Wednesday, July 11, 2007

Pemakanan Sihat Menurut Islam

Allah s.w t telah berfirman di dalam al-Quran yang bermaksud : Makanlah dan minumlah, maka jangan sekali-kali kamu membazir ( surah al-‘Araf:31). Allah s.w.t juga ada menyebut di dalam al-Quran yang bermaksud: Wahai orang-orang yang beriman makanlah kamu daripada yang baik-baik, apa yang telah kami kurniakan kepada kamu ( al-Baqarah:172). Manakala rasulullah s.a.w ada menyebut di dalam sebuah hadis yang bermaksud: Wahai manusia makanlah apa yang terdapat di muka bumi ini selagi mana ianya halal dan memberi kebaikkan.

Firman Allah s.w.t dan hadis di atas adalah berkaitan dengan berkaitan dengan tuntutan kepada keperluan manusia iaitu makanan. Allah s.w.t telah menjadikan pelbagai bentuk makanan untuk dinikmati oleh manusia. Namun begitu Allah s.w.t telah mengariskan kepada manusia supaya memilih makanan yang berkhasiat dan halal sama ada diketegorikan sebagai makanan berat ataupun ringan. . Makanan yang berkhasiat akan menyebabkan badan menjadi sihat, akal menjadi sejahtera, manakala makanan yang halal pula menyebabkan Allah mudah memperkenankan doa hambanya, sepertimana sabda Nabi S.A.W : Pilihlah makanan yang baik dan halal semogamudah diperkenankan doamu. Selain daripada itu, Allah s.w.t juga melarang kita membazir dalam dalam hal yang melibatkan pemakanan. Ini kerana membazir itu adalah amalan syaitan. Meskipun makanan tersebut berkhasiat kita hendaklah memakannya seperti yang diajar oleh nabi iaitu makan ketika terasa lapar dan sebelum kenyang. Berlebihan dalam pemakanan akan menyebabkan mudah untuk mendapat penyakit sepertimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Setiap penyakit disebabkan oleh terlalu banyak makan, dan setiap ubat disebabkan oleh sedikit makan. Terdapat juga pandangan ulama’ yang mengatakan bahawa makan berlebihan menyebabkan timbulnya enam sifat tercela iaitu pertama lenyap rasa takut kepada allah s.w.t di dalam hatinya, kedua; menyetujui akan nafsunya, ketiga : berat untuk melakukan ketaatan, keempat: sukar menerima nasihat orang lain, kelima: ucapanya tidak memberi kesan kepada pendengar jika memberi nasihat, keenam menyebabkan pelbagai penyakit.

Islam telah menggariskan beberapa panduan untuk dilaksanakan oleh manusia, khususnya umat Islam bagi mendapat mutu kesihatan yang baik ketika memenuhi keperluan pemakanan. Rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Berwuduklah sebelum makan menimbulkan berkat begitu juga dengan membasuh kedua-dua tangan, Selain itu Rasulullah s.a.w juga bersabda yang bermaksud : Jika seseorang dari kamu ingin makan, maka mulakanlah dengan bismillah pada awalnya, jika ia terlupa maka ucaplah bismillah pada akhirnya. Kedua-dua hadis ini adalah sebagai tuntutan pertama sebelum kita makan iaitu mencuci tangan supaya bersih dan menghilangkan kekotoran yang membawa penyakit, kemudia dimulakan dengan bismilah sebagai penguat rohani. Di dalam hadis lain rasulullah s.a.w bersabda yang bermaksud : Jika ada empat perkara pada makanan, maka sempurnakanlah keadaannya. Makanlah makanan yang halal, jika ingin makan sebutlah nama Allah s.w.t, makanlah dengan beberapa orang, dan apabila selsai makan sebutlah Alhamdulillah. Berlembutlah ketika mengucapkan alhamdulillah kecuali apabila sahabat lain selesai makan, maka boleh dikuatkan. Hadis ini menyarankan kepada kita memakan rezeki yang halal, ini keraja jika kita memakan rezeki yang haram, syaitan turut sama menyertai makanan kita. Selain itu kita juga disarankan makan secara berjemaah dan mengucapkan Alhamdulillah setelah selesai makan. Selain itu terdapat larangan memakan makanan yang panas, ini kerana makanan yang panas tiada barakah dan boleh memudaratkan. Kita juga dilarang mencium makanan sebelum menjamahnya ini disebabkan perbuatan tersebut adalah perbuatan haiwan, sepertimana sabda nabi s.a.w yang bermaksud : Sejukkanlah makanan, kerana makanan yang panas tidak mengandunggi berkat, dan jangan mencium makanan kerana perangai tersebut adalah perbuatan haiwan. Begitu juga dengan perbuatan meniup ke dalam makan bertujuan untuk menyejukkan juga merupakan perbuatan yang buruk dan ditegah oleh nabi melalui sabdanya yang bermaksud: janganlah mencium makanan seperti haiwan, dan janganlah meniup ke dalam makanan dan minuman sebab perbuatan tersebut termasuk perilaku yang buruk. Jika makan mengunakan jari, kita disunatkan menjilat jari tersebut ketika selesai makan, sebelum membasuh tangan. Selain itu kita juga disunatkan makan makanan paling hampir dengan kita dan ditegah melangkaui orang lain ketika mengambil makanan.

Hakikatnya makanan bukanlah penyumbang utama kepada penyakit tetapi sikap manusia adalah penyumbang utama kepada penyakit yang berbahaya di dunia ini dan di Malaysia khususnya. Kebanyakan pengidap penyakit seperti obesiti, darah tinggi, kencing manis dan sebagainya adalah disebabkan oleh sikap mereka yang tidak menghiraukan tentang bahaya sesuatu pemakanan yang berlebihan. Sepeti contoh, bahaya pemakanan terhadap gula dan lemak yang berlebihan akan menyebabkan kencing manis dan darah tinggi. Kebanyakan pengidap penyakit ini mengetahui akan bahayanya gula serta lemak berlebihan tetapi akibat daripada sikap yang tidak ambil peduli akan bahaya yang bakal ditempuhi menyebabkan mereka meneruskan tabiat buruk mereka. Justeru itu, untuk menjadi rakyat yang sihat perlulah kita menukar sikap supaya lebih menyanyangi anugerah kesihatan yang dikurniakan oleh Allah s.w.t dengan cara kembali mengamalkan kaedah yang dijelaskan oleh al-quran dan sunnah. Disamping memperoleh kesihatan baik, kita juga memperolehi keredaan Allah s.a.w.