amalan syaitan. Meskipun makanan tersebut berkhasiat kita hendaklah memakannya seperti yang diajar oleh nabi iaitu makan ketika terasa lapar dan sebelum kenyang. Berlebihan dalam pemakanan akan menyebabkan mudah untuk mendapat penyakit sepertimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Setiap penyakit disebabkan oleh terlalu banyak makan, dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan. Terdapat juga pandangan ulama’ yang mengatakan bahawa makan berlebihan menyebabkan timbulnya enam sifat tercela iaitu pertama lenyap rasa takut kepada allah s.w.t di dalam hatinya, kedua; menyetujui akan nafsunya, ketiga : berat untuk melakukan ketaatan, keempat: sukar menerima nasihat orang lain, kelima: ucapanya tidak memberi kesan kepada pendengar jika memberi nasihat, keenam menyebabkan pelbagai penyakit.

Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk dilaksanakan oleh manusia, khususnya umat Islam bagi mendapat mutu kesihatan yang baik ketika memenuhi keperluan pemakanan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Berwuduklah sebelum makan menimbulkan berkat begitu juga dengan membasuh kedua-dua tangan, Selain itu Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud : Jika seseorang dari kamu ingin makan, maka mulakanlah dengan bismillah pada awalnya, jika ia terlupa maka ucaplah bismillah pada akhirnya. Kedua-dua hadis ini adalah sebagai tuntutan pertama sebelum kita makan iaitu mencuci tangan supaya bersih dan menghilangkan kekotoran yang membawa penyakit, kemudia dimulakan dengan bismilah sebagai penguat rohani. Di dalam hadis lain rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Jika ada empat perkara pada makanan, maka sempurnakanlah keadaannya. Makanlah makanan yang halal, jika ingin makan sebutlah nama Allah s.w.t, makanlah dengan beberapa orang, dan apabila selsai makan sebutlah Alhamdulillah. Berlembutlah ketika mengucapkan alhamdulillah kecuali apabila sahabat lain selesai makan, maka boleh dikuatkan. Hadis ini menyarankan kepada kita memakan rezeki yang halal, ini keraja jika kita memakan rezeki yang haram, syaitan turut sama menyertai makanan kita. Selain itu kita juga disarankan makan secara berjemaah dan mengucapkan Alhamdulillah setelah selesai makan. Selain itu terdapat larangan memakan makanan yang panas, ini kerana makanan yang panas tiada barakah dan boleh memudaratkan. Kita juga dilarang mencium makanan sebelum menjamahnya ini disebabkan perbuatan tersebut adalah perbuatan haiwan, sepertimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Sejukkanlah makanan, kerana makanan yang panas tidak mengandunggi berkat, dan jangan mencium makanan kerana perangai tersebut adalah perbuatan haiwan. Begitu juga dengan perbuatan meniup ke dalam makan bertujuan untuk menyejukkan juga merupakan perbuatan yang buruk dan ditegah oleh nabi melalui sabdanya yang bermaksud: janganlah mencium makanan seperti haiwan, dan janganlah meniup ke dalam makanan dan minuman sebab perbuatan tersebut termasuk perilaku yang buruk. Jika makan mengunakan jari, kita disunatkan menjilat jari tersebut ketika selesai makan, sebelum membasuh tangan. Selain itu kita juga disunatkan makan makanan paling hampir dengan kita dan ditegah melangkaui orang lain ketika mengambil makanan.

Hakikatnya makanan bukanlah penyumbang utama kepada penyakit tetapi sikap manusia adalah penyumbang utama kepada penyakit yang berbahaya di dunia ini dan di Malaysia khususnya. Kebanyakan pengidap penyakit seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya adalah disebabkan oleh sikap mereka yang tidak menghiraukan tentang bahaya sesuatu pemakanan yang berlebihan. Sepeti contoh, bahaya pemakanan terhadap gula dan lemak yang berlebihan akan menyebabkan kencing manis dan darah tinggi. Kebanyakan pengidap penyakit ini mengetahui akan bahayanya gula serta lemak berlebihan tetapi akibat daripada sikap yang tidak ambil peduli akan bahaya yang bakal ditempuhi menyebabkan mereka meneruskan tabiat buruk mereka. Justeru itu, untuk menjadi rakyat yang sihat perlulah kita menukar sikap supaya lebih menyanyangi anugerah kesihatan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan cara kembali mengamalkan kaedah yang dijelaskan oleh al-quran dan sunnah. Disamping memperoleh kesihatan baik, kita juga memperolehi keredaan Allah s.a.w.