Wednesday, July 11, 2007

Pengaruh Israiliyyat Dalam Penulisan Di Malaysia

Sejak kebelakangan ini, ramai penulis yang menulis tentang kisah para nabi telah muncul di dalam masyarakat yang sedang diterapkan dengan nilai murni Islam Hadhari. Terdapat penulis yang diketahui asal usul pendidikannya sehinggalah kepada penulis yang tidak diketahui dari mana datangnya asal usul latar belakang pendidikan mereka. Sesetengah penulis hanyalah bermodalkan maklumat yang dikutip dari apa sahaja yang sampai kepada mereka. Ibarat kata membujur lalu melintang patah. Hasil daripada maklumat yang mereka memperolehi dan dengan kemahiran menulis yang mereka ada, maka mereka mula mencuba untuk menulis buku-buku berkaitan dengan kisah para nabi dan rasul.

Tulisan-tulisan mereka telah menjadi bahan bacaan kepada seluruh masyarakat pelbagai peringkat. Sungguhpun kisah-kisah yang ditulis adalah berunsur nasihat atau pembawakan kisah yang baik, tetapi bahayanya kepada kita adalah isi kandungan dalam kisah-kisah tersebut tidak bersandarkan kepada sumber yang tulen. Mereka menggunakan hadis-hadis palsu untuk menyedapkan cerita. Walaupun kebanyakan penulis tidak mencipta hadis sendiri tetapi mereka mengambil hadis palsu daripada orang lain untuk menyedapkan pembaca.

Selain daripada itu, israiliyyat dalam tafsiran al-Quran juga memberi kesan yang tidak baik kepada masyarakat khususnya kepada golongan yang sentiasa ingin mencari kelemahan Islam. Seterusnya boleh mencemar nilai kesucian sumber utama ketamadunan Islam dan melarikan fokus utama pada setiap kisah yang disebutkan daripada al-Quran iaitu pengajarannya.

Sumber-sumber pengetahuan yang berkaitan dengan kisah nabi sepeti buku, keset cd dan sebagainya yang mampu dimiliki masyarakat kebanyakkan tercemar dengan penyerapan israiliayyat ke dalamnya dari beberapa aspek. Antaranya ialah aspek penamaan seseorang, objek, tempat atau binatang tertentu, penambahan bahan dalam sesuatu cerita atau peristiwa dan terdapat juga aspek yang menjadikan sesuatu benda sandaran kepada nabi-nabi atau pun dari aspek kecuaian membuat penafsiran dalam sesuatu ayat.

Israiliyyat dari aspek penamaan seseorang dan tempat. Kebanyakkan buku-buku yang menceritakan bahawa nama Lembah Semut yang dilalui oleh Nabi Sulaiman a.s sebagai Asgalan. Jika kita merujuk kepada hadis nabi, kita akan dapati tiada satu pun hadis yang mengkhususkan nama-nama tersebut, melainkan nama-nama tersebut tersebar melalui riwayat yang tidak pasti kebenarannya. Penamaan ini mungkin bertujuan untuk melengkapkan kisah tersebut serta kelihatan lebih menarik apabila dibaca.

Israiliyyat dari aspek penambahan kisah : Kisah perkahwinan Nabi Sulaiman a.s dengan Raja Saba’ adalah antara penambahan cerita yang paling banyak terdapat di dalam buku kisah para nabi yang diterbitkan di Malaysia. Sungguhpun perkahwinan sesuatu yang penting dalam kehidupan manusia, tetapi dalam kisah nabi Sulaiman a.s perkara yang sepatutnya ditonjolkan adalah kejayaan dakwah yang dilakukan oleh nabi Sulaiman a.s melalui cara yang penuh hikmah. Peristiwa ini juga tidak disahkan oleh mana-mana hadis nabi. Peyebaran peristiwa ini hanya berlaku jika kita merujuk kepada sumber yang israiliyyat. Justeru itu kita perlu lebih berhati-hati dalam menyampai sesuatu kisah supaya tidak lari dari maksud sebenar.
Israiliyyat dari aspek keterlampauan terhadap keperibadian nabi. Terdapat buku yang menceritakan tentang gambaran cintanya Nabi Sulaiman a.s kepada Raja Saba dan tentang kemeriahan meraikan perkahwinan Nabi Sulaiman a.s. Tidak mungkin seorang Nabi menyintai seorang wanita melebihi cintanya kepada Allah s.w.t dan tidak mungkin seorang nabi membazir dengan membelanjakan harta untuk meraikan perkahwinannya, sedangkan terdapat hadis yang meriwayatkan bahawa Nabi Sulaiman a.s menjadikan gandum yang ditumbuk sendiri menjadi roti sebagai makanan asasinya, walaupun beliau seorang pemimpin agong. Tidak mungkin sesebabkan oleh seorang wanita yang sangat menawan menurut pandagan penulis, maka Nabi Sulaiman a.s sanggup membazirkan harta-harta rakyatnya. Jelas menunjukkan terdapat penyelewengan dalam penafsiran kisah tersebut. Begitu juga dengan kisah tipu daya kancil terhadap musuhnya dengan menyandarkan sesuatu benda kepada hak milik Nabi Sulaiman a.s. Ular sebagai tali pinggang Sulaiman a.s, sarang tebuan sebagai gong Sulaiman a.s. semua ini boleh menjejaskan keperibadian seorang nabi dan perlu didedahkan kepada masyarakat bagi memelihara akidah umat Islam.
Manakala dari aspek kecuaian dalam penafsiran juga berlaku dalam kisah-kisah nabi sebagai contoh dalam kisah Nabi Sulaiman a.s. . Terdapat pelbagai pendapat yang mengatakan bahawa istana Raja Saba’ telah dipindahkan oleh Ifrit. Terdapat juga yang mengatakan bahawa istana tersebut telah dibawa oleh jin-jin yang mentaati perintah Sulaiman a.s, serta ada pendapat yang mengatakan bahawa istana tersebut dipindahkan oleh malaikat. Berdasarkan firman Allah s.w.t yang bermaksud : Berkatalah seorang yang memnpunyai Ilmu dari Ahli kitab : Aku akan membawa singgahsananya kepada mu sebelum mata mu berkerdip( an-Naml:40). Merujuk kepada ayat ini jelas menunjukkan bahawa seorang hamba Allah s.w.t yang alim telah membawa istana kepada Balqis bukannya jin atau malaikat. Kisah ini bertujuan untuk menggangkat darjat kedudukan manusia yang berilmu di sisi Allah s.w.t bukan untuk menonjolkan kekuatan atau kekuasaan. Perkara ini sepatutnya dikupas ketika sesuatu cerita ditulis dan bukannya sekadar untuk berseronok di samping mengaut keuntungan sahaja.

Penyebaran israiliyyat di dalam penulisan di Malaysia dipengaruhi oleh beberapa faktor seperti kekurangan pakar dalam bidang tafsiran dan hadis. Golongan ini juga sibuk dengan aktiviti kemasyarakatan yang lain. Selain itu tiada badan pemantauan ditubuhkan untuk meneliti sebelum sesebuah penulisan itu dicetak khususnya dalam penerbitan kisah-kisah nabi yang semakin laris di pasaran. Penulisan biasanya dilakukan oleh individu yang pandai menulis tetapi tiada latarbelakang pendidikan agama, mereka merujuk kepada sumber yang dijumpai tanpa mengkaji terlebih dahulu. Selain daripada itu, israiliyyat biasa menceritakan perkara yang luarbiasa yang amat digemari pembaca tanpa memikirkan pengajaran disebaliknya. Justeru itu, bagi mewujudkan masyarat Islam yang bertamadun, maka kita sama-sama kembali menjaga ketulenan sumber ketamadunan Islam khusunya dalam penafsiran al-Quran dan hadis.