Tuesday, July 10, 2007

Hijrah Memartabatkan Peranan wanita

Hijrah merupakan titik permulaan kejayaan agama Islam dalam menyebarkan dakwahnya. Tanpa berlakunya penghijrah dalam sejarah Islam, mungkin umat Islam tidak akan mengecapi kejayaan seperti yang dinikmati pada masa kini. Ketika zaman Rasulullah s.a.w hijrah bermaksud berpindah dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain dengan membawa segala keperluan dan niat bermaustatin di tempat baru tersebut. Penghijrahan pada zaman tersebut adalah kerana ingin membina sebuah negara yang mampu diterajui oleh Rasulullah s.a.w dan menyelamatkan umat Islam daripada ditindas oleh orang kafir Mekah. Namun begitu penghijrahan seperti itu sudah tidak wujud pada masa kini, ini amat bersesuian dengan sebuah hadis yang bermaksud : Rasulullah s.a.w ditanya tentang Hijrah. Beliau menjawab dengan bersabda: Tidak ada Hijrah selepas pembukaan Kota Mekah, tetapi yang masih ada ialah jihad dan niat. Apabila kamu diminta berjihad, maka lakukanlah (riwayat muslim).

Hijrah telah memainkan peranan yang amat penting dalam kejayaan umat Islam. Namun begitu kita jarang sekali dihidangkan dengan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita ketika berlakunya peristiwa hijrah. Sewaktu perinstiwa hijrah terdapat beberapa orang wanita yang telah menjayakan rancangan tersebut. Sumbangan yang telah diberikan oleh mereka telah membuktikan tentang peranan wanita dalam membantu menyebarkan dakwah ketika permulaan Islam.

Asmaa’ Binti Abu Bakar merupakan anak perempuan Saidina Abu Bakar r.a adalah contoh wanita yang menyumbangkan tenaga dalam menjayakan misi hijrah Rasulullah s.a.w. Beliau merupakan wanita yang dipercayai oleh Rasulullah s.a.w untuk membantunya berhijrah ke Madinah. Asmaa’ telah menjadi mata dan telinga rasullullah s.a.w sewaktu bersembunyi di gua. Selain daripada itu, Asmaa juga telah menghantar makanan dan minuman kepada rasulullah s.a.w dan Abu Bakar ketika masih lagi bersembunyi. Bagi mengelakkan jejaknya dikesan oleh pihak musuh, beliau telah menggunakan kebijaksanaannya dengan membawa segerombolan kambing ketika menghantar makanan ke tempat persembunyian Rasulullah s.a.w dan bapanya Abu Bakar r.a. Selain daripada itu beliau juga seorang yang sangat berani, apabila disoal siasat tentang bapanya dan Rasulullah s.a.w oleh Abu Jahal dan pengikutnya, beliau tidak pernah menceritakannya walaupun ditampar sehingga keluar dari telinganya.
Semasa ketiadaan bapanya, Asmaa telah berperanan sebagai ketua untuk menjaga adik-adiknya serta datuknya. Beliau selalu menenangkan datuknya Abu Quhafa’ tentang keselamatan Abu Bakar r.a. begitu juga adik-adiknya apabila bertanya tentang keselamatan ayah mereka. Pernah suatu ketika Asmaa telah memasukkan batu ke dalam tas tangannya untuk menunjukkan kepada datuk yang buta dan adik-adiknya bahawa ayah mereka telah meninggalkan sumber kewangan kepada mereka.

Selain daripada Asma’, kisah ketabahan Ummu Salamah juga patut menjadi contoh kepada wanita pada zaman sekarang dalam usaha menjadi seorang pendakwah. Ummu Salamah merupakan antara wanita terawal memeluk agama Islam bersama suaminya Abdullah Abu Asaad. Pengislamannya telah medapat tentangan yang hebat dari Quraish Mekah ketika itu, disebabkan tidak tahan dengan siksaan yang dihadapi maka Rasulullah s.a.w telah memerintahkan mereka berhijrah ke Habsyah. Ketika Islam makin tersebar beliau telah pulang semula ke Mekah setelah mendapati keadaan agak tenang di Mekah. Setibanya di Mekah, Rasulullah s.a.w telah menyeru kepada umat Islam ketika itu supaya berhijrah ke Madinah, seruan itu telah disambut oleh Ummu Salamah sekeluarga, tetapi ketika hendak meninggalkan Mekah beliau telah ditahan oleh kaumnya. Kaumnya telah menahannya daripada meneruskan hijrah bersama suami dan anaknya. Beliau telah bersendirian beberapa lama, sehinggalah beliau berjaya melarikan diri sendirian ke Madinah. Ketika dalam perlajanan ke Madinah beliau telah bertemu dengan Uthman Ibn Talhah, lalu membawanya ke Madinah untuk bertemu suaminya.

Memperlihatkan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita merupakan agenda tersembunyi disebalik peristiwa hijrah. Peranan yang dimainkan oleh Asma’ telah membuktikan bahawa kedatangan Islam adalah bertujuan untuk memartabatkan kaum wanita. Ini dapat menolak tanggapan yang mengatakan bahawa Islam menindas kaum wanita. Pada masa kini kita dapati bahawa kaum wanita merupakan penyumbang kepada perkembangan ekonomi dan pendidikan. Selain itu terdapat juga kaum wanita telah berjaya menjadi usahawan yang berjaya dan menjawat jawatan tingi dalam kementerian. Manakala ketabahan yang dilalui oleh Ummu Salam berakhir dengan penemuan semula dengan suami dan anaknya haruslah dimiliki setiap wanita Islam dalam menghadapi dugaan kehidupan mereka sama ada dalam berkerjaya ataupun dugaan rumahtangga. Selain daripada itu, sewaktu ketibaan Rasulullah s.a.w di Madinah beliau juga telah disambut oleh kaum-kaum wanita. Ini menunjukkan bahawa kaum wanita juga terlibat dalam urusan kemasyarakan mereka.

Namun begitu hukum ahkam yang telah ditetapkan oleh Islam ada membataskan muamalah kaum wanita. Ianya bukan bertujuan untuk menyekat tetapi untuk membezakan antara wanita Islam dengan yang bukan Islam dalam muaamalah harian. Hukum akham tersebut bertujuan untuk mendisiplinkan diri dan memantapkan jati diri muslimat.

Wanita yang tidak berkerjaya juga sebenarnya secara tidak langsung berperanan dalam menyumbangkan kepada kemajuan sesebuah negara, khusunya kemajuan di dalam pembinaan moral. Isteri berperanan penting dalam membentuk peribadi anak-anak sambil dibantu oleh suami. Allah s.w.t telah memberi hak yang lebih kepada kaum ibu terhadap anak-anak berbanding dengan suami ini telah sebut dalam hadis nabi bahawa ibu lebih berhak terhadap anak kemudian suami. Pendidikan awal kanak-kanak haruslah bermula di rumah. Ibubapa perlu memperlihatkan tauladan yang baik ketika bayi masih lagi dalam kandungan. Asma’a Bin Abu Bakar telah membantu Rasulullah s.a.w dan bapanya ketika dia sedang mengandung. Tauladan yang telah ditunjukkan oleh Asma’ telah menghasilkan anak yang berkualiti seperti Abdullah Bin Zubir.

Justeru sejarah penghijrahan umat Islam ke Madinah telah memartabatkan peranan yang dimainkan oleh kaum wanita. Wanita tidak seharusnya merasakan diri mereka sebagai kaum yang ditindas sebaliknya hendaklah sama-sama memartabatkan agama Islam.